suria

Ajal pengantin 2 minggu, penghantar makanan maut dirempuh SUV di lampu isyarat... “Tak ada rezeki jumpa Amin”

Mangsa yang maut baru sahaja mendirikan rumah tangga 9 September lalu

MALANG tidak berbau.

Satu kemalangan maut melibatkan lima kenderaan berlaku di persimpangan lampu isyarat, Jalan Meru/Jalan Haji Sirat, Batu Belah, Klang, Selangor pada Jumaat.

Dalam kejadian tersebut, seorang penghantar makanan meninggal dunia manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera parah berpunca pergeseran dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-trail sebelum merempuh sebuah Proton Wira dan dua motosikal.

Lebih menyedihkan, difahamkan mangsa yang maut dikenali sebagai Amin, 34, baru sahaja mendirikan rumah tangga 9 September lalu.

Berdasarkan daripada rakaman video berdurasi 15 saat yang tular, arwah didakwa sempat menoleh ke kiri melihat seorang penunggang motosikal lain dirempuh ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Bagaimanapun dalam sekelip mata sahaja, Amin turut menjadi mangsa sehingga terkorban apabila sebuah kenderaan lain dari arah sama merempuhnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggap siapa ‘naik atas’ hantar makanan pelanggan sebagai ‘bodoh’, rider dikecam geng sendiri - “Bila tak ada order melalak”

ARTIKEL BERKAITAN: Rider Grab dipuji cekap bantu ambulans kawal lalu lintas... “Tengok gaya macam polis trafik, maybe dia buat partime”

Menerusi perkongsian salah seorang ahli keluarga penghantar Grab Food itu di Facebook, dia meluahkan rasa sedih kerana tidak sempat bertemu adiknya dari awal pernikahan sehinggalah kejadian meragut nyawa Amin.

“Angah tak dapat bersama masa hari Amin nikah. Rupanya memang tak ada rezeki untuk berjumpa Amin lagi.

Amin baru sahaja mendirikan rumah tangga dua minggu lalu menurut sepupunya dalam satu hantaran di Facebook.

“Baru bernikah pada 9 September lalu. Hari ini (Jumaat), Amin dah ‘balik’. Takziah buat seluruh keluarga,” kata Emma Aynor.

Berikutan kejadian, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi tujuan bedah siasat.

Selain itu difahamkan seorang lagi mangsa yang cedera parah mempunyai isteri yang sedang hamil.

Sekitar kejadian selepas perlanggaran berlaku.

Dalam pada itu menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, kedua-dua pemandu SUV masing-masing berumur 20 tahun dan 24 tahun ditahan untuk siasatan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sekiranya orang awam mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fadli Ismail di talian 017-2141318.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain