suria

Sekumpulan pemuda tenang bersenam di gim kampung... dumbbell buat sendiri guna simen, tiada yuran tapi tetap boleh sado!

Zuhaimi dan rakan-rakannya bersenam di gim terbuka yang dibina dalam kawasan kampung.

DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Begitulah kisah sekumpulan pemuda di Kelantan yang memeriahkan perkarangan sebuah rumah dengan aktiviti sihat sejak dua tahun lalu.

Tidak perlu membayar yuran keahlian gim, mereka sebaliknya membangunkan tempat bersenam lengkap dengan peralatan kecergasan yang boleh digunakan secara percuma sahaja.

Menurut Muhammad Zuhaimi Irwan Che Mohd Zuki, 20, gim terbuka di kawasan kampung itu dibangunkan oleh seorang rakannya dan ia kini menjadi lokasi mereka berkumpul dan mengeratkan ukhwah sesama sendiri.

"Gim ini dibuat di hadapan rumah kawan saya, bersebelah rumah saya. Kami menetap di Kampung Tempoyak, Kota Bharu. Kawan saya yang mulakan tempat ini. Dia ada pengalaman lima tahun dalam bidang fitness masa belajar dulu.

"Selepas habis belajar, dia buat di kampung. Jadi ramai rakan sekampung dan rakan sekolah yang turut serta. Ada banyak jenis peralatan. Contohnya, ada dumbbell yang dibeli, ada juga dumbbell yang dibuat sendiri menggunakan simen.

ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke dah 40? Rahsianya.... wanita awet muda ini segan nak ke gim, siap kongsi tip bersenam guna peralatan dalam rumah je!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar gigih buat 2 kerja part time demi miliki gim sendiri - “Saya tanya mak, dia beri kebenaran”

"Tempat untuk senaman pull up pula dihasilkan menggunakan kayu dan besi. Kami biasanya akan bersenam setiap petang. Selepas solat Asar, dalam 5.30 petang kami akan mula. Dulu ada dalam 10 orang, sekarang kami dalam 6 ke 7 orang," ujarnya.

Menurut Zuhaimi, bersenam di kawasan rumah sambil dikelilingi pokok-pokok dan suasana kampung yang damai ternyata membawa pengalaman yang berbeza buatnya.

Tambah Zuhaimi, dia juga bersyukur dengan kewujudan gim tersebut yang membantunya untuk kekal hidup sihat tanpa perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan.

gim4

Zuhaimi merupakan penuntut bidang Sains Matematik di Upsi.

"Kalau pergi gim, mesti makan modal. Selain bayar yuran gim, kita juga kena bersiap. Nak pergi gim pun kena ada modal untuk pengangkutan. Tapi saya dapat bersenam di kawasan rumah je, peralatan pun ada.

"Seronok bersenam dengan suasana kampung, ada pokok-pokok. Selain bersenam, tempat ini juga jadi tempat lepak untuk kami rapatkan hubungan dengan kawan-kawan.

"Alhamdulillah, ada perubahan sejak bersenam di sini. Dulu kalau tengok, saya kurus. Berat dalam 54 kilogram (kg). Sekarang dah 60kg. Sekarang ada la sikit bicep," ujarnya berseloroh.

Kalau pergi gim, mesti makan modal. Selain bayar yuran gim, kita juga kena bersiap.

ZUHAIMI

Dalam pada itu, Zuhaimi juga tidak menyangka video gim kampung yang dikongsi olehnya akan meraih sehingga setengah juta tontonan di aplikasi TikTok.

Zuhaimi turut menitipkan pesan kepada mereka yang mahu menyertai aktiviti kecergasan agar menetapkan sasaran masing-masing supaya tidak mudah putus semangat dalam perjuangan mereka.

Zuhaimi dan rakan-rakannya bersenam di gim terbuka yang dibina dalam kawasan kampung.

Selain bersenam, mereka juga dapat mengeratkan ukhwah sesama rakan.

"Terkejut juga bila video tu viral. Ramai yang komen, mereka kata teringin nak ada circle macam kawan-kawan saya, boleh bersenam sama-sama dalam suasana kampung.

"Pesanan saya kalau nak buat sesuatu, khususnya bersenam, kita kena ada target. Target akan menyebabkan kita jadi konsisten. Kita tengok orang main gim memang best, tapi bila kita cuba sendiri, baru kita tahu bagaimana penatnya.

"Kita juga perlukan ramai kawan yang ada minat sama. Selain boleh berkongsi ilmu, mereka juga boleh bagi sokongan moral," ujar penuntut bidang Sains Matematik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Video gim dalam kawasan kampung itu tular menerusi aplikasi TikTok.

Menurut Zuhaimi, dia hanya berpeluang untuk bersenam di gim kampung itu setiap kali cuti semester sahaja.

Apabila kembali ke kampus, dia hanya akan bersenam di bilik menggunakan peralatan ringkas yang dibeli sendiri.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain