suria

[V] Suruh tok kadi tunggu sekejap, pengantin lelaki bangun dakap ibu... Rupanya ‘blank’ sebelum nikah - “Lepas peluk baru lega”

Akim bangun dan memeluk ibunya sebelum meneruskan upacara ijab kabul.

MANA-MANA lelaki yang bakal melafaz ijab dan kabul pasti tidak lepas daripada merasai perasaan gugup dan gemuruh.

Mana tidaknya, pelbagai perkara terlintas di fikiran lebih-lebih lagi apabila memikirkan tanggungjawab yang tergalas di bahu semakin berat kerana bakal bergelar ketua keluarga.

Begitulah juga dengan situasi yang dilalui oleh seorang pengantin lelaki ini.

Menerusi video yang tular di laman sosial, dia yang sedang bersila di hadapan jurunikah, tiba-tiba memberi isyarat untuk menunggu sebentar, sebelum bingkas bangun dan meluru ke arah ibunya yang sedang duduk di belakang.

Aksinya yang sebak ketika memeluk insan yang paling disayanginya itu bukan sahaja membuatkan tetamu di masjid tersentuh, bahkan netizen turut sama bergenang air mata menyaksikan momen berharga berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin lelaki tak tahan sebak masa baca doa, tetamu pun menangis... ada kisah di sebalik air mata ‘jantan’

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa laung azan sayup-sayup sebelum anak keluar rumah, buat semangat sebelum akad nikah... Tahan sebak tak dapat ikut

Ketika dihubungi mStar, Airil Danial Mustaqqim berkata, tindakan tersebut berlaku secara spontan apabila dia tiba-tiba terbayang jasa si ibu yang melahirkan dan membesarkan dirinya.

"Dalam video itu nampak saya macam gelisah dan tak tenang... sebenarnya saya rasa macam waktu terhenti seketika. Waktu itu semua momen bersama ibu terlayar di mata.

restu 2

Pasangan ini selamat bergelar suami isteri pada 20 Oktober lalu.

"Sekarang pula tiba-tiba dah nak jadi suami orang. Saya spontan mohon diberi masa sekejap, terus pusing pergi dekat ibu.

"Pada mulanya niat nak ambil semangat dan nak minta restu. Tapi bila depan ibu, automatik air mata tak boleh tahan ketika peluknya. Dah habis cover dah, tapi tak boleh juga.

"Ibu sempat bisik beri semangat. Bila dah peluk ibu, terus rasa lega dan boleh proceed. Walaupun masih bersisa rasa gugup tapi Alhamdulillah semuanya dipermudahkan," cerita pemuda berusia 26 tahun ini.

restu 4

Pasangan mempelai bersama ibu bapa pengantin lelaki.

Menurut pemuda yang senang disapa sebagai Akim, video tersebut dirakam oleh kakak iparnya ketika majlis pernikahannya bersama pilihan hati, Novia Yunanda, 23, berlangsung pada 20 Oktober lalu.

Bercerita lebih lanjut, Akim berkata dia sememangnya rapat dengan ibu, Siti Rohani, memandangkan dia adalah anak sulung dan tinggal bersama orang tuanya sebelum berumah tangga.

Pada mulanya niat nak ambil semangat dan nak minta restu. Tapi bila depan ibu, automatik air mata tak boleh tahan ketika peluknya.

AIRIL DANIAL MUTAQQIM

"Dengan ayah pun saya rapat, tapi biasalah, anak lelaki kalau ada masalah atau nak bermanja mesti cari ibu dahulu," ujarnya yang menetap di Selayang, Selangor.

Tidak menyangka video yang dimuat naik oleh kakak iparnya di TikTok menjadi tular, Akim menganggap perkara tersebut sebagai rezeki untuknya dan isteri.

"Saya sendiri hanya tahu ia viral selepas diberitahu ahli keluarga lain. Sampai sekarang saya masih terharu membaca komen-komen netizen.

"Ada yang cakap 'mana nak cari lelaki macam ni sekarang' dan macam-macam lagi. Bagi saya, tidak ada manusia yang sempurna tapi saya nak ucapkan terima kasih atas doa dan kata-kata positif yang diberikan. Moga semua yang baik berbalik kepada mereka juga.

restu 3

Akim dan isteri bersama keluarga kedua-dua belah pihak.

"Siapa yang nak kahwin, mintalah restu ibu. Anak nombor berapa sekalipun, pintu syurga tetap di situ. Kita lelaki ada tanggungjawab bukan saja dengan mak, adik, tapi kini isteri.

"Apa nak buat sekalipun, Allah nombor satu dan kemudian pentingkan orang tua. Muliakan mereka, bahagiakan mereka selagi ada masa," ujarnya lagi.

Sehingga kini video yang dimuat naik oleh kakak iparnya meraih lebih daripada sejuta jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain