suria

“Cukuplah bantu saya” - Asnaf mohon batal nama penerima zakat lebih awal, jangka pendapatan stabil September

Seorang asnaf memohon untuk membatalkan namanya sebagai penerima zakat.

JIKA kita berasa susah, sebenarnya ramai lagi yang lebih susah daripada kita.

Namun bukan bermakna orang susah itu selama-lama begitu nasibnya, termasuklah golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.

Buktinya, seorang asnaf tampil bersikap jujur dengan memaklumkan dirinya kini memperoleh pendapatan yang semakin baik.

Malah, menerusi kisah yang dikongsikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), dia membuat permohonan supaya membatalkan namanya sebagai penerima zakat.

"Ustaz, saya nak keluar asnaf. InsyaAllah, pendapatan saya dah semakin baik dan cukuplah zakat bantu saya sebelum ni, tentu ramai lagi yang memerlukan bantuan dari zakat. Terima kasih pembayar zakat.

"Dengan sepucuk surat dan panggilan telefon, kami berbual berkaitan hasratnya, untuk kepastian.

asnaf zakat 2

Surat asnaf yang dikirimkan kepada LZS cawangan Bandar Baru Bangi.

"Bila kita berada pada fasa endemik, langkah semakin jauh dan semakin gigih berusaha, maka hasilnya seperti yang sering kita dengar 'Man Jadda Wa Jada', setiap usaha pasti berjaya. Alhamdulillah. Semoga asnaf ini akan terus berjaya melalui saat getir ketika ini," tulis LZS di laman Facebook rasminya, pada Isnin malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu dalam sejuta! Isteri tak kerja, tukang repair alat elektronik dengan 3 anak mohon henti bayaran zakat... alasannya hidup dah stabil

Menerusi sepucuk suratnya bertarikh 12 Ogos 2022 dengan poskod Kajang, ia dihantar kepada LZS cawangan Bandar Baru Bangi.

"Saya seperti nama di atas, ingin membuat permohonan membatalkan nama saya dalam senarai bantuan Zakat Selangor.

InsyaAllah, pendapatan saya dah semakin baik dan cukuplah zakat bantu saya sebelum ni, tentu ramai lagi yang memerlukan bantuan dari zakat

PENERIMA ZAKAT

"Ini adalah kerana pendapatan bulanan saya dijangka stabil pada bulan September 2022.

"Justeru itu, saya memaklumkan hal ini kepada pengurusan zakat (LZS) Seksyen 8, Bandar Baru Bangi. Sekian, terima kasih," menurut kandungan surat tersebut.

asnaf zakat 1

Antara komen netizen yang memuji kejujuran asnaf berkenaan.

Tidak dijelaskan secara terperinci tempoh individu berkenaan menerima bantuan zakat, namun apa yang menjadi perhatian adalah kejujurannya.

Apatah lagi surat tersebut dihantar pada Ogos, sedangkan pendapatan bulanan penerima zakat berkenaan dikatakannya dijangka stabil pada September.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan asnaf ini di atas sikap amanahnya, di samping mendoakan agar dipermudah urusan dan dimurahkan rezekinya.

"Seorang hamba Allah yang amanah, Alhamdulillah. Semoga Allah mudahkan urusan dan murahkan rezeki beliau, dan seterusnya beliau pula menjadi pembayar zakat.

"Jika kita dah berada di zon selesa jangan takut untuk keluar dari asnaf. Bagi peluang pada asnaf lain untuk berjaya dan mengubah kehidupan masing-masing.

"Alhamdulillah. Harap ramai yang ikhlas macam hamba Allah ni. Bila sampai masa dia sendiri yang tarik diri. Semoga dipermudahkan segala urusannya, tabarakallah," demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain