KEHILANGAN dua insan tercinta dalam jangka masa singkat ternyata memberi 'tamparan' yang mendalam buat si anak. Begitulah yang dirasai oleh Laila Hashim apabila ibunya meninggal dunia 10 hari selepas pemergian bapanya pada 11 Ogos lalu. Menerusi perkongsian video yang tular di media sosial, wanita berusia 35 tahun itu turut meluahkan rasa rindu kepada kedua-dua orang tuanya. Malahan rakaman lama yang memaparkan ibunya sedang terlantar sambil memanggil bapanya meruntun hati netizen. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Ia berikutan ibunya tidak dimaklumkan tentang kematian suami tercinta akibat jangkitan Covid-19, walaupun selepas lima hari berlalu. Bercerita kepada mStar, anak bongsu daripada 12 beradik itu memberitahu, mereka terpaksa merahsiakan berita sedih tersebut daripada pengetahuan ibu kerana bimbang keadaan kesihatan makin terjejas. "Mak saya dah lama terlantar akibat penyakit strok... kira-kira lima tahun. Keadaan itu menyebabkan dia mengalami dementia (nyanyuk). ARTIKEL BERKAITAN: Anak tunggu ibu pulang dari umrah nak belanja ‘duit gaji kedua’, pilot call beritahu ‘mak dah meninggal’ sebaik mendarat di KLIA ARTIKEL BERKAITAN: Suami ‘pergi’ dulu, 5 hari kemudian ibu pula menyusul... wanita 5 anak down teruk! Si bongsu sangka ‘syurga ofis kedua papa’ "Walaupun dalam keadaan sedemikian, mak sering menyebut 'abah' mahupun 'Tam' iaitu nama panggilannya kepada abah. "Itulah perkataan yang bermain di bibir mak setiap masa dan kadang kala dia ada juga memanggil nama anak-anak," ujar Laila kepada mStar. Menurut anak jati Johor Bahru itu lagi, keadaan kesihatan ibunya semakin merosot selepas dia tiba-tiba dijangkiti wabak Covid-19. Laila (kiri) bersama kakaknya. Disebabkan berisiko tinggi, ibunya terpaksa ditahan di wad bagi pemantauan doktor. Tidak terhenti di situ saja, mereka dikejutkan pula dengan situasi bapa turut terkena jangkitan sehingga dimasukkan ke hospital. Apa yang lebih menyedihkan bagi mereka adik beradik, apabila keadaan ayah dilaporkan kritikal sehingga perlu ditidurkan. Kami semua sebulat suara tidak mahu menceritakan tentang pemergian abah kepada mak, tambahan pula keadaannya semakin teruk. LAILA "Doktor minta abang ajarkan ayah mengucap sebelum dia ditidurkan... pada masa tu memang tak tahu nak ucap macam mana kesedihan yang dirasai. "Selepas kira-kira dua hari dirawat dalam intubasi, abah disahkan meninggal dunia dan segala urusan pengebumian hanya dilakukan pihak hospital kerana abah dijangkiti wabak. "Mak masih dalam pemantauan doktor di hospital ketika itu dan dia dibenarkan keluar selepas tiga hari abah pergi," luahnya sebak. Katanya lagi, disebabkan tidak melihat kelibat ayah, ibunya sering memanggil dan menyebut nama insan yang dirinduinya itu. Kesemua ahli keluarga Laila berkumpul. Kata Laila, sepanjang tempoh terlantar strok, bapanya tidak pernah berada jauh daripada ibu. Malahan, sarapan pagi dan ubat-ubatan disuap sendiri oleh bapanya walaupun pada masa itu usia mereka berdua sudah menjangkau 78 tahun. "Kami adik beradik hanya bantu uruskan mak sahaja sebab abah dah tua dan kudratnya tidak kuat. "Abah sentiasa hadir di sisi mak dan hanya tinggal seketika ketika dia keluar ke masjid untuk solat... sebab itu mak bila celik mata akan memanggil nama abah dan dia hanya mahukan abah sahaja. "Jadi kami semua sebulat suara tidak mahu menceritakan tentang pemergian abah kepada mak, tambahan pula keadaannya semakin teruk selepas dijangkiti wabak Covid-19," ceritanya. Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu lagi, dia dan adik beradik yang lain terpaksa berbohong setiap kali diaju tentang bapa mereka. "Kadang-kadang mak tak tidur sehingga pukul 4 pagi kerana mahu melihat abah. Setiap kali diajukan soalan tentang abah, saya atau abang dan kakak akan cakap yang abah sedang berehat di depan. Antara reaksi warganet selepas menonton video yang dikongsikan Laila. "Tapi mak akan ulang bertanya sebab dia tak boleh tak tengok abah. Memang sedih tapi kami semua terpaksa demi kesihatan mak," ujar Laila yang tidak jangka ibunya juga akan pergi selepas 10 hari kematian bapa. Mengimbau kembali kenangan arwah ibu dan ayahnya, dia berkata, kedua mereka bukanlah pasangan romantik seperti generasi masa kini namun sentiasa bersama-sama walau 'badai' menimpa. Malah pasangan yang melayari bahtera rumah tangga lebih 60 tahun itu tidak boleh berpisah antara satu sama lain. "Kalau ada kesukaran atau masalah, mak dan abah akan sentiasa bersama untuk selesaikannya. "Mereka memang tak boleh berenggang. Contohnya, apabila mak balik berniaga dan tertidur atas kerusi di ruang tamu... ayah akan datang kejutkan mak untuk masuk ke bilik. "Sedangkan ayah dah tidur masa tu, tapi entah macam mana dia boleh terjaga dan kejut mak pula," katanya sambil menambah arwah ibu dan bapanya mendirikan rumah tangga pada usia 18 tahun. Video yang dikongsikan Laila kembali tular di TikTok dan ditonton lebih 173,000 pelayar. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI