suria

“MasyaAllah, makcik rare!” - Netizen terlopong tengok wanita berusia turun Nissan 350Z, siap tunjuk ‘good’ selepas drift di basement

Video seorang makcik drift menaiki kereta Nissan 350Z menjadi tular sehingga meraih hampir 5 juta jumlan tontonan.

KECEKAPAN dan ketangkasan mengendalikan kereta yang meluncur laju dan kemudian membelok di selekoh tajam menjadi antara aksi menarik dinantikan peminat sukan drift.

Namun kali ini keterujaan warganet beralih kepada kelibat seorang wanita berusia turun daripada sebuah kenderaan di tempat duduk penumpang tular menerusi sebuah video yang dikongsikan di TikTok.

Bagi pemuda bernama Hariez Zuhairi, 21, dia akui terkejut melihat wanita berkenaan turun daripada sebuah kereta yang baru sahaja melakukan aksi drift pada malam Pertandingan Autoshow Contifest, Mines International Exhibition Convention Centre (MIECC) di Seri Kembangan, Selangor pada 20 Ogos lalu.

“Malam tu agenda utama bukanlah drift kereta sahaja tapi lebih kepada pertunjukkan kereta mewah berjenama dari German.

“Antara kereta yang bertanding dekat ruang parkir basement adalah Mercedes, BMW dan Volkswagen.

"Selain tu ada acara sampingan di mana penumpang boleh merasai naik kereta sambil rider drift kereta oleh sebuah pasukan yang turut serta malam tu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Makcik cleaner Masjid Negara rancak berbual bahasa Jepun, siap ajar delegasi cakap Melayu... “Power la, sambil pegang mop je!”

ARTIKEL BERKAITAN: Tekun goreng cakoi, makcik ini buat pelanggan terpegun setiap kali dia bersuara! Cakap Kantonis dah macam filem Hong Kong

Kata jejaka ini, pemandu-pemandu menampal label atau notis 'RM35 bagi satu perjalanan' pada kenderaan masing-masing.

Sehubungan itu menurutnya, agak janggal melihat wanita bertudung serta berusia turut sama memeriahkan acara seperti itu.

“Kami tengah asyik tengok orang drift kereta dekat sekeliling. Lepas tu nampak makcik ni duduk dekat belakang.

“Masa tu dalam hati saya cakap tak mungkin dia nak beratur tunggu giliran. Saya dan kawan siap bergurau tak kan dia nak naik kereta drift juga.

Hariez mempunyai minat terhadap acara pameran kereta.

“Tak sangka lepas lebih kurang 20 minit macam tu memang betul dia masuk barisan untuk drifting!,” imbas Hariez.

Menurut Hariez, makcik tersebut memilih untuk merasai pengalaman menaiki kereta berjenama Nissan 350Z pada malam tersebut.

Jelas Hariez, dia sangat terkejut dengan momen itu sehingga tidak sempat untuk merakam detik wanita tersebut menaiki kenderaan berkuasa tinggi itu.

Tambahnya, pemandu kereta tersebut juga dilihat sengaja melakukan aksi lebih ‘mantap’ ketika membawa wanita tersebut berbanding ketika membawa penumpang-penumpang lain.

“Masa pemandu tu buat pusingan baru saya rakam. Saya kagum tengok makcik tu yang sangat berani lakukan aksi macam ni pada usia begitu.

60 peratus dekat ruangan komen cakap makcik tu yang pandu dan drift sendiri... tapi sebenarnya tak.

HARIEZ

“Pemandu tu siap buat pusingan ‘donut’ membelok ke sana sini dengan makcik tu. Apabila dia keluar kereta lepas selesai, siap tunjuk simbol ibu jari nak beritahu yang dia enjoy dan best.

“Semua tepuk tangan masa tengok dia keluar kereta tu. Dia nampak sangat happy masa suami dia sambut peluk dia dekat sebelah,” katanya lagi yang menetap di ibu kota.

Untuk rekod, rakaman video yang dimuat naik Hariez telah meraih 5 juta jumlah tontonan dan 1.1 juta tanda suka dalam masa tiga hari.

“Boleh dikatakan 60 peratus dekat ruangan komen cakap makcik tu yang pandu dan drift sendiri tapi sebenarnya tak. Dia cuma penumpang sahaja sebab steering kereta tu untuk right hand side.

Video dimuat naik jejaka ini mengenai seorang makcik yang menyertai autoshow menjadi tular.

“Ada juga yang komen cakap makcik tu nampak macam familiar. Katanya rupa dia sama macam pelakon filem Senario. Tapi saya pun tak kenal.

“Lepas habis tengok drift tu saya dan kawan pun keluar untuk balik ke rumah,” ujar Hariez.

Bagi warganet, sudah pasti apa yang dilihat itu sangat mengujakan dan menghiburkan.

“MasyaAllah makcik rare! My jaw just dropped.

“Kalau beliau adalah ibu saya, saya akan bahagia seumur hidup.

“Makcik sangat bijak menggunakan masa yang ada, moga Tuhan merahmati,” kata beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain