suria

Tak kisah belajar engineering, kerja customer service... gaji masyuk, balik rumah tak pening kepala fikir urusan ofis

Fad bekerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan setelah tamat pengajian jurusan kejuruteraan mekanikal.

TIDAK dapat dinafikan zaman sekarang sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana beberapa sebab termasuklah isu lambakan lepasan pelajar universiti atau kolej.

Hampir kesemua graduan kebiasaannya akan menganggur terlebih dahulu setelah habis belajar sambil menunggu panggilan temuduga atau kerja.

Lebih merumitkan keadaan apabila ada graduan yang hanya mahu bekerja dalam bidang yang mereka pelajari di institusi pengajian tinggi (IPT) sahaja.

Berbeza pula dengan graduan bidang Kejuruteraan Mekanikal ini, Muhammad Fadhil Zainal Abu, 25 yang enggan buang masa memilih kerja mengikut jurusan pengajiannya di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Bercerita kepada mStar, dia yang senang disapa Fad berkongsi kisah bagaimana timbulnya minat bekerja dalam bidang khidmat pelanggan sejak tamat pengajian sekitar dua tahun lalu.

“Saya sudah tamatkan study pada Oktober 2020. Memandangkan waktu tu PKP, agak susah nak dapat kerja dalam bidang engineering.

“Saya tak ada masa nak memilih kerja jadi saya cuba nasib mohon bahagian customer service (khidmat pelanggan). Pada awalnya agak berat hati nak apply kerja bidang lain tapi saya teruskan juga penuh tawakal.

"Syarikat yang saya kerja waktu tu merupakan e-commerce terbesar di Asia Tenggara. Dari situ saya berminat nak teruskan kerjaya ni,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai kagum gadis ini bertahan 11 tahun kerja ‘retail’, siap nak berguru... Paling penting kena ada SPM kalau nak naik pangkat

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah kerja 10 tahun dalam bidang F&B, lelaki kongsi cara sedekah dapat gembirakan staf penat layan pelanggan

Menurut Fad yang berasal dari Senawang, Negeri Sembilan, dia ada membuat permohonan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kejuruteraan namun tawaran gaji yang diberikan tidak setimpal.

Baginya, bayaran gaji untuk pekerjaan dalam bidang perkhidmatan lebih berpatutan dan setimpal dengan skop kerja yang dilakukan.

“Memang betul apa orang cakap, bidang kejuruteraan ni sangat luas dan ada career progression. Saya dah cuba sebaik mungkin apply kerja dalam bidang engineering. Saya ada dapat tawaran kerja tapi gaji tak memuaskan bagi fresh graduate.

“Bila saya tengok balik dalam bidang customer service, bayaran gaji sangat berbaloi dan setimpal dengan kerja. Habis kerja dah tak payah sambung di rumah. Berbeza dengan kerja engineer, kena standby kerja dan progres projek kena buat follow up walaupun dah habis waktu bekerja.

Fad (kiri) ketika mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan di UTM, Skudai, Johor.

“Semua tu saya tak lalui sebab sekarang ni saya bekerja bidang customer service di sebuah syarikat di Petaling Jaya sejak April 2021. Dari syarikat ni saya belajar banyak benda. Jumpa kawan yang baik, manager yang supportive dan banyak pencapaian yang saya dapat,” ujarnya lagi.

Keputusan menceburi kerjaya dalam bidang ini juga direstui oleh keluarga malah Fad turut mendapat sokongan kuat daripada ibu bapanya.

Dia yang merupakan anak ketiga daripada tujuh adik beradik berkata, disebabkan dia komited terhadap kerja dirinya berjaya merangkul beberapa anugerah daripada syarikat.

Tapi bila tengok kawan-kawan lain dapat kerja dalam bidang mereka belajar, ada juga rasa down.

FADHIL

“Saya dah ada pengalaman dua tahun bekerja dalam bidang customer service seperti telco company, food hailing dan ecommerce. Dah banyak pencapaian yang saya dapat.

“Antaranya, saya pernah tersenarai sebagai Top Performer Agent October 2021. Pernah tersenarai dalam highest customer satisfication rate setiap bulan dari Disember 2021 hingga Mac 2022. Saya juga pernah tersenarai sebagai Top Quality Agent sebelum ni.

“Apabila tengok kawan-kawan lain dapat kerja dalam bidang mereka belajar, ada juga rasa 'down'. Tapi saya percaya dengan rezeki. Saya tak pernah putus asa siap pergi career fair, apply kerja melalui Linkendin dan Jobstreet,” ujarnya.

Susulan perkongsian di TikTok yang tular, rata-rata warga maya turut berkongsi pengalaman mereka yang mengalami nasib sama seperti Fad.

Fad tersenarai sebagai Top Quality Agent di syarikatnya bekerja.

Fad turut mengambil kesempatan ini menitipkan pesanan kepada graduan yang masih mencari arah dan tujuan setelah tamat pengajian.

“Nasihat saya, jangan pernah berputus asa dalam mencari kerja. Memang sukar, lagi-lagi yang baru menamatkan study. Jangan terlalu memilih bab kerja cuma terus tuntutlah ilmu sebanyak mungkin. Kalau kita cemerlang dalam satu bidang, percayalah kita akan lihat progres kerjaya kita berkembang.

“Percaya dengan rezeki-Nya dan kena usaha keras. Kita perlu berbangga dengan kerja kita dan hasilnya akan nampak nanti.

“Buat graduan di luar, ramai je yang bekerja lari bidang jadi janganlah memilih bab kerja. Sambil mencari kerja tu kita boleh belajar kemahiran yang baharu macam marketing, sales, buat coding dan banyak lagi,” ujarnya menutup kisah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain