suria

Anak tertinggal bas balik kampus, bapa kejar di highway sampai dapat! Hikmahnya boleh ambil angin dengan isteri di Janda Baik

Kak Taty dan suami (gambar kecil) berkongsi pengalaman 'mengejar' bas yang sepatutnya dinaiki anaknya,

GARA-gara terlambat seminit, seorang anak yang merupakan pelajar universiti terpaksa berdepan insiden tertinggal bas.

Sudahnya terjadi rombongan bersama ibu bapanya 'mengejar' bas yang sepatutnya dinaiki, sehingga masuk ke Lebuhraya Kuala Lumpur (KL) - Karak.

"Opps... tertinggal bas di TBS (Terminal Bersepadu Selatan). Papanya kejar sampai ke Karak Highway. Demimu anak," tulis seorang wanita menerusi video yang kini tular di media sosial.

Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan, Nerfetiti Ahmad Nordin berkata, segalanya bermula apabila dia dan suami mahu menghantar anak perempuannya berusia 18 tahun menaiki bas di TBS di Kuala Lumpur, Isnin lalu, untuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gambang dekat Kuantan, Pahang.

Wanita berusia 48 tahun itu memberitahu, tiket bas bagi perjalanan ke Kuantan adalah pada pukul 11.45 pagi dan berlepas seperti yang dijadualkan.

kejar bas 8

'Mengejar' bas sehingga ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

"Pagi tu saya dan suami yang bekerja sebagai perunding hartanah ada briefing dan site view tanah lot banglo untuk dijual di Bangi. Jadi, dah pesan anak siap awal pagi ikut mama papa pergi kerja, lepas habis kerja terus hantar ke TBS.

"Masa briefing ada team yang sampai lambat dan mula pun lewat. Ada team suruh stay kejap je, nak buat video TikTok untuk hartanah. Itu yang terlambat dan terlepas pandang masa.

"Tengok-tengok dah dekat waktu nak naik bas. Jadi kami terus bergegas hantar anak ke TBS. Tengok ETA (anggaran waktu ketibaan) ngam 11.44 pagi," katanya ketika dihubungi mStar.

kejar bas 3

Anak akhirnya dapat menaiki bas untuk meneruskan perjalanan ke Kuantan.

Lebih mesra disapa Kak Taty, dia berkata, mereka terlewat seminit dari jadual pelepasan menyebabkan suaminya memutuskan untuk 'mengejar' bas tersebut supaya boleh dinaiki anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Drama keluarga dari Kelantan, tertinggal anak tepi jalan ketika bercuti... sedar selepas 10 minit gerak, netizen marah sebab cuai

ARTIKEL BERKAITAN: Kena tinggal di R&R, lelaki kejar bas sampai highway dalam hujan lebat... mujur dapat ihsan keluarga nak ke Johor - "Sebelum turun kereta, dia salam papa siap cium tangan"

"Suami saya pernah tertinggal dan kejar bas masa lawatan sekolah rendah untuk ke KL, waktu tu darjah lima. Dia dan ayahnya (kini arwah) naik motor kapcai dalam 30 minit dari Simpang Tiga, Perak baru dapat naik selepas bas berhenti di tepi jalan. Masa tu juga pertama kali suami nak tengok KL.

"Jadi, kami kejar bas dan minta kawan anak yang menaiki bas sama untuk kongsi 'location'. Jauh juga tertinggal sebab kena pusing semula kat TBS untuk ambil anak," ujar ibu kepada enam anak itu.

kejar bas 4

Wajah ceria bapa selepas kejayaan misi menghantar anak menaiki bas.

Setelah berjaya menghubungi pemandu bas dan memasuki Lebuhraya KL-Karak, dia yang berasal dari Bandar Baru Bangi, Selangor berkata, anaknya dapat menaiki bas tersebut selepas ia berhenti berdekatan Terowong Genting Sempah.

"Ya Allah, Alhamdulillah. Gembira, lega dan bersyukur sangat sebab dapat juga berhentikan bas untuk anak balik sama-sama dengan kawan-kawan dia.

Kami sering ingatkan anak-anak 'it's not about the destination, it's about the journey (bukan destinasi, tetapi sebuah perjalanan)’

KAK TATY

"Seronok je sebenarnya papa dia bawa kereta, tak ada la laju mana. Kami beritahu anak, kalau tak sempat kejar, don't worry mama dan papa akan hantar terus ke Gambang," katanya yang bersyukur apabila anak keduanya itu selamat tiba ke destinasi.

Dalam masa 24 jam, videonya bersama suami dan anak ‘mengejar’ bas yang dimuat naik di aplikasi TikTok meraih 1.2 juta tontonan.

kejar bas 5

Kak Taty (kiri) dan suami menganggap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Menurut Kak Taty yang mengakui kesilapanya dan suami sehingga menyebabkan kelewatan anaknya, terdapat hikmah di sebalik kejadian itu dan melihat apa yang berlaku dari sudut positif.

"Syukur dalam apa saja situasi, semuanya atas kehendak Allah SWT. Tidak akan jadi sesuatu sekiranya bukan atas kehendakNya. Kami sering ingatkan anak-anak 'it's not about the destination, it's about the journey (bukan destinasi, tetapi sebuah perjalanan)’.

"Selepas anak naik bas, saya dan suami singgah kejap dekat atas bukit Janda Baik ambil angin. Untuk relaks lepas lelah mengejar bas, solat, makan tengahari dan sambil-sambil mencari port baharu untuk perkhemahan keluarga.

"Jadinya, anak sampai dulu di Kuantan, lebih cepat dari kami yang balik selepas turunkan dia tadi. Masa nak balik pula hujan lebat dan sangkut jammed sampai ke rumah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain