suria

Mak mentua India, makanan berpantang dimasak ‘Chinese style’! Doktor syukur dijaga baik keluarga 1Malaysia selepas bersalin

Ibu mentua Dr Siti Hajar sanggup datang dari Perak untuk membantu menguruskan dirinya ketika berpantang.

PERKAHWINAN campur tidak mengira bangsa sudah jadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat kita selari dengan peredaran zaman.

Cabaran untuk memahami budaya lain pastinya ada, justeru toleransi dan sikap saling hormat menghormati antara pasangan dan keluarga amatlah penting bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Begitulah yang dapat dilihat menerusi video dikongsikan Dr Siti Hajar Md Hanif semasa ibu mentuanya yang berbangsa India, Thaivanai A/P Muniady membantu menguruskan dirinya ketika berpantang selepas bersalin pada 30 Jun lalu.

“Saya bersalin anak ketiga tahun ini. Sebelum tu memang dah rancang, masa pantang mak mentua datang dari Perak jaga saya.

“Dua minggu sebelum bersalin lagi dia dah datang sebab masa tu saya memang sarat. Dia tolong masak untuk saya yang makin tak larat nak bergerak, siap bantu uruskan budak-budak (cucu) nak pergi sekolah.

“Bila dah bersalin, dia sambung jaga saya. Masak masakan pantang, siapkan air mandian herba, mengasuh baby masa saya berurut. Kemas rumah dan basuh pakaian kotor pun dia tolong buat,” ujarnya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Muka suami doktor ini macam Melayu, meriah rumah sebab boleh cakap 6 bahasa... sambut Tahun Baru Cina macam ‘Keluarga Malaysia’

ARTIKEL BERKAITAN: Riuh ‘acik-acik’ sembang, wanita ini digelar 1Malaysia boleh berbahasa Tamil, Kantonis tanpa masuk kelas... dengan anak pun cakap Tamil!

Lebih menarik lagi, Dr Siti Hajar memberitahu, suaminya merupakan mualaf selepas memeluk Islam pada 2014 dan kini bernama Iskandar Chai Yoong Sang.

Bercerita lanjut mengenai keunikan keluarganya, wanita berusia 36 tahun itu berkata bapa mentuanya berbangsa Cina dan beragama Kristian manakala ibu mentuanya berbangsa India dan beragama Hindu.

Mengimbas mengenai proses berpantang, Dr Siti Hajar berkata Thaivanai menguruskan dirinya mengikut cara Melayu tetapi memasak masakan masyarakat Cina.

Dr Siti Hajar (kiri) dan suami (kanan) bersama ibu bapa mentua serta anak-anak ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ibu mentua biasanya masak ikan atau ayam kukus, ikan masak taucu, udang masak kam heong dan sup ayam untuk hari biasa atau sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina. Waktu pantang, dia masakkan saya ayam kukus bersama kurma merah dan goji berry.

“Ibu memang pandai masak masakan tu semua sebab lepas kahwin dulu dia duduk dengan ibu mentua berbangsa Cina. Masa pantang ibu mentua dia yang jaga, jadi dia banyak belajar masak ikut cara orang Cina.

“Walaupun berlainan amalan dan budaya tetapi sebenarnya tak banyak beza pun cara berpantang tiga bangsa ni. Kelainan pada masakan saja sebab saya pun tak ikut betul-betul pantang macam Melayu zaman dulu,” katanya.

Saya rasa bersyukur dapat ibu mentua baik, prihatin dan penyayang.

DR SITI HAJAR

Menurutnya yang menetap di Kota Damansara, Selangor, ini merupakan kali kedua ibu mentua membantu dalam menguruskan dirinya sehingga hari ke-30 berpantang.

Dalam pada itu, Dr Siti Hajar turut menzahirkan rasa syukur bersalin secara normal dan tiada sebarang jahitan diterima.

“Berbeza dengan berpantang dahulu, sekarang saya rasa keadaan diri lebih baik berbanding melahirkan dua anak sebelum ni.

“Tapi ibu mentua tetap banyak tolong jaga anak-anak sebab minggu pertama pantang tu mereka dua-dua terkena influenza A jadi agak mencabar nak uruskan anak dan suami yang tak sihat dalam keadaan macam ni,” ujarnya lagi.

Dr Siti Hajar bersama ahli keluarganya.

Susulan perkongsian di Facebook, rakaman menunjukkan ibu mentua yang sibuk menguruskan cucunya telah ditonton lebih 1 juta kali.

Melihat kepada keprihatinan wanita itu membuatkan ramai meluahkan rasa cemburu.

“Saya rasa bersyukur dapat ibu mentua baik, prihatin dan penyayang. Bukan masa pantang saja dia jaga, bila balik kampung selalu dia tanya nak makan apa sebab memang pandai memasak.

“Bila post video tu kebanyakan mereka tumpang gembira bila tengok ibu mentua beri layanan baik macam tu walaupun berbeza agama. Ada juga yang luahkan rasa cemburu dan sedih sebab bukan setakat mak mentua, tapi keluarga sendiri pun tak sudi nak jaga waktu pantang,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain