suria

“Kami tak syak langsung” - Ibu anggap anak normal, sebenarnya ada autisme... hanya sedar bila kakak cakap sesuatu!

Farha berkongsi kisah anaknya yang menghidap autisme di TikTok.

LAZIMNYA individu autisme tidak menunjukkan sebarang tanda tidak normal atau kecacatan fizikal, sebaliknya masalah ini dapat dikenal pasti melalui perkembangan mental.

Sebagaimana diceritakan Farha Maskury, 37, sebagai ibu dia langsung tidak sedar anak ketiganya Izzul I’jaaz yang berusia enam tahun menghidap Autism Spectrum Disorders (ASD) sehinggalah kanak-kanak itu didiagnos.

Ketika dihubungi mStar, Farha menceritakan bagaimana dia akhirnya dapat mengesan tanda-tanda tidak normal yang terdapat pada anaknya walaupun sedikit lambat menyedarinya.

“Dari umur dia tiga bulan sampai empat tahun saya hantar ke taska biasa sebab saya dan suami bekerja.

“Kami tak syak langsung dia ada kelainan sebab ramai kanak-kanak sebayanya pelat dan belum petah bercakap. Tapi waktu tu Izzul tahu nursery rhymes. Cara dia bermain pun tak nampak berbeza dengan kanak-kanak lain,” kata Farha.

Menurut Farha, ketika anaknya berusia lima tahun, dia sempat menghantar Izzul untuk sesi pra-sekolah selama tiga bulan sahaja sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

Tambahnya, sewaktu sesi pembelajaran secara virtual, Izzul kerap menangis kerana enggan mengikuti kelas yang diadakan sehingga persekolahannya terpaksa diberhentikan.

Apabila negara kembali ke fasa pemulihan sekitar September 2021, Farha hairan dengan anaknya yang tidak dapat memahami arahan yang diberikan sewaktu dia mahu didaftar masuk ke pra-sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Melulu kaitkan anak autisme, speech delay dengan gangguan jin... ustazah teruk kena ‘sekolah’, pakar psikiatri pun bersuara

ARTIKEL BERKAITAN: Luar biasa! Budak 10 tahun mampu lukis logo ‘sebiji’ hanya dengan sekali tengok, mak ayah pernah keliru antara logo asli dan lukisan di TV

“Saya mula rasa bimbang sebab tinggal setahun saja lagi Izzul nak masuk darjah satu jadi saya uji semula kebolehan dia. Dia boleh membaca dan mengira Matematik dengan mudah tetapi menggunakan perkataan yang sangat terhad.

“Ayat dia tulis pendek yang mana dalam satu ayat cuma ada empat patah perkataan saja sebelum dia bina ayat baharu. Saya cuba bandingkan dengan anak-anak kawan yang sebaya. Mereka petah bersembang dua hala. Boleh bercerita macam-macam tapi Izzul tak... dia hanya sebut benda penting sahaja.

“Kakak saya juga ada anak yang sedang didiagnosis untuk ASD dan dia cakap Izzul ada ciri-ciri yang sama dan kelihatan ketara apabila berada di tempat awam. Tergamam juga dengar kata-kata kakak dan saya terus bawa Izzul ke klinik psikologi dan jalani sesi terapi. Selepas beberapa sesi, barulah saya tahu Izzul bukan cuma speech delay tapi menunjukkan ciri-ciri ASD,” ujarnya.

Sepanjang menghadiri beberapa sesi konsultasi, Farha dapat mengimbau kembali keadaan anaknya sejak kecil sehingga kini yang sememangnya menunjukkan tanda-tanda autisme.

Izzul berusia enam tahun ketika didiagnos mempunyai masalah autisme.

Dia yang merupakan pegawai penyelidikan di sebuah syarikat telekomunikasi berkata, antara simptom ditunjukkan Izzul adalah menggunakan perkataan terhad, eye-trailing, suka pusingkan roda, kurang memberi respons ketika dipanggil, mengulangi percakapan, takut dengan khalayak, tidak dapat baca mimik muka orang lain dan banyak lagi.

Apabila dirujuk ke klinik pakar psikologi, doktor memberitahu bahawa simptom awal tidak dapat dikesan kerana ia tidak ketara ketika masih kecil disebabkan spektrum ASD yang luas.

Tanpa berlengah atau berfikir panjang lagi, Farha menghantar anaknya ke sekolah swasta Keperluan Khas untuk Kanak-kanak Autism.

“Saya takut dia terlepas banyak untuk ikut balik pembelajaran darjah satu sebab tu hantar ke sekolah tu. Sekolah ini dah lengkap dengan EIP (Early Intervention Program) dan OT (Occupational Teraphy) untuk kanak-kanak ASD macam Izzul.

“Alhamdulillah Izzul sangat-sangat baik di sekolah dan seronok belajar di sana. Dalam masa sama dia jumpa minat pada bunyi. Bermula dengan membuat bunyi-bunyi siren pada Mei 2022, akhirnya boleh mainkan lagu klasik Beethoven Fur Elise pada September 2022,” ujar Farha.

Disebabkan saya kesal lambat kesan simptom yang ditunjukkan Izzul, maka saya jadikan platform TikTok sebagai jurnal untuk perkembangannya.

FARHA

Susulan video dikongsikan di TikTok yang meraih lebih 700,000 jumlah tontonan, warga maya mula memberi kata-kata semangat buat ibu kepada empat cahaya mata ini.

Dengan perkongsiannya itu, Farha berharap lebih ramai masyarakat peka dengan keadaan anak mereka sejak kecil.

“Disebabkan saya kesal lambat kesan simptom yang ditunjukkan Izzul, maka saya jadikan platform TikTok sebagai jurnal untuk perkembangannya. Sangat mengejutkan ia membuka mata ramai ibu bapa dan masyarakat tentang masalah ASD. Barulah orang tahu ASD ni sangat luas spektrumnya.

“Saya juga berharap parents lain cakna dan tak in denial jika perkembangan anak tak seperti yang sepatutnya. Kesan awal bukan sahaja dapat membantu mereka, tapi membantu kita juga sebagai penjaga supaya dapat menerima keadaaan anak-anak ini dengan baik.

Farha bersama ahli keluarganya.

“Ada banyak kumpulan sokongan yang ada sekarang dan ia sangat-sangat membantu saya. Jika terasa ada yang tak kena dengan perkembangan anak, jangan diagnos sendiri. Sebaliknya dapatkan konsultasi daripada pakar.

“Ada banyak salah faham masyarakat terhadap anak-anak autisme. Tidak semestinya kalau ada autisme anak akan genius. Tak semestinya juga kalau autisme anak akan mengamuk.

"Setiap kanak-kanak sangat berbeza antara satu sama lain. Harapan kami sebenarnya mahukan anak ni boleh menjalani kehidupan senormal yang mungkin. Jika mereka ada kebolehan lain, syukur Alhamdulillah. Tapi jika tiada pun, ia tak menjadikan mereka less of a person,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain