suria

“Dia takut kalau dibaringkan” - Bayi mangsa culik masih trauma, ibu cuba rawatan Islam

Scha berdepan detik cemas saat bayi diculik oleh cucu pengasuh.

BERDEPAN detik cemas anak berusia sembilan bulan diculik pastinya meninggalkan kesan mendalam terutama buat mangsa dan ibu bapanya.

Menceritakan kejadian pada 23 Ogos lalu, Farisha Amirah 24, dan suami, Mohamad Rahimi Abdul Malek, 26, terkejut menerima perkhabaran anak perempuannya, Noor Raisya Mohamad Rahimi hilang di rumah pengasuh sebaik sahaja pulang dari tempat kerja di South Asia, Pulau Pinang.

Jelasnya, dia kaku dan lemah apabila pengasuhnya yang merupakan seorang warga emas memaklumkan bahawa cucu perempuannya sendiri yang melarikan Noor Raisya ketika dia sedang solat di kediamannya di Bukity Tengah, Pulau Pinang.

“Saya dengan husband balik kerja nak ambil Raisya dekat rumah pengasuh sebelah rumah kira-kira jam 6 petang. Elok sampai dekat depan pintu rumah, dia beritahu yang cucu dia dah larikan anak saya.

“Saya terus check telefon bimbit tapi tiada sebarang panggilan dan mesej dari dia. Sedangkan anak saya hilang pukul 5.30 petang di bawah jagaan dia.

“Kami terus ke balai polis buat laporan. Polis dengan segera buat operasi cari Raisya. Saya sangat panik fikir mesti anak tengah lapar sebab dah lama hilang,” jelasnya ketika dihubungi mStar.

Dia yang senang disapa Scha berkata, setelah hampir enam jam mencari, akhirnya polis berjaya menahan suspek utama yang berusia 14 tahun itu bersama dua lelaki termasuk teman lelakinya dalam serbuan di sebuah pondok di Machang Bubok, Bukit Mertajam pada jam 11.50 malam

Bagaimanapun, Raisya tidak berada dengan suspek ketika dia ditangkap.

ARTIKEL BERKAITAN: Diculik mak ayah kandung dua tahun lalu, kanak-kanak disembunyikan di bilik rahsia belakang tangga

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 12 tahun gadis dedah nyaris diculik, mungkin senasib Nurin Jazlin... terima kasih Doraemon!

Tidak lama kemudian Raisya ditemui dalam satu lagi serbuan di rumah teman lelaki suspek di Kulim, Kedah dan bayi tersebut ada bersama ibu dan bapa tiri kekasih gadis terbabit..

“Sekitar jam 11.50 malam polis dapat tangkap penjenayah tu tapi Raisya tak ada dengan dia. Rupanya ada pada ibu kepada teman lelaki dia apabila polis buat satu lagi serbuan.

“Polis bawa anak saya ke Hospital Bukit Mertajam selepas dijumpai jadi kami terus ke sana untuk buat pemeriksaan bayi. Syukur anak saya selamat cuma sekarang dia trauma. Dia takut kalau dibaringkan. Jadi saya pun bawa dia ke klinik dan buat rawatan Islam untuk dia.

Ketika dilarikan, Raisya dikendong menggunakan motosikal jenis Honda EX5.

“Pada Isnin (29 Ogos) Raisya baru selesai buat pengesahan DNA sebab suspek tiba-tiba mengaku yang anak saya ni sebenarnya hasil hubungan dengan teman lelaki dia,” katanya lagi.

Susulan kejadian, pasangan suami isteri ini juga melihat rakaman litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan gadis ini melarikan anaknya menggunakan motosikal jenis Honda EX5.

Pada Isnin (29 Ogos) Raisya baru selesai buat pengesahan DNA sebab suspek tiba-tiba mengaku yang anak saya ni sebenarnya hasil hubungan dengan teman lelaki dia.

FARISHA AMIRAH

Bercerita lanjut, Scha berkata, walaupun sudah berjiran dengan pengasuh selama lebih dua tahun, dia tidak kenal rapat dengan pengasuh apatah lagi berbual dengannya atau mengetahui nama cucunya.

Selepas berdepan kejadian ini, Scha menitipkan pesan kepada masyarakat supaya berhati-hati apabila memilih pengasuh bagi mengelak berdepan dengan pengalaman pahit sepertinya.

“Dua bulan dah saya hantar dekat dia untuk mengasuh. Selama ni okay saja tak ada masalah. Tapi lepas ni saya kena lebih berhati-hati. Apatah lagi melibatkan orang kita sayang sebab nyawa ni tak ada ganti.

Farisha bersama keluarganya.

“Saya syukur kes anak saya ni dapat selesai dan paling penting Raisya ditemui dengan selamat. Selain buat laporan, saya ada kongsikan maklumat suspek dekat grup GrabFood dan Foodpanda dan orang awam sangat mulia hatinya sebab turut serta bantu.

“Nasihat saya kepada semua ibu bapa, pastikan kita siasat dulu latar belakang famili pengasuh, atau yang hantar ke taska, pastikan taska berdaftar dengan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Pastikan juga kawasan pengasuh atau pusat jagaan ada CCTV,” ujarnya.

Susulan kejadian, lima individu termasuk remaja perempuan berusia 14 tahun itu direman bagi siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata mereka adalah dalang utama kes, remaja perempuan berusia 14 tahun, teman lelakinya dan seorang rakan lelaki masing-masing berusia 18 tahun.

Turut direman adalah ibu dan bapa tiri teman lelaki suspek yang berusia 43 dan 30 tahun.

Kelima-lima suspek yang tiada rekod jenayah lampau direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

"Siasatan ke atas suspek utama memaklumkan dia melarikan bayi itu kerana mangsa terlalu comel.

"Suspek turut mendakwa bayi itu adalah anaknya hasil hubungan dengan teman lelaki. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar sama ada ia mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan bayi," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain