suria

“Kalau tak mau buat semakan, putuskan talian” - Scammer gelabah, ‘hilang dari radar’ selepas ‘diajar’... hati tisu rupanya

Lelaki berkenaan mendapat panggilan dari sebuah syarikat kurier yang mendakwa berkemungkinan dia mempunyai parcel yang belum dituntut. Gamabr hiasan

KEGIATAN penipuan (scam) semakin berleluasa sejak kebelakangan ini dengan ada di antara mangsa yang kerugian sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Melihat berita yang dipaparkan di televisyen, surat khabar atau perkongsian di media sosial, kebanyakan mangsa mendedahkan taktik popular yang digunakan oleh scammer adalah menerusi panggilan telefon.

Baru-baru ini, seorang lelaki yang turut mendapat panggilan telefon daripada individu dipercayai scammer, bertindak 'mengajar' si pemanggil kerana cuba memperdaya dirinya.

Lelaki tersebut sempat merakam perbualannya bersama individu berkenaan dan memuat naik di akaun TikTok miliknya, @nazmat1967.

Apa yang lucunya, si pemanggil akhirnya 'koyak' selepas bebelan daripada lelaki tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Duit B40 juga kau nak songlap” - Niat nak belajar bahasa Mandarin tapi kena scam, iklan murah RM50 sebulan hanya janji palsu

ARTIKEL BERKAITAN: Hangus RM16,000! Tertarik dapat habuan lumayan, jejaka ini pinjam mak ayah labur sejumlah wang... padahnya scammer lesap

"Scammer hati tisu mudah koyak... tak payah call aku la ya. Tak pasal-pasal kau nangis dekat sudut katil nanti hihihi," tulisnya pada perkongsian video berdurasi hampir sembilan minit itu.

Menerusi perbualan yang dirakam, lelaki tersebut mengatakan dia pada mulanya menerima satu panggilan yang kemudian ia disambungkan kepada operator, yang merupakan seorang staf wanita dari sebuah syarikat kurier beralamat di Alor Setar, Kedah.

Menurut operator wanita berkenaan, lelaki tersebut menerima panggilan kerana berkemungkinan mempunyai parcel atau bungkusan lama yang masih belum dituntut.

Perbualan masih dalam situasi terkawal dengan operator wanita berkenaan kemudian meminta nombor 'tracking' untuknya melakukan semakan.

scammer 1

Taktik paling popular yang digunakan scammer pada ketika ini adalah menerusi panggilan telefon.

"Saya tak tahu nombor tracking, saya dapat panggilan dan kemudian mereka sambung saya ke sini," ujar lelaki berkenaan.

Operator wanita berkenaan kemudian memintanya memberikan nombor kad pengenalan untuk membuat semakan.

Bermula daripada itu, perbualan menjadi semakin tegang apabila lelaki berkenaan mempersoalkan kewajaran syarikat kurier meminta nombor kad pengenalan penerima bungkusan atau parcel.

"Kalau order barang, mana pernah kena beri nombor kad pengenalan.

"Tak pernah... selalu nombor telefon. Saya banyak order barang, tak pernah pun diminta beri nombor kad pengenalan, hanya nombor telefon dan alamat, emel... mana ada IC. Agak-agaklah kalau nak menipu.

Kelakar pun ada bila dengar. Tapi terbaik la bang, terus hilang dari radar perempuan tu.

NETIZEN

"Saya dah beli dari eBay, Lazada, Alibaba, Shopee. Saya tak perlu nak semak pun... siapa yang nak semak? Kamu telefon saya kemudian minta nombor kad pengenalan nak semak.

"Kalau saya bagi nombor IC, kamu nak bandingkan dengan nombor IC mana? Macam mana syarikat kamu ada nombor IC saya? Pihak yang hantar barang dekat saya tu ada beri nombor IC saya ke?" soal lelaki tersebut bertalu-talu.

Operator wanita berkenaan hanya mampu menjawab perkara yang sama berulang kali sebelum meminta lelaki tersebut memutuskan talian.

"Encik jangan banyak cakap... kalau tak mahu buat semakan, sila putuskan talian," katanya.

Lelaki berkenaan sempat 'mengajar' operator tersebut sekali lagi sebelum bertindak memutuskan talian.

"Dah lama buat kerja ni? Bersubahat dan menipu ni dah berapa lama? Kamu ni orang Islam ke? Ada agama atau tiada agama. Cukup-cukuplah menipu, hidup dengan menipu ni tak aman.

komen

Sebahagian komen netizen yang bersetuju dengan langkah lelaki tersebut 'mengajar' scammer.

"Satu hari nanti, terbakar punggung tu. Ada ke patut syarikat kurier minta nombor kad pengenalan. Syarikat kurier dari Marikh ke? Kenapa diam? Dah habis modal? Insaflah," kata lelaki berkenaan sebelum memutuskan talian beberapa minit kemudian.

Perkongsian video tersebut meraih 890,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Menjengah ke ruangan komen, rata-ratanya turut bersetuju dengan tindakan lelaki berkenaan memberi pengajaran kepada scammer tersebut.

"Terbaik pakcik ni, menggelabah perempuan tu terus hilang.

"Sampai sekarang scammer tu menangis tak henti-henti.

"Kelakar pun ada bila dengar. Tapi terbaik la bang, terus hilang dari radar perempuan tu," demikian komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain