suria

Warga emas ulang-alik rumah anak bawa bahan mentah, rupanya rindu ‘air tangan’ arwah isteri... Berselera dapat makan sambal udang petai!

Ismail meminta anaknya, Ayu memasak hidangan yang dihajatinya.

PEMERGIAN insan tercinta pastinya memberi kesan mendalam terutama bagi pasangan yang sudah berpuluh tahun mendirikan rumah tangga.

Mana tidaknya, segala kesulitan dan kesukaran telah dilalui bersama, sehingga akhirnya mengecapi sebuah kebahagiaan.

Situasi sama turut dialami Ismail Salleh selepas isteri tercinta yang dinikahinya kira-kira 40 tahun lalu meninggal dunia pada 9 Mac 2020.

Meskipun sudah dua tahun berlalu, namun cintanya tetap terpahat di hati warga emas berusia 72 tahun itu, sehingga kadang kala menimbulkan rasa rindu terutama 'air tangan' arwah isterinya.

Ia dapat dirasai menerusi video tular yang dikongsikan anaknya, Nur Shuhada di aplikasi TikTok baru-baru ini.

Berdasarkan rakaman tersebut, Ismail kelihatan berselera menikmati sambal udang bersama petai hasil masakan anak kelimanya.

Difahamkan Ismail membeli sendiri udang dan petai sebelum datang ke rumah anaknya itu untuk meminta agar dimasakkan menu berkenaan.

Berkongsi kisah mengenainya kepada mStar, wanita berusia 30 tahun yang lebih mesra dipanggil Ayu berkata, boleh dikatakan setiap hujung minggu pasti bapanya akan datang ke rumah dan membawa barang-barang mentah untuk dimasak.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak sampai kampung jam 3 pagi, pukul 7 pagi bapa diam-diam masuk dapur... rupa-rupanya tak sabar nak ‘beraksi’ masak lauk special

ARTIKEL BERKAITAN: Anak mampu turut 2 hajat sebelum ibu meninggal, tapi terkilan gagal tunai ‘persediaan kain kafan’ kerana tak sedia hilang insan tercinta

Ujar Ayu, rutin itu bermula selepas ibunya meninggal dunia.

"Memang selepas arwah ibu tiada, ayah akan bawa bahan-bahan yang dia terasa nak makan. Dia beli sendiri tanpa meminta bantuan daripada anak-anak.

"Setiap minggu pasti ayah akan bawa bahan mentah yang berbeza sama ada ketam, ikan, udang atau ayam bersama rencah-rencah lain yang ingin dimasukkan dalam masakan dihajatinya.

"Selalunya, ayah akan datang pada waktu lapang kerana saya berniaga.

Ismail bersama isterinya berkahwin lebih 40 tahun.

Gambar kenangan Ismail bersama isterinya.

"Lagipun jarak antara rumah kami sekitar 20 minit saja. Saya duduk di Pauh Jaya manakala ayah di Alma (Pulau Pinang)," ujarnya memulakan bicara.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, bapanya yang merupakan pesara kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga sering makan di kedai.

Beranggapan bapanya rindu masakan arwah ibu, ujar Ayu, dia gembira kerana rumahnya menjadi lokasi yang dituju apabila teringin menikmati makanan istimewa.

Setiap minggu pasti ayah akan bawa bahan mentah yang berbeza sama ada ketam, ikan, udang atau ayam.

AYU

"Saya memang suka memasak, sebelum arwah mak meninggal pun saya dah masak untuk ayah.

"Kakak-kakak saya ada yang duduk dekat tapi tak pasti kenapa ayah akan datang minta saya masakkan mungkin sebab lebih menepati citarasanya.

"Iyalah, sebelum ini pun dia sering makan apa yang saya masak," ujarnya.

Ayu bersama suami dan dua anaknya.

Ayu bersama suami dan dua anaknya.

Pernah mempelawa bapanya untuk tinggal bersama, ujar Ayu, permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi atas faktor nostalgia dan kenangan.

Katanya, rumah yang didiami bapanya itu merupakan tinggalan arwah ibunya dan telah dihuni bersama selama berpuluh tahun.

Tambahan pula, abang dan adiknya masih tinggal bersama bapa di rumah berkenaan.

"Ayah cakap sayang nak tinggal rumah tu. Mungkin kerana masih rindu dengan arwah mak... banyak kenangan mereka bersama di situ.

"Saya pun baru saja duduk asing daripada ayah, iaitu selepas mak meninggal dunia," luahnya.

Terdahulu, video perkongsiannya itu tular di aplikasi TikTok sehingga ditonton lebih 186,000 pelayar.

Rata-rata warganet mendoakan agar bapa Ayu diberikan kesihatan yang baik.

Namun sebilangannya pula meluahkan rasa sedih kerana teringat pada arwah bapa masing-masing.

"Sedihnya. Dia rindu masakan bini, air tangan anak lebih kurang dengan mak.

"Hampa (awak) buat kami sedih... rindu dekat arwah ayah.

"Apabila tengok ni, rindunya pada arwah ayah.

"Rindu arwah abah... dah la lauk kesukaan dia," ujar beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain