suria

“Kalau boleh diputar waktu” - Angkara nafsu ghairah, pemuda nangis depan doktor didiagnos HIV positif pada usia 21 tahun

Nick didiagnos dengan virus HIV dua tahun lalu, ketika berusia 21 tahun. Gambar hiasan

DIDIAGNOSIS dengan virus yang sangat berbahaya pada usia yang cukup muda, pemuda ini mengakui dia pernah berada di fasa paling rapuh dalam hidupnya.

Hanya mahu dikenali sebagai Nick, pemuda ini berkata dia didiagnosis menghidap Human Immunodeficiency Virus atau dikenali sebagai HIV, dua tahun lalu, ketika berusia 21 tahun.

Dua tahun menyimpan 'rahsia' terbesar dalam hidupnya, Nick yang kini sudah berstatus Undetectable Viral Loads (UVL) untuk ujian darahnya, mengambil keputusan untuk berkongsi kisah sebagai Orang Yang Hidup Dengan HIV (PLHIV) agar dijadikan pengajaran buat individu lain supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

nick 1

Nick mengalami simptom demam berterusan sebelum didiagnos dengan virus HIV.

"Kalau boleh diputarkan waktu, saya sendiri tak nak dijangkiti penyakit ini. Tapi apakan daya, siapa saya nak menidakkan ketentuan Ilahi dan saya percaya mungkin ada hikmah di sebalik semua ini," katanya kepada mStar.

Berkongsi lebih lanjut bagaimana dia menyedari dijangkiti virus tersebut, Nick berkata dia pada mulanya mengalami demam pada Disember 2019 sebelum ia berterusan untuk beberapa ketika.

Memikirkan ia demam biasa, Nick mengambil pendekatan untuk tidak mendapatkan rawatan sebaliknya hanya mengambil ubat demam yang dibeli dari farmasi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya nak jadikan dia isteri tapi saya seorang PLHIV” - Hidap HIV selepas terlanjur dengan rakan sekampus, jurutera teruja bakal timang anak

ARTIKEL BERKAITAN: Panas! Ustaz jemputan program TV nasihat penghidap HIV jangan teruskan perkahwinan... mujur ada Dr Amalina

Disebabkan badan terlalu menggigil kesejukan sehingga menyukarkannya menjawab peperiksaan, Nick akhirnya akur dimasukkan ke hospital selama tiga hari sebelum meminta kebenaran untuk keluar kerana masih mempunyai baki kertas peperiksaan yang perlu dijawab.

"Masuk bab bagaimana saya tahu saya ada penyakit ini... masa awal-awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu lockdown dan waktu itu saya terperangkap dalam kampus lebih kurang tiga bulan.

derma darah

Nick dikesan dijangkiti HIV selepas pihak hospital mengesan daripada darah yang didermakannya. Gambar hiasan

"Nak dijadikan cerita, satu hari pihak kampus adakan program derma darah. Sebetulnya saya memang tak nak pun, tapi seorang rakan sebilik asyik ajak join derma sekali. Dengan berat hati saya pun pergi," kongsi pemuda berusia 23 tahun ini.

Pada Mei 2020, ketika sedang tidur, Nick berkata dia dikejutkan dengan satu panggilan dari pihak Hospital Pulau Pinang (HPP) berhubung status darahnya dan memintanya untuk ke hospital untuk tindakan lanjut.

"Saya pun pergi HPP re-check. Selepas seminggu, mereka minta datang ambil keputusan ujian darah. Saya pergi dan diminta masuk bilik consultation. Dan doktor beritahu saya positif HIV.

nick 2

Nick berkongsi ciapan mengenai pengalamannya sebagai PLHIV.

"Saya tak menangis waktu itu tapi terpinga-pinga. Dalam otak fikir banyak perkara, fikir apa yang akan berlaku masa depan. Selepas tersedar ia benar, terus mata berkaca dan menangis depan doktor. Saya rasa hidup dah gelap," kongsinya.

Tambahnya, dia enggan menyalahkan mana-mana pihak meskipun buntu bagaimana dirinya boleh dijangkiti.

"Apabila difikirkan balik, mungkin dalam keghairahan nafsu buat kita tak sedar akan keselamatan diri sendiri," ulasnya ringkas.

Mendapat sokongan moral daripada abang angkatnya, Nick bangkit daripada kesedihan dan tekad mahu memulakan rawatan Highly Active Anti-Retroviral Therapy (HAART) pada Ogos 2020.

Kepada semua golongan remaja, sentiasa beringatlah, sentiasa amalkan gaya hidup yang lebih sihat dan jauhi perbuatan seks bebas.

NICK

Dua tahun menjalani rawatan secara konsisten, Nick kini sudah berstatus Undetectable Viral Loads (UVL).

Tidak menyangka perkongsiannya di laman Twitter menjadi tular, pemuda ini turut menitipkan pesanan terutamanya kepada golongan remaja agar menjauhi gaya hidup yang tidak sihat.

"Kepada semua golongan remaja, sentiasa beringatlah, sentiasa amalkan gaya hidup yang lebih sihat dan jauhi perbuatan seks bebas.

"Di usia muda memang kita akan rasa terlalu teruja tapi jangan sampai sudah terhantuk baru nak terngadah. Kita tak dapat nak putarkan waktu untuk mengubah apa-apa.

nick 3

Nick tidak mahu menuding jari, sebaliknya menyalahkan diri sendiri atas apa yang sudah berlaku.

"Kepada rakan-rakan yang baru didiagnos penyakit ini, ingatlah HIV bukan satu pengakhiran dalam hidup kita. Teruskan mendapatkan rawatan. Ramai doktor dan nurse yang sudi memberikan sokongan dan bantuan untuk golongan seperti kita.

"Dan yang paling penting jangan pernah sesekali skip untuk mengambil ubat HAART kerana ubat ini mampu memberikan bantuan untuk kita menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain