suria

Selepas kemalangan, wanita dipatuk King Cobra pula! Mata jadi kabur, suara sengau... suami datang hospital bawa bangkai ular

Farah mendapatkan rawatan di Hospital Machang, Kelantan setelah dipatuk seekor ular tedung selar.

SUDAH jatuh ditimpa tangga.

Gara-gara dipatuk seekor ular tedung selar, seorang wanita digegaskan ke unit kecemasan Hospital Machang, Kelantan pada Selasa.

Lebih malang, ketika dipatuk haiwan berbisa itu, dia baru sahaja terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira dua bulan lalu.

Ketika dihubungi mStar, Farah Diana Din, 38, menceritakan semula kisah yang hampir meragut nyawa ketika dia, suami dan anak lelakinya, Muhamad Qhalish Haiqal, yang berusia lima tahun berada di rumah kedai mereka di Kok Lanas, Kelantan.

“Waktu tu sekitar jam 10 pagi. Saya, suami dan anak lelaki sedang tidur di bilik rumah kami.

“Saya tersedar bila tiba-tiba rasa macam ada benda jatuh atas tubuh. Saya dapati ada seekor ular atas badan tengah merayap. Masa tu tak pasti lagi ular jenis apa.

ARTIKEL BERKAITAN: Alahai ayah, susahnya permintaan! Anak buntu, bapa baru dipatuk ular spesies bahaya ajak singgah makan roti canai sebelum ke hospital

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa nampak ular ‘target’ anak sedang mandi air terjun tapi tak sempat bertindak, tiba-tiba dah kena patuk 2 kali - “Dua klinik tak terima kes ni”

“Saya sangat terkejut bila nampak ular tu jadi saya menggelupur. Ketika itulah ular tersebut patuk bahagian siku sebelah kanan saya,” ujarnya yang senang disapa Farah.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia terpaksa menghubungi penyewa kedai bagi mendapatkan bantuan menghantarnya ke unit kecemasan pada jam 11 pagi hari yang sama.

Katanya, suaminya, Mohd Hamdan Jusoh, 49, tidak dapat menghantarnya ke hospital kerana cedera parah akibat kemalangan jalan raya pada 12 Julai 2022.

Setelah tiba di hospital, wanita ini mula mengalami beberapa gejala sekali gus membuatkan dirinya cemas kerana bimbang akan berlaku perkara tak diingini.

“Saya hubungi dan minta penyewa kedai tolong hantarkan ke hospital. Suami masih lagi tak boleh memandu selepas tempurung lutut dia retak akibat kemalangan jalan raya ketika kami sekeluarga pulang dari Kedah ke Kelantan pada Julai.

Ular yang berada dalam rumah Farah berjaya dibunuh oleh suami dan abang ipar.

“Selepas kemalangan tu dua orang anak saya dijaga oleh ibu di Kedah sebab anak sulung berusia 10 tahun patah tulang paha kiri dan anak kedua patah tangan kiri jadi terpaksa masuk besi. Saya pula alami patah dua jari kaki selepas kemalangan tu.

“Tak sangka sepas accident menimpa kami sekeluarga, saya pula kena patuk ular. Nasib baik hanya kami bertiga saja ada di rumah ketika tu. Anak kecil saya tak kena apa-apa.

“Bila sampai saja di hospital, kedua-dua belah mata saya tak dapat celik dah melihat lagi. Percakapan saya pun dah mula berubah sampai jadi sengau. Lidah saya tak dapat digerakkan. Saya nak telan air liur dan buang kahak pun dah tak lepas,” katanya lagi.

Menurut Farah, pihak hospital berusaha untuk kenal pasti jenis ular yang mematuknya dengan tepat agar penawar atau ubat yang diberikan bersesuaian dengan bisa haiwan itu.

Mujurlah suami dan abang ipar jadi penyelamat. Mereka berjaya temui semula ular tu yang masih berada dalam rumah.

FARAH DIANA

Bagaimanapun sekitar jam 12.30 tengah hari, suami dan abang iparnya datang ke hospital bersama seekor ular jenis tedung selar atau King Cobra yang telah mati dipukul bersaiz lebih besar dari ukuran batang paip air.

“Pada mulanya saya kurang pasti jenis ular tu tapi doktor nak juga saya sahkan spesis ular yang patuk saya tu untuk mereka berikan antidot.

“Mujurlah suami dan abang ipar jadi penyelamat. Mereka berjaya temui semula ular tu yang masih berada dalam rumah. Mereka berjaya tangkap dan bunuh haiwan berbahaya tu lalu dimasukkan ke dalam karung guni.

“Sebaik saja ular tu ditunjukkan, pihak hospital terus sediakan ubat antivenom untuk disuntik pada saya. Selepas disuntik, keadaan saya makin stabil. Mata dah boleh buka, percakapan kembali normal dan tidak lagi sengau. Lidah pun boleh bergerak dan saya lega dapat telan air liur semula,” ujar Farah lagi.

Ujar Farah, ini merupakan kali pertama dia berdepan insiden dipatuk ular.

Farah bersama ahli keluarganya.

Luahnya yang mengusahakan butik pakaian Mama Gojes, ujian dihadapinya cukup berat apatah lagi dia dan keluarga baru sahaja terbabit kemalangan jalan raya.

Namun, Farah tetap kuat menempuhi ujian dan meminta agar lebih ramai yang mendoakan kesembuhannya supaya dia dapat terus mencari rezeki untuk keluarga tersayang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain