suria

Isteri sedang nazak, suami menghilang jadi tanda tanya! Doktor temui jawapan apabila ke surau untuk solat

Seorang pakcik sedang khusyuk membaca di sebuah surau.

KISAH suami setia hingga hujung nyawa jarang diperkatakan.

Melihat seorang pakcik yang khusyuk membaca surah di balkoni surau di sebuah hospital mengimbas kembali ingatan seorang doktor mengenai seorang pesakit yang sedang nazak.

Menerusi satu perkongsian, Dr Yazeed Hair Johari memberitahu, peristiwa tersebut berlaku di sebuah hospital di Johor ketika beliau mengendalikan wad wanita.

Menurutnya, seorang pesakit yang dipanggilnya Makcik Maimun (bukan nama sebenar) menghidap kanser usus sekali gus kerosakan buah pinggang tahap empat.

"Keadaan Makcik Maimun memang boleh dikatakan hanya tinggal 10 peratus sahaja dari survival rate. Semua bacaan darah tak cantik, apatah lagi fungsi organnya yang agak teruk.

"Masa tu ramailah ahli keluarga Makcik Maimun datang melawat memandangkan pernafasannya pun dah makin merosot. Badan dan mukanya mula membengkak, dah tak seperti dahulu.

"Aku pun terpaksa maklum pada ahli keluarga tentang keadaan Makcik Maimun dan juga status DIL (Death in Line), maknanya harapan tipis dan risiko untuk meninggal dalam masa terdekat itu adalah tinggi," tulisnya di Facebook.

baca surah terakhir isteri nazak 2

Seorang wanita nazak di wad di sebuah hospital di Johor.

Dr Yazeed kemudian ke surau untuk solat dan ternampak seorang pakcik duduk di hujung anjung surau, menangis sambil memegang al-Quran dan kedengaran tersesak-sesak membaca surah.

"Aku pun terus berjalan ke arah pakcik tu, duduk di sebelah dia. 'Assalamualaikum, pakcik okay?' Pakcik tu mengangguk sambil mengelap air matanya.

"Kenapa pakcik menangis ni? Pakcik tengah sedekahkan surah kepada orang rumah (isteri) pakcik. Dia tengah nazak," katanya memetik perbualannya bersama lelaki yang dipanggil Pakcik Karim (bukan nama sebenar), yang juga suami Makcik Maimun.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor 'musykil' hanya isteri yang setia lawat suami di wad, persoalan akhirnya terjawab di pintu lif... pesakit kahwin 4! - "Kami pernah susah bersama"

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor sebak lihat isteri minta maaf berkali-kali sebelum suaminya diintubasi - "Jika makin kritikal, terus pergi tanpa dapat berbicara lagi"

Namun timbul tanda tanya ke mana Pakcik Karim 'menghilang' sewaktu dia memberi penjelasan mengenai keadaan kesihatan Makcik Maimun kepada ahli keluarga.

"Pagi tadi pakcik dah tengok Makcik Maimun. Pakcik tahu dia macam tak boleh bertahan lama. Pakcik kasihan tengok dia macam terseksa.

"Kalau doktor tak terangkan pun, pakcik boleh rasakan," jawab Pakcik Karim.

baca surah terakhir isteri nazak 3

Makcik Maimun meninggal dunia akibat kanser usus dan kerosakan buah pinggang tahap empat. -gambar hiasan

Berkongsi cerita, Pakcik Karim memaklumkan dia dan Makcik Maimun telah mendirikan rumah tangga selama lebih 40 tahun.

"Dia la kawan baik pakcik, teman segala-galanya. Teman makan minum, berjalan, ke pasar, ke hsopital, teman bergaduh. Pakcik tak tahu macam mana hari esok tanpa Makcik Maimun," kata Pakcik Karim sambil menangis.

Hargailah pasangan, ahli keluarga anda sementara mereka masih hidup kerana suatu hari nanti kita kena belajar melepaskannya juga.

DR YAZEED HAIR JOHARI

Luahan itu membuatkan Dr Yazeed terdiam, dan hanya mampu menepuk bahu Pak Karim sambil memaklumkan dia berusaha untuk merawat, dan selebihnya terserah kepada Allah SWT.

"Sebelum aku sempat bangun dan beredar, Pakcik Karim menggenggam tangan. Terima kasih doktor selama ni jaga Makcik Maimun tu dari follow up klinik sampailah dia nazak dalam wad'. Balas Pak Karim menggenggam tangan aku seerat-eratnya sambil menangis dan sebelah tangannya menepuk tangan aku berkali kali.

"Pak Karim teruskan sedekah bacaan surah buat Makcik Maimun ya. Saya pulang ke wad dulu untuk tengok keadaan Makcik Maimun.

"Baiklah doktor. Inilah bacaan terakhir yang saya boleh bacakan sementara dia hidup. Kalau dia dah tak ada nanti, pakcik akan terus sedekah bacaan surah pada Makcik Maimun," ujar Pakcik Karim mengenai isterinya yang sedang bertarung nyawa.

baca surah terakhir isteri nazak 4

Perkongsian Dr Yazeed di Facebook.

Dr Yazeed berkata, dia dapat merasai kesedihan Pakcik Karim mengenangkan isterinya yang bersama dengannya sekian lama akan pergi untuk selamanya.

"Aku pun terfikir juga masa tu. Suatu hari nanti, aku juga akan berada di tempat Pak Karim dan merasa apa yang Pak Karim rasakan.

"Duduk di satu sudut, berbekalkan al-Quran membacakan ayat suci sebagai penguat untuk pasangan. Kita semua takkan terlepas dari kematian, sama ada aku yang membacakan surah untuk pasangan aku suatu hari nanti atau pasangan aku yang akan membacakan surah untuk aku suatu hari nanti.

"Kita semua bakal melalui saat itu. Hargailah pasangan, ahli keluarga anda sementara mereka masih hidup kerana suatu hari nanti kita kena belajar melepaskannya juga.

"Malam tu selepas Isyak, Makcik Maimun menghembuskan nafasnya buat kali terakhir dan saat itulah kali terakhir Pak Karim memeluk teman hidupnya itu," tulis Dr Yazeed di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain