suria

Sampai hati rakan sekelas ‘reject’ mug, tak mahu hadiah murah! Nasib baik BFF muncul, pinjamkan RM10 beli tudung bawal

Syuhada dan Husna sudah menjalin persahabatan sejak lebih dua dekad.

SETIAP daripada kita sudah pasti mempunyai kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika berada di zaman persekolahan.

Sama ada kenangan manis atau pahit, semestinya ia tetap berbekas di dalam memori selagi hayat dikandung badan.

Sekadar mengimbau kenangan ketika di bangku sekolah menengah, ciapan wanita ini mengenai kisah persahabatannya membuatkan ramai yang terkesan.

mug 1

Syuhada (kiri) sudah bersahabat dengan Husna sejak kecil.

"Dulu masa sekolah, buat jamuan kelas. Aku anak orang susah. Mereka wajibkan bawa hadiah sebab nak tukar-tukar. Aku beli mug sebab itu je aku mampu.

"Kemudian lagi beberapa hari dari hari kejadian, ada seorang kata 'tak nak mug ye hadiah. Benda murah cari la benda lain'.

"Aku tersentak dalam hati... sampai sekarang aku ingat ayat dan nada yang dilontarkan. Aku pinjam duit kawan baik nama Husna.

"Sampai sekarang dia tak nak terima RM10 yang aku hutang tu. Dia sedekahkan," demikian ciapan wanita tersebut yang meraih sehingga lebih 7,300 ulang kicau.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 BFF bergegas balik kampung, mahu iring sahabat yatim piatu pulang ke negeri abadi - “Kami dah janji susah senang sampai mati”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda menangis di sebalik kostum Mickey Mouse lihat sahabat terpisah 25 tahun depan mata - “Nenek Raja bantai kami dengan getah paip”

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Syuhada berkata, dia sememangnya bukan berasal daripada keluarga yang senang lantaran ibu bapanya ketika itu hanyalah penoreh getah.

"Kalau hari hujan, memang tak boleh menoreh. Saya pun kadang-kadang ada duit belanja, kadang-kadang tak ada dan emak masakkan bekal untuk ke sekolah. Ada kalanya bekal cekodok, nasi goreng dan lain-lain.

"Saya anak bongsu daripada lima adik beradik. Situasi kewangan ketika itu antara kekangan kami kerana adik beradik lain pun masih bawah tanggungan ibu bapa sebab baru nak bekerja dan mulakan kehidupan.

mug 3

Foto ketika majlis pertunangan Husna.

"Kisah yang saya kongsi itu adalah salah satu kenangan yang masih saya ingat sampai sekarang. Selepas tersentak dengar ayat rakan sekelas, saya ceritakan kepada sahabat saya, Husna, dan beritahu nak pinjam duit RM10.

"Saya tak ada duit lebih sebab dah beli mug. Segan nak minta dekat ibu bapa. Dengan duit yang dipinjamkan Husna, saya beli sehelai tudung bawal untuk dijadikan hadiah jamuan tu," ceritanya.

Cerita wanita berusia 25 tahun ini, Husna bukan sekadar teman rapat kerana mereka sudah berkawan sejak kecil memandangkan tinggal berdekatan, namun dia juga adalah sahabat susah senang yang sukar dicari.

Kisah yang saya kongsi itu adalah salah satu kenangan yang masih saya ingat sampai sekarang.

SYUHADA

"Husna boleh dikatakan berasal daripada keluarga yang senang berbanding saya. Banyak yang dia tolong dan bukan jenis berkira.

"Hubungan kami bukan rapat dekat sekolah, malah sehingga zaman universiti. Kami belajar di universiti dan fakulti yang sama, hanya jurusan saja lain.

"Malah kami bekerja pun dekat kampung, iaitu pekan Chenor, Maran. Selepas kerja, mesti luangkan masa minum petang atau makan malam. Macam adik beradik," ujarnya yang bekerja di bahagian pentadbiran di sebuah pasar raya.

Terhutang budi dan sebagai menghargai persahabatan yang terjalin selama lebih dua dekad, Syuhada berkata dia menawarkan diri dalam membantu persiapan majlis perkahwinan sahabat baiknya yang berlangsung Jun lalu.

"Daripada persiapan hantaran, cenderamata untuk tetamu, sambut rombongan pengantin lelaki, tolong bantu Husna bersiap, saya cuba sehabis baik untuk membantunya pada hari bahagia.

mug 2

Syuhada sedang membuat siaran langsung ketika majlis pernikahan Husna.

"Itulah yang saya mampu lakukan dari segi sumbangan tenaga. Alhamdulillah dapat tengok majlis kawan, terlibat secara langsung dan tidak langsung, rasa puas hati.

"Walaupun rasa 'kehilangan' sedikit sebab dia dah melangkah ke alam rumah tangga dan ada komitmen yang lebih besar, namun saya tumpang gembira. Kami tetap keep in touch macam selalu.

"Apabila tengok gambar kahwin Husna, lagi rasa sebak sebab saya pakai baju miliknya. Saya tak sempat cari baju ikut warna tema, dan Husna hadiahkan bajunya," ceritanya.

Benarlah kata-kata, kawan ketawa sememangnya mudah dicari, namun sahabat yang sanggup susah senang bersama-sama ibarat satu dalam sejuta.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan