suria

“Mahu jumpa kawan Seri Indah” - Budak 11 tahun buat ramai sebak, pilih persahabatan berbanding hadiah hari jadi

Razin gembia dapat berjumpa rakan sekolah lamanya.

DI saat kanak-kanak seusianya mengimpikan gajet mahupun permainan video terkini sebagai hadiah ulang tahun kelahiran, murid ini hanya meminta keluarganya membawa dia bertemu dengan rakan-rakan di sekolah lama.

Meskipun permintaanya itu mudah namun ia adalah sesuatu yang luar biasa dilakukan kanak-kanak berusia 11 tahun.

Malah sikapnya yang matang dan bersahaja berjaya menambat hati warganet selepas video memaparkan dia bertemu rakan-rakan sekolah tular di media sosial.

Berkongsi kisah tersebut, ibunya, Afzalizah Azizan mengakui turut terkejut dengan permintaan anak lelakinya itu.

Bagaimanapun, jelas Afzalilah, hasrat berkenaan sudah lama disuarakan anaknya, Muhammad Razin Hadi namun dia hanya berpeluang menunaikannya pada ulang tahun kelahiran baru-baru ini.

Malah anaknya mahu ia ditunaikan sebagai pengganti kepada hadiah.

"Bila tanya apa hadiah yang diinginkan sempena hari lahir, dia cuma cakap 'abang mahu jumpa kawan Seri Indah'. Saya pun tak pasti kenapa sebab dia sekejap sahaja bersekolah di situ empat tahun lalu iaitu semasa di Tahun 1.

ARTIKEL BERKAITAN: Sambutan hari jadi bertukar pilu! Ibu tergamam permintaan anak usia 11 tahun, hanya berserah kepada Allah

ARTIKEL BERKAITAN: Anak lelaki umur 11 tahun dah boleh diharap mandikan bayi baru lahir, masak dan jaga ibu berpantang - “Saya sangat tegas, garang”

"Bila diajukan kenapa nak jumpa, dia cakap rindu pada kawan-kawan sekolah lama.

"Pada masa sama, dia cakap tak mahu hadiah lain tapi gantikannya dengan kawan-kawan," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Razin bersama bekas rakan sekelasnya.

Razin bersama bekas rakan sekelasnya.

Tambahnya lagi, bagi menunaikan hasrat tersebut, dia bertindak menghubungi pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Seri Indah, Pulau Pinang dan meminta kebenaran untuk melawat serta membuat sambutan hari lahir yang ringkas.

"Awalnya saya bimbang jika tidak mendapat kebenaran, tetapi selepas cuba menghubungi dan memaklumkannya pihak sekolah, Alhamdulillah dapat melawat.

Tak jangka yang selepas empat tahun, mereka masih ingat muka masing-masing.

AFZALIZAH

"Jadi semasa berkunjung tu, selain membawa kek hari lahir... hadiah khusus turut disediakan untuk rakan-rakannya.

"Memang dia minta nak bawa hadiah untuk kawan-kawan dan kami pilih beg sekolah," katanya yang turut terkejut apabila bekas rakan sekelas anaknya masih saling mengenali.

Bercerita situasi semasa anak sulungnya bertemu dengan rakan lama, ujar wanita berusia 37 tahun itu, dia terkejut apabila mereka masih saling ingat satu sama lain malah berlari untuk menyapa anaknya selepas terserempak.

Hadiah beg sekolah turut disediakan untuk rakannya.

Hadiah beg sekolah turut disediakan untuk rakannya.

"Kami datang ke sekolah pada waktu rehat... memang kawan-kawan dia berlari datang nak jumpa. Tak jangka yang selepas empat tahun, mereka masih ingat muka masing-masing," jelasnya.

Susulan pertemuan tersebut, anaknya menunjukkan reaksi gembira yang teramat sangat.

Malah, dia turut menyanyi di samping mengucapkan terima kasih kerana hasrat hari lahirnya tertunai.

Menurut usahawan kosmetik itu lagi, anak sulungnya bertukar sekolah selepas dia dan suami mengambil keputusan untuk berpindah dan menetap di Sungai Petani, Kedah.

Bercerita mengenainya, ibu kepada dua cahaya mata itu memberitahu, sebelum ini mereka tinggal di Pulau Pinang kerana suaminya berkhidmat dalam pasukan polis.

"Dahulu dia sekolah di Pulau Pinang dan saya sekeluarga tinggal di kuarters polis.

"Tapi disebabkan berpindah, dia perlu bertukar sekolah... kami pindah kerana suami berhenti kerja dan menguruskan perniagaan yang semakin berkembang maju bersama saya," ceritanya.

Afzalizah bersama dua anaknya.

Afzalizah bersama dua anaknya.

Terdahulu, video perkongsian yang dimuat naik di TikTok menjadi tular sehingga ditonton lebih 555,700 pelayar aplikasi tersebut.

Rata-rata warganet bukan sahaja bangga dengan sikap yang ditonjolkan anaknya tetapi turut memuji tindakan Afzalizah dan suaminya yang disifatkan pandai mendidik.

"Tahniah ibu dan ayah. Bagus akhlak anak-anak... aunty doakan semoga berjaya dunia akhirat.

"Bagusnya awak ingat kawan-kawan. Moga persahabatan ini kekal ke akhir hayat.

"Alhamdulillah kecil-kecil dah berhati mulia. Tahniah buat ibu dan ayahnya.

"Terdidik akhlak anak puan, didoakan ia kekal sehingga hayatnya. Semoga menjadi anak yang soleh buat keluarganya," ujar beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain