suria

[V] Wartawan sempat selamatkan budak ketika buat live! Tak pasal-pasal monyet ‘masuk TV’ tapi kempunan Milo kotak

Wartawan ini sanggup berhenti live untuk bantu adik ketakutan diserang monyet.

SUASANA tenang dan angin sepoi-sepoi bahasa di tepi pantai boleh bertukar haru-biru apabila ada yang datang 'buat kacau'.

Begitulah apa yang dilalui oleh wartawan Astro Awani, Fareez Azmann apabila seorang kanak-kanak tiba-tiba datang meminta perlindungannya gara-gara diganggu seekor monyet.

Ketika kejadian, Fareez sedang membuat lintas langsung di Pantai Teluk Cempedak mengenai situasi politik di Kuantan, Pahang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, belum sempat Fareez menghabiskan laporannya di hadapan kamera, kedengaran sayup-sayup suara seorang kanak-kanak meminta tolong dan menghampirinya.

“Adik kita pun dah kena kejar monyet. Okay takpe, abang ada,” kata Fareez sambil menghentikan sebentar laporannya, tetapi kamera masih lagi dalam mod 'on'.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi bercuti di Teluk Cempedak! Bibir pecah, dahi lebam... bayi setahun tercampak dari stroller akibat diserang monyet liar - ”Ia renung nak sergah”

ARTIKEL BERKAITAN: Rasa macam buang anak, pemuda nekad hantar monyet kesayangan ke Perhilitan... manja tapi masih ada liarnya

Suara kanak-kanak itu menangis tersedu-sedu dapat didengari dengan jelas manakala Fareez pula bertindak menakut-nakutkan monyet itu dengan menghentak kakinya.

“Ini antara isu untuk pelancong-pelancong yang berada di sini,” ujar Fareez, sempat memberikan laporan 'sampingan' kepada penonton sambil menenangkan kanak-kanak itu.

Dalam masa sama dapat dilihat kamera dihala ke arah bawah untuk menunjukkan seekor monyet yang sedang menunggu.

Difahamkan, monyet itu ingin merampas air Milo kotak dari tangan kanak-kanak tersebut.

Okay dah, monyet dah lari, boleh pergi dekat mak.

Fareez Azmann

Lebih mencuit hati apabila kanak-kanak itu memeluk kaki Fareez dengan erat kerana ingin menyembunyikan dirinya daripada haiwan berkenaan.

Mujur tidak lama selepas itu monyet tersebut hilang minat terhadap sasarannya dan mula beredar.

“Okay dah, monyet dah lari, boleh pergi dekat mak. Okay dah selamat,” kata Fareez sambil tertawa kecil memikirkan apa yang berlaku.

Fareez ketika dihubungi mStar berkata pantai Teluk Cempedak diakui mempunyai isu monyet yang perlu diberikan perhatian.

Fareez sedang membuat liputan untuk Astro Awani sebelum didatangi seorang kanak-kanak.

“Kawasan tu banyak monyet, jadi kami terpaksa pilih area untuk live jauh sikit. Tapi ada juga monyet yang lalu dekat dengan saya.

“Rasa takut tu tak ada... kalau pegang makanan baru akan kena aim dengan monyet seperti adik tu yang pegang air kotak,” katanya.

Fareez memberitahu selepas selesai membuat liputan dia sempat berjumpa dengan penjaga kanak-kanak tersebut.

Monyet akan menjadi agresif kepada mereka yang mempunyai makanan. Gambar hiasan

“Selepas live, saya terus pergi dekat adik tu. Dia datang dengan ibu bapa saudara dari Cherating.

“Mereka pun tak tahu kami tengah live sebenarnya, diaorang ingatkan anak saudara dia main-main dekat area saya tengah live,” ujarnya.

Fareez turut menulis di ruangan komen posting yang dikongsi bahawa dia sebagai pengamal media akan memastikan isu monyet di Pantai Teluk Cempedak itu diketengahkan.

"Kalau tak ramai lagi yang akan senasib dengan adik kita tu," tulisnya.

Antara komen netizen memuji keprihatinan Fareez walaupun sedang di hadapan kamera.

Manakala netizen membanjiri ruangan komen video Fareez dengan rata-rata memuji tindakannya itu.

"Terima kasih abang tenangkan adik tu.

"Muka dia betul-betul takut tu bang. Abang memang hero dia tabik.

"Wah bro ni rilek betul. Kalau saya dah lari sekali dengan adik tu," tulis warga maya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain