suria

“Ex atau cari GF baharu?” - Penjual burger tanya tentang cinta, Syed Saddiq kata ‘sukar’ tapi tetap jawab

Syed Saddiq tenang apabila diajukan soalan berkaitan cinta ketika interview bersama Joe.

VIDEO memaparkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diajukan soalan berkaitan cinta meraih perhatian ramai netizen.

Dalam video itu, pengasas jenama makanan Langit Cheese Burger yang juga content creator terkenal, Asri Kamarudin atau Joe bertanya kepada Syed Saddiq sekiranya dia mahu kembali kepada bekas kekasih atau mencari cinta baharu.

"Get back dengan ex or someone new?" tanya Joe dalam video temubual santai yang meraih lebih setengah juta tontonan itu.

Menurut Syed Saddiq, dia sukar untuk menjawab soalan berkenaan kerana tiada siapa yang bertakhta di hatinya pada saat ini.

"Nak cakap ex atau someone new ni, dia presume yang sekarang ni saya tiada sesiapa. Kalau ada sesiapa, ada orang yang dekat dengan hati, nak cakap ex atau baru, kena marah nanti.

"Tapi to be honest yang paling penting sekali, selagi hati berada di tempat yang betul, selagi tu la okay. Tak kisah sesiapa, bila, mana tempatnya.

"Yang paling penting, the heart knows what it wants," ujar Syed Saddiq.

joe2

Joe mula menghasilkan content di TikTok ketika pandemik Covid-19.

Joe membuat rakaman bersama Syed Saddiq ketika mereka bertemu dalam satu acara di Ipoh, Perak kira-kira dua minggu lalu.

Kata Joe, dia gementar untuk meminta kebenaran, namun Syed Saddiq terus bersetuju selepas melihat video-video yang dihasilkannya sebelum ini.

Selain Syed Saddiq, Joe yang berusia 25 tahun menemubual ramai individu lain termasuk selebriti untuk diajukan soalan berkaitan cinta yang mana video-video tersebut akan dikongsi menerusi TikTok.

Bercerita lanjut, anak jati Ipoh itu berkata content sedemikian dimulakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ia tular, membolehkan dia meraih lebih 200,000 pengikut.

"Asalnya santai-santai je nak buat content. Tak sangka video pertama dan kedua boleh viral. Saya bermula ketika PKP pertama pada tahun 2020.

"Awal-awal dulu saya hanya interview kawan baik. Saya dapat idea untuk interview mengenai relationship kerana ramai yang depresi, anxiety dan broken ketika PKP.

Selagi hati berada di tempat yang betul, selagi tu la okay. Tak kisah sesiapa, bila, mana tempatnya.

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN

"Ramai yang terkurung di rumah, kena tinggal dengan awek. Saya pun sama. Sebab tu dapat idea. Saya hasilkan video supaya orang di luar sana tak rasa alone.

"10 video pertama memang scripted tapi ia berdasarkan kisah betul. Tapi ada juga interview sebenar, termasuklah video Syed Saddiq. Dialog itu merupakan 100 peratus daripada Syed Saddiq sendiri," ujarnya lagi.

Sepanjang menghasilkan content, Joe juga tidak terlepas menerima kecaman, malah berlaku perang jantina disebabkan pandangan-pandangan yang dianggap tidak adil ke atas wanita dan lelaki menerusi video dihasilkannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Buang rasa malu, jejaka ini selamba main redah dekati orang tak dikenali ‘interview’ soal cinta - “Ada yang mesej dan offer diri”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sewa saja...” - Syed Saddiq perjelas dakwaan miliki banglo mewah, cabar buat siasatan

"Sangat banyak kecaman. Biasanya yang kecam kerana mereka tak setuju dengan pendapat dan jawapan dalam video saya. Biasanya isu melibatkan lelaki dan wanita akan jadi panas.

"Pandangan lelaki lain, sudut pandangan wanita pula lain. Pada saya setiap orang berhak pagi pandangan. Kalau tak selari, tak bermakna pendapat itu salah," ujarnya lagi.

Mengenai dirinya, lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Fotografi dan Pengimejan Kreatif itu mempunyai sebuah restoran berkonsepkan makanan burger di Tambun serta turut menguruskan sebuah gerai burger di Ipoh.

Sebelum ini, dia merupakan jurufoto serta juruvideo, namun terpaksa mengubah haluan kerjaya dek dugaan berat yang melanda ketika pandemik Covid-19.

joe1

Joe merupakan pengasas Langit Cheese Burger.

"Asalnya saya merupakan wedding photographer dan videographer. Ketika PKP, saya terpaksa jual semua kamera saya. Berbekalkan modal dalam RM5,000 ke RM6,000, saya buka kedai burger depan rumah.

"Masa tu memang sedih sebab terpaksa jual. Tapi saya tak boleh cari makan ketika PKP. Jadi terpaksa gadai untuk kelangsungan hidup. Tapi kemahiran yang ada masih berguna untuk bisnes saya.

"Sekarang saya dah ada sebuah restoran di Tambun dan sebuah gerai di Ipoh. Kerana TikTok juga, kedai saya viral sampai satu Malaysia. Bermula depan rumah, kemudian ke gerai jalanan, tumpang depan kedai orang, lepas tu baru buka restoran.

"Selain gerai di Ipoh, saya juga merancang untuk membuka lebih banyak gerai burger selepas ini," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain