suria

Tragedi Oktober! Wanita terpelanting selepas tayar trak meletup ketika pam, sangka muka dah terbelah... “Kebas, macam terseret atas jalan

Ekin mengalami luka pada wajahnya gara-gara tayar trak meletup.

SEPANJANG hampir 10 tahun bekerja sebagai pemandu dump truck di tapak pembinaan, kejadian yang berlaku pada tanggal 22 Oktober 2020 sama sekali tidak akan dilupakan oleh wanita ini sepanjang hayatnya.

Memulakan rutin kerja seperti biasa, siapa sangka nasibnya agak kurang baik gara-gara tayar dump truck yang sedang dipam, meletup secara tiba-tiba sehingga mencederakan wajahnya.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ekin berkata, pada hari kejadian dia memandu trak seperti biasa sebelum menyedari salah satu tayar belakang kenderaan itu kempis selepas ditegur rakan sekerja.

"Mekanik di tapak pembinaan tempat saya bekerja ketika itu, iaitu di Gelang Patah, ada kerja lain. Jadi dia minta saya tolong pam tayar trak itu sendiri.

"Tak sampai lima minit pam, tiba-tiba terdengar bunyi letupan dan saya tercampak ke belakang. Rupa-rupanya tayar tu meletup.

ARTIKEL BERKAITAN: Jiwa rider saja faham mengapa pemuda ini menangis lepas kemalangan, bukan sakit tapi risau nampak cik tunang terbaring atas jalan

ARTIKEL BERKAITAN: Belum ajal! Penunggang motosikal berjaya ‘lari’ dari maut digilis lori dalam masa kurang 3 saat... netizen saran buat sujud syukur

"Mujurlah waktu pam, saya berdiri sekitar tiga kaki dari tayar namun impaknya tetap kuat sampai jaket yang dipakai koyak, cermin mata pecah dan jam tangan putus.

"Rakan-rakan sekerja semua meluru. Saya bangun dan sedar muka dah berdarah, telinga dua-dua belah berdengung. Waktu itu saya fikir muka dah terbelah sebab kebas dan macam terseret atas jalan," ceritanya mengimbas kembali insiden yang berlaku hampir dua tahun lalu itu.

Wanita berusia 32 tahun ini menambah, penyelia di tapak pembinaan segera membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

tayar 4

Impak daripada letupan tayar trak, jaket yang dipakainya koyak manakala jam tangannya putus.

"Dalam kereta, saya sempat buat panggilan video dengan keluarga untuk maklumkan apa yang berlaku. Terkejut mereka tengok muka saya," tambahnya.

Menurut Ekin, doktor hanya mencuci luka pada wajahnya ketika itu dan seminggu kemudian, dia membuat rawatan susulan untuk memeriksa keadaan telinga kerana masih mengalami masalah pendengaran, impak letupan tayar tersebut.

"Hampir dua bulan juga pendengaran saya ambil masa untuk pulih. Sebelum itu, dengar bunyi berdengung saja.

"Luka pada muka pun pulih, tapi sampai sekarang, masih ada parut bintik-bintik hitam. Mungkin serpihan getah tayar," ujarnya yang menetap di Senai, Johor.

tayar 2

'Dump truck' yang dikendalikan Ekin di tapak pembinaan.

Ekin mengakui insiden tersebut adalah kemalangan pertama yang dialaminya di tempat kerja, selepas hampir 10 tahun bekerja sebagai pemandu dump truck di tapak pembinaan.

"Selepas insiden itu, keluarga saya minta cari kerja lain sebab bimbang risiko di tempat kerja. Tapi nak buat macam mana, itu minat saya.

"Saya cuba slow talk dan beritahu kemalangan ni boleh berlaku di mana-mana saja. Cuma selepas ini kena lebih hati-hati. Saya bekerja macam biasa, cuma memang trauma nak pam. Memang saya tak sentuh pam dah.

Selepas insiden itu, keluarga saya minta cari kerja lain sebab bimbang risiko di tempat kerja. Tapi nak buat macam mana, itu minat saya.

EKIN

"Sebenarnya ia bukan kali pertama saya pam, pernah beberapa kali tapi mungkin hari itu nak jadi," ujar anak ketiga daripada lima adik beradik ini.

Sekadar mahu berkongsi cerita di TikTok, Ekin sama sekali tidak menyangka video tersebut meraih lebih daripada 1.3 juta jumlah tontonan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada yang doakan saya, moga kebaikan berbalik kepada mereka. Terima kasih juga kepada rakan sekerja, Umi Sarihan, yang bersusah payah membantu dari hari kejadian hinggalah saya pulih.

tayar 3

Wajah terkini Ekin yang sudah pulih, bersama dua rakannya yang banyak membantu ketika dia ditimpa kecederaan.

"Ramai yang kongsi kisah sama, malah ada yang beri nasihat... kalau benda itu bukan kerja kita, jangan buat sebab itu bukan kepakaran kita.

"Ada kes orang meninggal sebab tayar meletup. Saya bersyukur kerana umur masih panjang. Dengan perkongsian kisah saya ni, moga boleh ambil sedikit sebanyak pengajaran," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain