MEMILIKI cayaha mata sendiri merupakan impian setiap pasangan suami isteri, namun tidak semua berpeluang menikmatinya di usia awal perkahwinan. Malahan ada yang terpaksa menunggu berbelas tahun dan melakukan pelbagai ikhtiar untuk memiliki 'malaikat kecil' bagi penyeri rumah tangga. Seperti yang dilalui pasangan suami isteri Noorizam Abu Samah dan Adib Hafaz Abu Hassan, 42, mereka belum dikurniakan zuriat walaupun sudah 12 tahun menjalani bahtera perkahwinan. Berkongsi cerita kepada mStar, wanita yang mesra disapa Noor berkata, pelbagai usaha dilakukannya sejak tahun pertama bergelar isteri. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Mengakui mengamalkan diet kerana mengalami masalah obesiti, wanita berusia 37 tahun itu turut melakukan rawatan tradisional seperti berurut di samping mendapatkan khidmat nasihat pakar di hospital. "Hasil daripada nasihat pakar, saya mengambil ubat-ubatan yang disarankan. Namun, saya mengalami masalah hormon pula kerana ubat yang diberikan itu tidak sesuai dengan tubuh. "Pada masa sama, saya disahkan mempunyai PCOS (Sindrom Polikistik Ovarium) dan kurang darah pada usia ketiga perkahwinan," luahnya kepada mStar. Bagaimanapun katanya, situasi kesihatan yang dialami itu bukanlah baru bermula. ARTIKEL BERKAITAN: Sejak awal kahwin disahkan tak boleh hamil normal, wanita meraung diuji dengan kanser limfoma ketika jalani rawatan IVF ARTIKEL BERKAITAN: Gaji cuma cukup makan, suami isteri tak gembira lihat kit ujian kehamilan positif... rancang gugur kandungan Malah dia sudah lali dengan persekitaran Hospital Kajang kerana acap kali dimasukkan ke situ. "Masalah kesihatan bermula kerana saya obesiti dan pada masa sama ingin memiliki zuriat sendiri. "Pertama kali saya dimasukkan ke hospital adalah pada tahun pertama perkahwinan dan sehingga memasuki tahun kedua. "Masa tu saya alami kencing ada protein, gara-gara makan ubat kurus selama enam bulan. Tapi tu sebelum berkahwin dan kesannya saya alami selepas berkahwin," katanya yang kemudian pulih daripada masalah buah pinggang berkenaan. Tidak menunggu lama, pasangan suami isteri ini meneruskan usaha untuk mendapatkan zuriat sehinggalah mendapatkan nasihat dan rawatan ginekologi daripada pakar sehingga kini. Noor diuji dengan pelbagai masalah kesihatan berkaitan obesiti. Menurutnya, sepanjang tempoh perkahwinan, hanya dua tahun sahaja dia tidak dimasukkan ke hospital kerana ikhtiar untuk mendapatkan anak. Terbaharu, anak kelahiran Kajang, Selangor ini diduga pula dengan beberapa masalah kesihatan lain yang berkaitan obesiti. "Semasa pemeriksaan kesihatan baru-baru ini, saya dimaklumkan mengalami OSA atau gangguan tidur yang serius dan fatty liver stage two. "Sebelum ni saya dimasukkan ke Hospital Kajang sahaja, tapi kali ni di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," ujarnya sambil berharap masalah kesihatan yang dialami dapat segera diubati. Caranya tidak pernah berubah sejak 12 tahun lalu seolah-olah menjadi rutin harian apabila saya masuk wad. NOORIZAM ISTERI Meskipun sentiasa ulang-alik ke hospital dan menghidap pelbagai masalah kesihatan berkaitan obesiti, Noor bersyukur kerana suaminya sentiasa ada di sisi. Dia juga tidak pernah ketinggalan untuk melawat saya di hospital setiap hari walaupun terpaksa meredah hujan dan panas mahupun ketika letih bekerja. "Dulu dekat dengan rumah sebab saya dimasukkan ke wad Hospital Kajang... tapi sekarang di HCTM. Jauh untuk dia ulang alik melawat saya. Noor bersama suaminya mendirikan rumah tangga 12 tahun lalu. "Sekarang pula sering hujan pada waktu petang dan suami hanya menunggang motosikal. "Tapi caranya tidak pernah berubah sejak 12 tahun lalu seolah-olah menjadi rutin harian apabila saya masuk wad. "Kadang-kadang saya rasa kasihan sebab dia perlu datang jauh, dah la kerja pun penat," ujarnya sayu. Bukan itu sahaja, suaminya juga akan meluangkan masa untuk menghubunginya menerusi panggilan video sekali gus memberi sokongan moral agar dia terus kuat menghadapi dugaan. Ujar penjawat awam itu lagi, dia terharu kerana suaminya sentiasa ada di saat susah dan senang serta membuatkannya rasa dihargai walaupun mempunyai banyak kekurangan. "Terima kasih ada dengan saya waktu susah senang, dengar rungutan sakit saya sana sini dan menerima saya seadanya. "Semoga Allah balas segala kebaikan, kasih sayang yang dia bagi pada saya," rintihnya pilu. Rata-rata warganet memuji sikap suami Noor dan berdoa hubungan mereka kekal selamanya. Terdahulu, video perkongsian yang dimuat naik di TikTok menjadi tular sehingga mendapat lebih 398,200 tontonan. Visual lambaian penuh mesra serta kapsyen menghargai suami yang setia bersamanya selama 12 tahun cukup meruntun hati warganet. Malah ia turut mendapat perhatian selebriti terkenal, Fazura yang turut meninggalkan komen tanda kagum dengan kasih sayang pasangan itu. Rata-rata warganet memuji sikap suaminya dan menyatakan ia adalah bukti cinta sejati seorang lelaki. "This pure love. Dia macam 'eh apa tak buat lagi ya? Jenguk bini kejap'. "Bini (isteri) aku cesarean. Hari-hari datang wad untuk tiga hari pun rasa macam nak patah pinggang... kalian hebat. "Cinta sejati itu wujud. Semoga cinta kekal hingga ke jannah," ujar beberapa netizen. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI