suria

Pemuda kampung ini pilih jaga nenek uzur, ‘gantung’ ijazah demi saham akhirat... Reda cari duit jual coconut shake

Keri berhasrat untuk bekerja dalam bidang diminati berbekalkan ijazahnya di ibu kota.

SETIAP daripada kita pasti memasang impian untuk bekerja di syarikat-syarikat besar dan ternama di ibu negara.

Namun adakalanya impian dan cita-cita itu perlu dikuburkan dek kerana tanggungjawab besar terhadap keluarga.

Situasi sama dialami Muhammad Khairi Ismail, 24, yang terpaksa membatalkan hasrat untuk bekerja di Kuala Lumpur demi membantu ibunya menjaga nenek sedang uzur.

Menurut jejaka senang disapa Keri, sebagai bekas pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Perlis 2017, dia bercita-cita untuk menjadi seorang pengurus bank selepas tamat di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah tidak lama lagi.

Untuk rekod Keri merupakan bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam yang menamatkan pengajian dengan CGPA 3.64.

“Saya baru habis buat latihan industri dan bakal konvo pada Mei 2023. Course saya ambil pun memang pilihan pertama sebab minat sangat nak kerja di bank.

“Sementara tengah tunggu dapat kerja dalam industri saya buat bisnes kecil-kecilan jual air coconut shake, jagung shake dan keladi float bersebelahan pagar klinik kesihatan di Beseri, Perlis.

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek kesayangan pergi buat selamanya, wanita ini terkenang momen tidur dalam kelambu... Ramai boleh ‘relate’ membesar tanpa ibu bapa

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek 84 tahun gelisah kenang nasib cucu autisme yatim piatu, tak senang duduk fikir siapa boleh sambung tugas jaga anak syurga

“Saya berniaga jual air ni sebab nak tampung kos pengajian sebab malu nak minta duit dekat mak, wang pencen arwah ayah tu cukup-cukup makan saja,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Ujarnya, ketika mengikuti pengajian di kampus, dia terpaksa berulang alik dari rumah berjarak 80 kilometer menaiki motosikal untuk menemani ibunya yang tinggal bersendirian di rumah.

Dalam pada itu, Keri yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik ini juga memikul bertanggungjawab menjaga neneknya yang sudah uzur.

Keri ditugaskan menghantar nenek ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Saya berulang alik dari kampus sebab nak jaga mak dekat rumah. Dekat kolej saya aktif berpersatuan jadi memang balik rumah jam dua hingga tiga pagi. Kawan-kawan ada ajak duduk bilik tapi saya lebih risaukan mak.

“Tok (nenek) pula memang dah lama tak boleh berjalan sebab penyakit diabetes dan obesiti. Dia hanya mampu merangkak perlahan-lahan saja. Adik beradik lain semua dah berkahwin dan ada keluarga sendiri,” ujar Keri lagi.

Apabila tanya mak tentang niat nak kerja di bandar, mesti mak diamkan diri umpama nak saya ada di sisi dia saja.

MUHAMMAD KHAIRIL

Terdahulu Keri berkongsi video di TikTok sambil meluahkan isi hatinya yang meronta-ronta untuk berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar impian sebagai pegawai bank.

Akui Keri timbul juga rasa cemburu apabila melihat rakan-rakan lain sibuk mengejar impian dan cita-cita mereka.

Walaupun pernah mengutarakan keinginan untuk mencari kerja di bandar namun niatnya itu terpaksa dibatalkan setelah mendengar alasan si ibu.

“Berkenaan video saya post dekat TikTok, tak sangka boleh viral. Siapa saja tak rasa cemburu lepas tengok kawan habis praktikal tak sempat konvo lagi dah dapat kerja di bank dan syarikat-syarikat hebat.

Perniagaan yang diusahakan oleh Keri.

“Lagipun kita belajar sampai menara gading mestilah nak dapat kerja bagus. Tapi apabila tanya mak tentang niat nak kerja di bandar, mesti mak diamkan diri umpama nak saya ada di sisi dia saja.

"Lepas tu mak cakap kalau saya rak ada siapa nak uruskan tok ke klinik. Jadi tanpa banyak tanya saya putuskan saja untuk terus berniaga.

“Saya tak malu pun berniaga sebab dari darjah dua lagi arwah ayah minta saya jual petai dari pintu ke pintu rumah orang.

"Dulu malulah juga tapi ayah banyak ajar saya erti susah senang. Lepas dia meninggal masa saya darjah enam, saya tak sempat berbakti untuk dia. Sekarang saya ambil peluang berbakti dengan jaga mak dan tok,” ujarnya lagi.

Perkongsian Keri mengundang sebak netizen dengan rata-rata mendoakan agar rezekinya dipermudahkan.

“Awak sedang mengumpul saham akhirat dik.

“Ikhlaskan hatimu akan ada sesuatu yang indah dalam hidupmu... kalau bukan di dunia di akhirat nanti.

“Percaya la... berbakti pada orang tua, Allah sentiasa permudahkan urusan n perjalanan kita, InsyaAllah,” kata beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain