suria

“Buat pahala jangan sampai undang bala” - Wanita maut kena denggi, pencinta kucing belakang rumah ‘ternak’ aedes

Khairul berkongsi kisah kematian isteri sahabatnya akibat demam denggi. -gambar hiasan

MUSIM hujan datang kembali!

Kes demam denggi di beberapa negeri menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

Kematian akibat denggi tentunya menyedihkan, bukan sahaja buat keluarga mangsa tetapi juga dirasai kenalan dan saudara-mara.

Turut merasai kesedihan itu, seorang pengguna Facebook yang mana dia juga bersimpati dengan nasib menimpa sahabatnya yang kehilangan isteri akibat demam denggi.

"Sedih juga. Kenalan kami kematian isterinya akibat denggi," tulis Khairul Hakimin Muhammad.

maut denggi 6

Pembiakan jentik-jentik.

Susulan kejadian yang meragut nyawa isteri sahabatnya, kata Khairul, pihak berkuasa melakukan siasatan di kawasan kediaman rakannya bagi memeriksa tempat pembiakan nyamuk aedes.

Menurut Khairul Hakimin, hasil pemeriksaan itu menemukan sesuatu yang tidak disangka-sangka.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) datang siasat di kawasan rumahnya, jiran sebaris semua. Semua clear.

"Tup-tup jumpa empat bekas air penuh dengan jentik-jentik dalam pagar dapur sebuah rumah, betul-betul belakang rumah beliau," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Takutkan Covid-19, jangan sampai abai gigitan Aedes! Jom ambil tahu jenis dan simptom denggi

ARTIKEL BERKAITAN: Selain serai, 5 tumbuhan ini mampu halau nyamuk di rumah anda

Khairul mendedahkan bahawa bekas air yang ditemui merupakan bekas minuman untuk kucing, namun seperti lama tidak digunakan dan dibiarkan begitu sahaja.

"Air pula boleh jadi air hujan. Sedih tengok gambar yang beliau kongsikan," tambahnya.

maut denggi 4

Perkongsian Khairul Hakimin Muhammad.

Penemuan bekas minuman kucing yang dipercayai menjadi punca pembiakan nyamuk aedes sehingga membawa kepada kematian isteri sahabatnya amat dikesali.

Justeru, Khairul berpesan kepada pencinta kucing supaya menjadi individu bertanggungjawab meskipun menjaga haiwan itu merupakan perbuatan yang mulia.

"Sungguh. Perbuatan kita boleh jadi pembunuh jiran kita sendiri. Nak beri kucing makan, pahala. Nak beri kucing minuman, pahala.

"Bersihkan selalu juga pahala kawan-kawan, sentiasa tengok semua bekas-bekas tersebut.

Perbuatan kita boleh jadi pembunuh jiran kita sendiri.

KHAIRUL HAKIMIN MUHAMMAD

"Jentik-jentik hanya hidup di bekas air yang bersih. Mana nampak kawasan atau bekas clear airnya bersih, tengok segera.

"Jika nampak ada jentik-jentik, buang terus airnya dan ganti air baru. Ganti ya, please. Ganti selalu. Please berjaga-jaga dan fikir 10 kali di hadapan apa kesannya ya," tulis Khairul di Facebook yang turut mendoakan sahabatnya diberi kekuatan dan tabah menempuh ujian.

maut denggi 5

Antara komen netizen.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut bersimpati dan berkongsi kisah di kawasan kejiranan mereka yang suka 'menternak' nyamuk aedes.

"Saya harap KKM saman rumah belakang tersebut! Tak ingat dah berapa jumlah tu, tapi memang patut saman supaya semua beringat selepas ini.”

"Nak buat pahala elok dah, tapi jangan sampai undang bala. Dosa.

"Ingatan buat kita semua, jangan ambil mudah walau bekas air minuman kucing atau bekas kecil-kecil yang ada air dan dibiarkan bertakung lama," demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain