suria

Makcik mangsa fitnah curi pokok Floria Putrajaya bersuara, rupanya beli orkid sebelum dibuang... “Cerita tak betul, jadi dosa kering saja”

Media sosial kecoh dengan dakwaan kononnya seorang wanita mencuri pokok di Floria Diraja Putrajaya 2022.

ADAT segelintir pengguna media sosial, post dulu semak fakta kemudian.

Demikian yang terjadi kepada seorang pengunjung Floria Diraja Putrajaya 2022 apabila dia dituduh mengutip pokok-pokok pameran tanpa kebenaran.

Kecewa dengan tuduhan tanpa usul periksa itu, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zack akhirnya tampil bersuara.

Ketika dihubungi mStar, Zack akui membeli pokok-pokok berkenaan daripada peserta pameran.

Orang ramai berkunjung ke Floria Diraja Putrajaya 2022.

"Ramai sangat yang beli pokok-pokok di situ, bukan saya seorang saja. Saya tak ambil pokok hiasan tanpa izin seperti didakwa.

"Saya beli dua tiga jenis tumbuhan termasuklah pokok bunga orkid. Kalau tak beli pun entah mereka campak buang saja sebab lori dah penuh nak bawa balik," katanya kepada mStar.

Terdahulu seorang pengguna Twitter berkongsi foto Zack yang dirakam secara curi daripada arah belakang bersama kapsyen berbaur tuduhan kononnya wanita tersebut mengambil pokok pameran tanpa kebenaran.

ARTIKEL BERKAITAN: “Pakai tudung, pakai stokin tapi mencuri!” - Wanita dituduh kutip pokok Floria, mujur anak muncul kongsi resit!

ARTIKEL BERKAITAN: Semakin ‘mewangi’, Floria Diraja Putrajaya kembali meriah dengan hampir sejuta jenis tumbuhan

Susulan itu anak Zack tampil di Twitter mempertahankan ibunya selain turut berkongsi resit pembelian berjumlah keseluruhan sebanyak RM150.

Mengulas lanjut tentang fitnah yang dilemparkan kepadanya, Zack berkata dia kecewa apabila tuduhan berkenaan membawa kepada dosa apabila ramai netizen turut sama menuduhnya sebagai pencuri.

"Saya tak sangka pula jadi isu sampai macam ni. Apabila anak tunjukkan gambar tu saya terkejut. Saya pula memang tak ada akaun Twitter.

"Cerita yang dibuat tak betul. Tak baik fitnah macam tu nanti jadi dosa kering saja,” katanya lagi.

Pokok yang kami guna untuk pameran akan dilupuskan dan tak bawa balik ke kolej... jadi kami putuskan untuk lelong saja.

MOHD AKMAL ABD KADIR

PENGURUS PAMERAN UCAM

Cerita Zack lagi, pokok-pokok hiasan berkenaan dibeli daripada seorang pensyarah Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Melaka yang menyertai pameran itu.

"Apabila sampai di sana pada hari tersebut, saya nampak ada orang keluar pameran dengan bawa pokok bunga orkid... saya pun tanya mereka sebab mahu beli juga.

“Saya dan saudara lain yang turut sama pun beli pokok-pokok dijual dengan harga lelong oleh seorang pensyarah ni.

Ruang pameran Kolej Universiti Agrosains Malaysia, Melaka.

"Mereka dah mula punggah barang nak balik waktu tu. Kalau saya tak beli pun, dia akan cabut dan balik saja tak bawa pokok tu,” katanya.

Dalam pada itu mStar turut menghubungi pengurus pameran dan wakil UCAM, Mohd Akmal Abd Kadir bagi mendapatkan pengesahan tentang kontroversi berkenaan.

Katanya kebanyakan institut pengajian tinggi (IPT) yang menyertai acara itu mula menjual pokok-pokok seperti yang dilakukan mereka.

“Pokok yang kami guna untuk pameran akan dilupuskan dan tak bawa balik ke kolej. Jadi kami putuskan untuk lelong saja. Namun arahan tak boleh menjual timbul lepas ramai pengunjung dah beli.

Ciapan asal yang mendakwa wanita ini 'mengutip' pokok.

“Tapi ada urusetia datang dekat kami beritahu kalau nak menjual pastikan ada resit. Jadi kami pun pergilah cari resit dekat luar sebelum mula melelong pokok-pokok tu.

“Lagipun kami bimbang tak nak ada isu apabila keluar daripada pintu dekat pengawal, mereka dituduh mencuri pula.

"Tak sangka ada individu sanggup tuduh makcik ni sampai macam tu sekali. Kasihan dia,” ujarnya.

Tambah Akmal, mereka terpaksa pulang awal walaupun Floria Diraja Putrajaya 2022 dilanjutkan sehingga 11 September.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain