suria

[V] Budak lelaki ‘frust menonggeng’ dapat berita kena lepas gelaran anak bongsu, dah dipujuk tak sabar nak adik pula

Reaksi Haziq setelah mendapat tahu dia akan mendapat adik.

LEBIH 10 tahun seorang anak hidup meraih perhatian dan kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa, semuanya berubah sekelip mata apabila si ibu memaklumkan dia sedang hamil cahaya mata keempat.

Tular satu rakaman memaparkan kanak-kanak berusia 10 tahun itu merebahkan tubuhnya, seakan-akan jatuh tertiarap setelah mendapat tahu dia akan mendapat adik.

Gelagat Muhd Haziq Azmi yang menunjukkan rasa kurang senang itu benar-benar mencuit hati warganet.

Video yang dikongsikan di aplikasi TikTok milik mekna_abadi itu menunjukkan Muhd Haziq atau mesra disapa Haziq menunjukkan reaksi sedemikian apabila diusik oleh ahli keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Riena Diana tak sangka dapat adik pada usia 25 tahun, tak boleh tidur sibuk ‘shopping’ barang bayi

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Baru je timang cucu, atuk usia 58 tahun buat kejutan isterinya pula lahirkan anak kembar... ramai minta kongsi tip

Menurut ibu kepada Haziq, Nurulhaslina Mohd, 41, video yang tular tersebut dirakam oleh adiknya, Tasnim, sewaktu kanak-kanak itu pulang dari sekolahnya di Sekolah Kebangsaan Sungai Tua, Gombak, Selangor.

"Video tu adik saya yang rakam, waktu tu saya tengah kerja, tiba-tiba dia hantar rakaman tersebut, terhibur juga saya tengok.

"Adik-adik saya saja je mengusik Haziq sebab dia dah lama jadi anak bongsu, dah 10 tahun, jadi mereka nak tengok reaksi dia bila tahu dirinya akan jadi abang.

"Bukan netizen je terhibur, keluarga saya pun ketawa tengok reaksi dia," ujar Nurulhaslina ketika dihubungi mStar.

GAMBAR 2

Haziq merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Sungai Tua, Gombar, Selangor.

Bercerita dengan lebih lanjut, wanita yang mesra dipanggil Kak Ina itu berkata, Haziq pada mulanya berasa cemburu kerana gelaran 'adik' yang sudah lama dipegangnya perlu 'diserahkan' kepada ahli keluarga baharu.

Tambahnya lagi, Haziq turut meluahkan kebimbangannya terhadap beberapa perkara sebaik dimaklumkan tentang perkhabaran ini.

"Ada baby baru la.

"Siapa nak kejut pergi sekolah.

"Lepas ni asyik kena marah la.

"Nanti kena buat kerja la bila ada adik baharu," demikian antara rintihan dan luahan Haziq.

Dalam masa sama, Kak Ina turut menyatakan pada mulanya Haziq kelihatan murung dan mendiamkan diri tetapi setelah dipujuk dengan kata-kata nasihat, dia tidak sabar pula untuk bermain dengan adiknya.

Suaminya, Azmi, 45, yang bekerja di Johor juga terus pulang ke rumah setelah mengetahui dia mengandung kerana risau dengan keadaan Kak Ina selain gembira dengan berita baik ini.

Dua anaknya Haikal, 18, dan Auni,14, turut seronok dan teruja untuk menyambut kehadiran adik beradik baharu dalam keluarga.

"Mereka kalau boleh nak adik perempuan untuk cukupkan dua lelaki dan dua perempuan," katanya.

Reaksi Haziq pulang dari sekolah selepas tau akan dapat adik baru.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih sehingga melebihi 456,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok, Kak Ina mengaku terharu dan gembira apabila membaca komen serta kata-kata semangat yang dilontarkan warganet.

Menurut Ibu kepada tiga cahaya mata ini, dia berkongsi rakaman Haziq tersebut di laman TikTok untuk disimpan sebagai kenangan sahaja.

"Saya muat naik video tersebut di TikTok sebagai kenangan saja, tak sangka perkongsian tu viral.

"Ramai yang terhibur dengan gelagat Haziq, sampai dia malu bila tau video tu viral.

"Saya gembira apabila ramai komen yang baik-baik. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk tapi hanya untuk berkongsi memori dan kegembiraan sahaja," ujarnya.

Tambahnya lagi, ramai juga berkongsi kisah yang sama seperti Haziq.

GAMBAR KOMEN

Antara komen netizen pada perkongsian tersebut.

"Dik reaction kita sama, tahu-tahu dah ada tiga orang adik.

"Adoi, Haziq sama dengan anak makcik tak nak adik.

"Macam anak buah saya umur 7 tahun, dah biasa panggil adik sekali jadi kakak, menangis mengamuk dia," demikian antara komen netizen pada perkongsian tersebut.

keluarga

Keluarga Kak Ina, yang tinggal di Gombak, Selangor.

Tidak keberatan bercerita mengenai kandungannya, Kak Ina berkata dia tidak menyangka akan mengandung pada usianya kini.

"Saya pun tak sangka nak dapat anak baru pada umur sekarang, sebab tak ada tanda-tanda pun saya mengandung, cuma saya datang bulan tak berhenti, ingatkan period rupa-rupanya pendarahan, nasib baik kandungan baik-baik sahaja.

"Bila tau mengandung ni, macam-macam perasaan timbul... rasa tak percaya, rasa teruja, seronok dan bersyukur. Nanti kita dah umur 50 tahun anak baru darjah satu.

"Saya risau juga mengandung waktu umur sekarang, doktor pun ada pesan suruh berjaga-jaga sebab saya dah berusia, suami pula kerja jauh di Johor seminggu sekali baru balik, Tapi dah biasa dulu mengandungkan anak-anak yang lain pun berjauhan dengan suami, nasib rumah mak sebelah saja.

"Anak-anak pun tak percaya nak dapat adik baru, masing-masing dah besar, tiba-tiba dapat adik baru," katanya yang bekerja sebagai pengurus di syarikat swasta.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain