suria

Wow sangat! Bakal doktor gigi ‘vogue’ di pentas runaway, tapi kalau di fakulti selesa pakai kemeja dan shawl saja

Asmara merupakan seorang model juga pelajar bidang doktor pergigian di UKM, Kuala Lumpur.

BIDANG perubatan dan peragaan ibarat dua dunia berbeza yang punya seni tersendiri.

Begitulah yang cuba disampaikan gadis bernama Asmara Nordin, 25, apabila berkongsi sisi berbeza ketika menjadi seorang mahasiswa dan tatkala beraksi di pentas peragaan.

Perkongsian transisi itu di aplikasi TikTok mengundang minat ramai yang ingin mengetahui bagaimana dia boleh terjun ke dunia peragaan tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai mahasiswa jurusan Doktor Pergigian, Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ujar Asmara yang mula terlibat dalam dunia peragaan pakaian sejak 2018, penampilannya berhijab tidak membataskan minatnya itu.

“Sejujurnya saya tak ada langsung ilmu atau latar belakang sebagai seorang model walaupun minat tu ada sejak daripada zaman persekolahan. Tapi saya tetap cuba nasib pergi casting dengan mak di Pulau Pinang.

“Syukur rezeki saya terpilih untuk join fashion show di bawah EjaShahril. Saya sangat terkejut... itulah pengalaman pertama saya sertai runway show pereka fesyen.

“Sejak daripada situ kerjaya saya dalam bidang peragaan terutama sekali runway show bertambah, tetapi tidaklah sekerap kawan-kawan freehair model yang lain,” katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Akui fasa pemulihan bukan sesuatu yang mudah... KL Fashion Week bangkit semula, tampil lebih garang!

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan Milan tapi Kedah! Model berani muncul tak pakai coli, tayang dada tersembul di KFW22... “Jantan ke original ni?”

Bercerita lanjut mengenai video yang dikongsikan, Asmara yang tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur berkata dia begitu selesa sama ada ketika menjadi seorang pelajar mahupun model di pentas runaway.

The real me tu imej waktu saya pergi fakulti dan rawat pesakit. Saya pakai kemeja dan shawl saja. Rasa macam tak bersiap langsung sebab tiada masa nak berdandan. Hanya fikir pasal klinik dan study semata-mata.

“Berbeza apabila atas pentas, saya hanya fokus pada kerjaya modelling terutama sekali masa runway sebab saya kena be in to the character of vogue moment. Bergantung pada pakaian dan apa yang pereka fesyen nak kami sampaikan.

Asmara (lima dari kanan) merupakan finalis ujibakat The Perfect 10 Model Seach.

“Perwatakan saya tak adalah berbeza sangat masa bekerja. Of course, sebagai future dentist, semasa saya rawat pesakit di klinik, semestinya perlu tunjukkan perwatakan seorang doktor yang yakin dan boleh dipercayai dan mampu memberi keterangan kepada patient dengan baik supaya mereka selesa dan yakin.

“Semasa bekerja dalam bidang modeling juga, saya perlu tunjukkan saya mampu untuk bekerja dengan designer dan team staff mereka dengan baik dan mampu peragakan busana mereka di pentas dengan sebaiknya.

"Jika pada masa saya berehat, saya hanyalah seorang gadis yang suka bergurau dan berborak,” jelas Asmara.

Saya berjaya buktikan bahawa seorang hijabista dan pelajar jurusan doktor pergigian mampu menjadi model runway setara dengan model-model di Malaysia.

ASMARA NORDIN

Memiliki ketinggian 177 sentimeter, dia kembali aktif di pentas runaway selepas PKP sehingga terpilih sebagai model bagi Malaysia International Digital Fashion Week untuk beberapa rekaan baju pada awal 2022.

Malah, dia juga berjaya menempatkan diri sebagai 10 teratas dalam ujibakat The Perfect 10 Model Seach anjuran KL (Kuala Lumpur) Fashion Week (KLFW 2022) dan diberi peluang untuk lakukan debut catwalk di pentas berkenaan.

Asmara tetap memilih untuk mengekalkan imej sebagai model bertudung.

Kata Asmara, pecapaianya hari ini tidak datang bergolek kerana banyak rintangan perlu ditempuhi namun ia boleh diatasi dengan usaha yang berterusan.

“Bagi saya, berada di pentas KFLW 2022 merupakan pencapaian paling besar apabila dapat berdiri sebaris dengan model-model berpengalaman.

"Tetapi apa yang lebih bermakna adalah saya berjaya buktikan bahawa seorang hijabista dan pelajar jurusan doktor pergigian mampu menjadi model runway setara dengan model-model di Malaysia.

Wanita ini merupakan seorang pelajar tahun akhir doktor pergigian di UKM, Kuala Lumpur.

“Saya rasa terharu dan bangga dapat peragakan busana beberapa designer sebelum ini. Saya terpilih untuk join show Datuk Seri Bernard Chandran selepas hadiri casting beliau untuk Piala Seri Endon 2022.

“Pada saya sebagai seorang hijabista, saya kena tahu limitasi dalam berpakaian. Saya kena hormat keputusan sendiri nak jadi model berhijab. Saya sedar saya tidak tutup aurat sepenuhnya, tapi ia tidak menjadi alasan untuk saya tidak menjaga batas.

“Sebelum ni ada designer dan staff pernah approach saya dan tanya sama ada boleh buka tudung atau turban saya. Pada mulanya saya agak terkejut, tapi lama-kelamaan saya sudah biasa dan hanya mampu menolak dengan baik,” jelasnya yang tetap dengan pendirian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain