suria

“Saya ada pengalaman anak hilang” - Wanita mohon maaf rakam detik budak jatuh gelongsor, dibiar bermain seorang diri di taman permainan

Bya mengawasi kanak-kanak lelaki tersebut sebelum salah seorang ahli keluarganya datang ke taman permainan.

BUKAN sekali dua kita dihidangkan dengan berita mengenai kes penculikan atau kecelakaan membabitkan kanak-kanak angkara kecuaian ibu bapa.

Namun ada segelintir ibu bapa yang tidak mengambil iktibar malah memandang remeh soal keselamatan anak sendiri dan situasi ini dapat dilihat di lokasi tertentu seperti pusat beli belah dan sebagainya.

Baru-baru ini seorang wanita berkongsi video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia dua tahun yang terjatuh di taman permainan indoor, gara-gara dibiarkan bermain berseorangan tanpa pengawasan.

"Jangan cuai... jadikan iktibar apa yang berlaku semalam," tulisnya pada kapsyen video tersebut.

Hanya mahu dikenali sebagai Bya Rahman, wanita ini berkata ketika kejadian di sebuah pusat membeli belah di Johor Bahru itu, dia sedang memantau anak-anaknya bermain sambil merakam video mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia takut kalau dibaringkan” - Bayi mangsa culik masih trauma, ibu cuba rawatan Islam

ARTIKEL BERKAITAN: Niat elak budak jadi mangsa culik, dilanggar kereta...sudahnya kena ‘sound’ "tak payah sibuk hal orang"!

"Anak saya ligat sikit, memang sambil pantau mereka, sambil-sambil tu saya rakam video sebagai kenangan. Tanpa senagaja dalam video anak saya tu, terakam seorang budak lelaki yang tiba-tiba terjatuh ketika bermain gelongsor.

"Saya ingatkan budak perempuan di belakang budak tersebut adalah kakaknya. Rupa-rupanya bukan. Mata saya melilau dan bertanya anak siapa ni tapi tak ada pun mengaku.

"Saya bukan tak mahu tolong tapi saya tergamam sekejap, nak terpa tapi fikir ada ibu bapa atau adik beradiknya di situ.

"Lagi pula saya bawa empat anak kecil yang juga perlukan pantauan kerana saya berseorangan tanpa suami yang bekerja ketika itu," ujar wanita berusia 37 tahun ini.

Tambah ibu kepada lima cahaya mata lelaki ini, selepas terjatuh, kanak-kanak lelaki tersebut berlari keluar dari taman permainan berkenaan namun dia pantas mengejarnya.

anak

Bya bersama empat anak kecilnya yang dibawa bersama ke pusat membeli belah berkenaan.

"Waktu itu mata saya masih lagi mengawasinya. Bila dia lari, saya kejar sementara anak-anak ikut belakang sambil si abang dokong adik bongsunya. Saya bawa kanak-kanak itu ke taman permainan semula bimbang ibu ayahnya cari.

"Saya tanya juga siapa nama dan mana ibu ayahnya, tapi dia mungkin belum boleh faham. Kali kedua pun dia nak berlari-lari tapi saya cepat pimpinnya ke taman permainan semula.

"Bimbang sebab depan tu escalator (tangga bergerak). Beberapa minit kemudian ada seorang budak lelaki anggaran usia 10 tahun, datang untuk dapatkan kanak-kanak tersebut. Saya tanya 'ini adik awak ke' dan dia mengiyakan," ceritanya.

Kata Bya, kedua-dua beradik tersebut kemudian dilihat menuju memasuki sebuah restoran makanan segera yang terletak tidak jauh dari taman permainan berkenaan.

Disebabkan pengalaman sendirilah, saya jadi lebih berhati-hati dan prihatin. Saya nak minta maaf jika ibu atau bapanya lihat video tersebut tapi niat saya sebagai iktibar.

BYA RAHMAN

Wanita ini menambah, perkongsian video tersebut sekadar bertujuan memberi iktibar kepada para ibu bapa agar tidak cuai bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

"Saya sebelum ini pernah melalui detik mencemaskan ketika anak sulung berumur dua tahun. Tengah shopping baju, tiba-tiba anak ghaib sedangkan mata kita beberapa saat tengok tempat lain. Macam nak pecah jantung.

"Disebabkan pengalaman sendirilah, saya jadi lebih berhati-hati dan prihatin. Saya nak minta maaf jika ibu atau bapanya lihat video tersebut tapi niat saya sebagai iktibar.

komen playground

Antara komen netizen terhadap perkongsian Bya.

"Buat ibu bapa di luar sana, kalau nak pergi shopping atau mana-mana, jangan tinggalkan anak berseorangan. Tak kisahlah umur anak berapa tahun.

"Yang dah bersekolah pun kita tak boleh harap, apatah lagi yang umurnya kecil. Memang tak boleh leka sebab mereka aktif. Bimbang ditarik orang tak dikenali satu hal, bimbang cedera pun satu hal.

"Sama-sama beringat... zaman sekarang ni bukan macam dulu," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain