suria

Jaga makan, amal gaya hidup sihat, pemuda terduduk didiagnos sakit buah pinggang tahap akhir pada usia 24 tahun!

Syahmi berkongsi mengenai rutinnya melakukan rawatan dialisis air untuk menyebarkan kesedaran kepada orang ramai.

TIDAK pernah terjangkau dalam fikiran pemuda ini dirinya disahkan menghidap salah satu penyakit kronik pada usia yang cukup muda.

Apatah lagi dia seorang yang amat menjaga pemakanan dan menjalani gaya hidup sihat, namun tiada upayanya mempertikaikan takdir Yang Maha Esa.

Berkongsi cerita dengan mStar, Mohammad Syahmi Azman berkata, tanpa sebarang simptom mahupun amaran, tiba-tiba dia menerima perkhabaran daripada doktor mengatakan dirinya menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir, di mana organnya itu gagal untuk berfungsi.

Mengimbas kembali episod sedih yang berlaku pada 2019 ketika usianya 24 tahun, dia yang senang disapa Syahmi berkata segala-galanya bermula apabila dia diserang sesak nafas secara tiba-tiba.

"Ketika itu saya ada kursus di Langkawi. Sebelah pagi, saya sempat berjoging lagi tapi malam hari yang sama, saya sesak nafas. Tak pernah jadi macam tu, jadi saya pergi ke hospital di pulau itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut disahkan kanser belum hilang, remaja ini tabah lalui satu lagi debaran tunggu result SPM di katil hospital - “Saya sihat saja sebelum ni”

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan sakit kulit, pelajar tak sangka hidap kanser! Pergi hospital nak ambil keputusan check up, terus diminta buat kemoterapi

"Malam tu waktu ambil darah, doktor beritahu result tak cantik. Esoknya, doktor pakar datang dan buat ultra sound. Dia kemudian dengan sugul beritahu kedua-dua buah pinggang saya kecut.

"Pada waktu didiagnos kali pertama, penyakit buah pinggang saya dah berada pada tahap akhir. Sememangnya seperti silent killer sebab tak ada simptom langsung sebelum itu," ujar pemuda berusia 27 tahun ini.

kidney 4

Syahmi didiagnos dengan masalah buah pinggang ketika berusia 24 tahun.

Ujar Syahmi, saat mendengar perkhabaran tersebut, perasaannya bercampur baur antara terkejut, sedih dan buntu pada masa yang sama kerana memikirkan bagaimana dia boleh menghidap penyakit kronik tersebut.

"Saya seorang yang amalkan gaya hidup sihat, jaga makan, tak merokok tapi ternyata itu bukan lesen untuk tidak terkena penyakit.

"Orang mungkin fikir puncanya sebab pemakanan. Namun sebilangan yang muda yang hidap penyakit ini adalah disebabkan faktor semula jadi.

"Saya memang terkejut. Jujurnya, tiga hari sepanjang di Langkawi, saya menangis. Saya hanya beritahu bapa dan rakan sepejabat sahaja ketika itu," katanya yang merupakan seorang kakitangan di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, di Putrajaya.

Sebaik pulang ke ibu negara, Syahmi terus mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di mana dia menjalani dialisis darah sebanyak lima kali sesi, sebelum meneruskan rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) atau dialisis air, sehingga kini.

kidney 3

Mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan pada tahun lalu.

"Bagi pesakit buah pinggang tahap akhir, ada tiga kaedah iaitu dialisis air, atau dialisis darah atau menjalani transplant. Bagi saya, dialisis air lebih baik sebab tak menyakitkan. Doktor pun sarankan sebab ia menjimatkan dan mempunyai kelebihan dari segi kualiti hidup.

"Walaupun kena buat empat kali setiap hari, tapi ia boleh dibuat di mana. Kalau dialisis darah, kerana buat dekat center. Kita kena pandai manage masa. Apabila dah jadi rutin so ia bukan satu masalah," ujarnya yang hampir empat tahun menjalani dialisis air.

Ditanya bagaimana dia menerima hakikat sebagai seorang pesakit buah pinggang, Syahmi mengakui, dia sendiri mengambil masa sehingga enam bulan untuk menghadam situasi.

Memang rasa down. Pernah saya terfikir jangka hayat pasti tak lama.

MOHAMMAD SYAHMI AZMAN

"Ketika didiagnos, saya berusia 24 tahun... cukup muda. Ketika itu, Allah beri rezeki dapat kerja pada usia muda, dapat beli kereta dan rumah... kiranya ia waktu kemuncak untuk capai impian.

"Sekali, waktu itu juga Allah bagi sakit untuk menguji. Ia satu ujian yang besar buat saya. Memang rasa down. Pernah saya terfikir jangka hayat pasti tak lama.

"Namun, pertemuan dengan seorang pesakit buah pinggang mengubah persepsi saya. Dia berkongsi cerita, sudah berbelas tahun menjalani dialisis dan wajahnya juga tak seperti orang sakit.

"Saya banyak belajar sikap positif daripada abang tu, dan bergaul dengan komuniti yang sama. Saya ambil masa betul-betul untuk move on sekitar tiga hingga enam bulan," ujar pemuda yang berasal dari Jerantut, Pahang ini.

Sudah hampir setahun mendirikan rumah tangga dengan wanita bernama Fatin Insyirah Azizan, Syahmi bersyukur dikurniakan seorang isteri yang bukan sahaja menerima dirinya seadanya malah menjadi sistem sokongan kuat untuknya menjalani hari-hari mendatang.

kidney 2

Syahmi (dua,kiri) kini bertugas di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di Putrajaya.

Kerap membuat perkongsian termasuk sesi live di TikTok, Syahmi berkata dia mahu memanfaatkan platform tersebut bagi memberi informasi dan dalam masa yang sama menyebarkan kesedaran mengenai penyakit buah pinggang serta rawatan yang dijalaninya.

"Satu lagi mesej yang saya nak tekankan, usahlah bergurau perkara yang tidak sensitif. Contohnya ada komen gurauan seperti 'jual buah pinggang ke, tukar buah pinggang dengan iPhone ke' dan macam-macam lagi.

"Tak sepatutnya buat gurau hal buah pinggang ni. Perkara melibatkan kesihatan ini sensitif, lebih-lebih lagi ia penyakit seumur hidup. Tolong ada sensitiviti.

"Selain itu, saya selit juga pasal pendermaan organ. Malaysia antara negara yang rendah tahap kesedarannya mengenai pendermaan organ.

"Saya tahu ramai rakyat negara ini yang berhati mulia. Kalau ada yang dah ada niat, teruskan ikrar dan mendaftar sebagai penderma organ di MySejahtera," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain