SETIAP manusia melalui ujian yang berbeza-beza dalam hidup mereka. Bagi Mohamad Aiman Haikal Mohd Zani, didiagnos menghidap depresi pada tahun lalu menjadi titik paling gelap dalam hidupnya. Namun, pemuda berusia 25 tahun itu beransur pulih selepas mendapatkan rawatan, malah turut menjadikan aktiviti memasak sebagai terapi untuk kesihatan mental. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Pada tahun lepas, saya didiagnos dengan depresi sehingga dimasukkan ke wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ia berpunca daripada masalah keluarga sejak saya kecil. Saya masih lagi bergantung kepada ubat sehingga ke hari ini. "Dengan aktiviti memasak saya dapat hilangkan rasa sunyi dan serabut. Saya buat video memasak untuk hilangkan stres. Bila saya kongsi video di TikTok, ramai yang bagi pujian serta kata-kata semangat, meminta agar saya teruskan memasak. "Ia membuatkan saya rasa gembira. Saya juga seronok bila video masakan saya jadi inspirasi kepada orang lain. Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik sekarang," ujarnya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Sejak kecil rajin ke dapur, aksi masak campak-campak sambil tersenyum bikin hati cair... Wow! Jejaka awet muda terima banyak mesej cari jodoh ARTIKEL BERKAITAN: Dah la kacak, memasak pun handal! Pelajar UiTM ini buat para gadis tak senang duduk - “Kenyit mata tu paling style” Senang disapa Aiman, anak jati Kota Bharu, Kelantan ini meraih lebih 42,000 pengikut di TikTok selepas aktif berkongsi video masakan lauk kampung yang dipelajarinya sejak kecil. Bercerita mengenai minatnya itu, Aiman diajar memasak oleh ibunya sejak kecil sebelum dia meningkatkan lagi kemahiran di dapur dengan membuat rujukan di internet. "Mak ajar berdikari sejak kecil lagi sebab ayah dah meninggal. Boleh dikatakan semua adik beradik saya boleh memasak. Dalam umur 7 tahun saya dah reti goreng ayam dan telur. Aiman kini bekerja sebagai jurutera projek di ibu negara. "Setiap kali nak masak, saya akan tanya mak. Selepas itu baru saya rujuk Google dan YouTube. Kalau perasan, masakan saya berunsurkan kampung terutamanya lauk pauk Kelantan. "Antaranya gulai kampung, gulai darat, macam masakan ala-ala nasi Kak Wok. Saya juga sering memasak untuk rakan-rakan serumah," ujar jurutera projek yang menetap di Sungai Besi, Kuala Lumpur itu. Mengulas populariti yang diraih di TikTok, Aiman berkata dia sama sekali tidak menyangka hobinya itu akan membuka pintu rezeki lain buatnya. Dengan aktiviti memasak saya dapat hilangkan rasa sunyi dan serabut. MOHAMAD AIMAN HAIKAL MOHD ZANI Penangan viral menyebabkan Aiman menerima tawaran daripada pihak restoran untuk membuat reviu makanan, sekali gus menjadi sumber pendapatan tambahan buatnya. "Sejak zaman diploma saya suka buat video masakan, tapi pada waktu itu hanya dikongsi menerusi Instagram Story. Sekarang ada TikTok, jadi saya beralih ke platform itu. "Bila kali pertama video masakan viral, saya agak terkejut dan takut. Saya takut orang label lelaki pandai masak sebagai lelaki lembut. Tapi Alhamdulillah, saya menerima banyak komen positif. Aiman banyak berkongsi video masakan kampung menerusi TikTok. "Saya juga ada terima tawaran untuk reviu restoran. Tak sangka, benda yang saya buat suka-suka akan jadi rezeki untuk saya. Tapi ini hanyalah part time, saya anggap TikTok sebagai komitmen baharu saya. "Ada perancangan untuk buat YouTube, tapi ia sangat jauh lagi. Saya pun sibuk dengan kerja hakiki saya. Buat masa ini, saya nak fokus buat video masakan kampung di TikTok dulu," ujar anak bongsu daripada empat beradik itu. Dalam pada itu, Aiman berkata dia dapat menjimatkan perbelanjaan apabila memasak sendiri setiap hari dalam suasana ekonomi tidak menentu hari ini. Aiman turut menerima jemputan restoran untuk melakukan reviu makanan. Malah, dia turut menitipkan pesan kepada lelaki di luar sana agar tidak risau dengan pandangan skeptikal masyarakat yang mengaitkan aktiviti masakan dengan kaum Hawa. "Mulut orang kita tak boleh nak tutup sampai bila-bila. Sebenarnya ramai je lelaki pandai masak, tapi mungkin mereka tak rakam video macam saya. Memasak ni tak mengenal jantina. "Macam saya, waktu lunch makan di luar. Tapi waktu malam dan hujung minggu saya memang akan masak sendiri. Biasanya saya beli barang basah dalam RM200, kadang-kadang sampai hujung bulan pun tak habis. Ia dapat menjimatkan duit saya," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI