suria

Anak datang bawa ‘hadiah’ belut, ibu di dapur menjerit geli geleman! Bimbang jika si kecil terjumpa ular pula

Mat berusia dua setengah tahun menjadi perhatian kerana videonya bermain dengan belut.

SEGELINTIR orang pasti menyangka belut sama seperti ular, sehingga takut untuk memegangnya.

Namun lain pula bagi seorang anak kecil yang selamba memegangnya seperti permainan.

Video yang dikongsi di laman sosial mengundang lucu apabila ibu kepada kanak-kanak itu menjerit di dapur gara-gara didekati anaknya yang membawa dua ekor belut.

Bercakap kepada mStar, Noor Aini Mohd Nor berkata, video yang tular menunjukkan anak lelakinya berusia dua setengah tahun, Muhammad Aathif Rizqi Mohd Mawardi membawa dua ekor belut hidup yang dibeli suaminya di pasar.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat mak ayah kaki hiking, bayi usia 2 tahun dah 5 kali sampai puncak gunung... perlu banyak persediaan termasuklah hafal lagu Itsy Bitsy Spider

ARTIKEL BERKAITAN: Cemas pipi anak usia 2 tahun tertusuk berus gigi, ingatkan trauma tapi menangis sebab lapar... ibu tak sangka dapat 'request' sebelum masuk OT

Wanita berusia 35 tahun itu memberitahu, dua ekor belut tersebut akan dipotong terlebih dahulu sebelum dia memasaknya untuk hidangan buat keluarga.

"Belut hidup tu suami letak dalam baldi berisi air di luar rumah. Masa saya sedang membuat persiapan untuk memasak di dapur, anak saya tiba-tiba datang dan bawa belut.

"Saya memang geli dan takut belut, makan memang tidaklah. Sebab itulah saya menjerit. Saya hanya masak belut yang dah dipotong dan dibasuh oleh suami," katanya kepada mStar.

anak main belut 3

Anak bongsu Aini suka memancing.

Aini berkata, dia tidak menyangka anak bongsunya yang dipanggil Mat berani memegang dua ekor belut itu begitu saja, sedangkan dirinya sendiri takut memegangnya.

"Mulanya dia main kat luar rumah, entah bila pergi kutip belut-belut tu dari baldi tu pun saya tak tahu. Sebelum ini dia takut pegang belut, katanya macam ular.

Sebelum ini dia takut pegang belut, katanya macam ular.

AINI

"Bila dia berani pegang macam tu, saya jadi hairan. Mungkin sekarang dia dah takut lagi dengan belut... dia tengok saya menjerit, lagilah dia suka bergurau.

"Bukan setakat belut, apa saja haiwan yang berkulit licin macam cicak tu pun saya geli. Terbayang-bayang ada di kaki," ujarnya yang berasal dan menetap di Kota Bharu, Kelantan.

anak main belut 4

Si cilik gemar aktiviti lasak.

Mengenai anak bongsu daripada empat beradik itu, Aini berkata, si cilik itu kini semakin lasak bermain di luar tidak seperti kanak-kanak seusia dengannya.

"Anak saya ni tak ada suka permainan tertentu. Tapi dia suka sangat memancing, selalu juga dia ikut saya dan suami pergi pancing.

"Selain itu, dia juga sering bermain dengan mesin rumput yang dah rosak. Dia akan galas mesin tu, siap pakai but dia dan acah-acah sedang potong rumput," tambahnya.

anak main belut 5

Mesin potong rumput rosak dan vakum antara peralatan kesukaannya.

Selain aktif dan lasak, menurut suri rumah itu, anaknya juga seorang yang banyak cakap dan suka berinteraksi dengan ramai orang.

"Walaupun lasak, dia tetap pemalu. Kalau saya nak rakam video, memang dia akan berhenti beraksi sebab tak mahu gelagatnya dirakam.

"Imaginasi dia juga kuat. Kalau bukan guna mesin potong rumput, dia akan berlakon guna vakum bersihkan rumah," katanya.

Dalam pada itu, Aini berkata, anaknya yang lasak dan suka bermain bola itu mungkin dipengaruhi oleh suaminya yang berkhidmat sebagai tentera.

anak main belut 1

Aini (dua, kiri) bersama keluarga.

"Kadang-kadang anak berkawad pun ala tentera. Walau bagaimanapun, kami tetap pantau keadaan dia terutama ketika berada di luar rumah.

"Dia memang lasak, tapi kami nak elakkan dia bertemu dengan ular," katanya susulan video anaknya itu meraih lebih 2.6 juta tontonan di TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain