suria

[V] Anak perempuan nak konvo, mak ayah sibuk ‘berkempen’ cari calon menantu! Siap tunjuk foto dalam dewan... “Dia tak reti cari jodoh”

Gelagat ibu bapa ini cuba mencari calon menantu ketika majlis konvokesyen anak gadisnya.

GELAGAT sepasang ibu bapa yang dirakam menerusi lensa kamera pada sebuah majlis konvokesyen ini meraih perhatian tidak hanya dalam kalangan tetamu yang hadir malah netizen di media sosial.

Menurut pemilik video yang merupakan menantu mereka, Nurulbadriah Mohd Shah, 29, cubaan ‘mencari calon menantu’ itu dilakukan ketika majlis konvokesyen adik iparnya, Emma Sofea Shaharuddin, 23, pada 30 Oktober lalu.

Ketika dihubungi mStar, ibu mentuanya, Suzana Abdullah, 55, menceritakan semula kejadian berlaku semasa dia dan suaminya Shaharudin Ab Rahman, 55, menunggu tetamu lain hadir pada majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia yang diadakan di Perak itu.

“Sebenarnya idea datang secara spontan sebab pada masa tu saya dan suami tengah tunggu tenaga pengajar, tetamu kehormat dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah hadir.

“Jurukamera pula aktif mencari momen menarik dan wajah-wajah hadirin yang hadir jadi kami pun menunjukkan ayat ‘sedang mencari calon menantu’ sambil tunjuk gambar anak saya melalui telefon bimbit.

“Kami buat macam tu untuk bagi suasana happening dan hilangkan mengantuk sebab dua jam menunggu tetamu lain masuk. Lepas buat macam tu, pakcik belakang yang tidur tu pun boleh terbangun dan gelak,” imbasnya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa saya tak macam orang lain?” - Pemuda ini pasrah sendirian di majlis graduasi, dah 2 kali konvo mak ayah tak dapat datang

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pengantin Ijazah Kelas Pertama’ terkejut majlis kenduri bertukar hari graduasi... suami sarung jubah, mak ayah hantar skrol di pelamin

Ujar Suzana lagi, antara sebab dia mengambil inisiatif tersebut adalah kerana anaknya ini masih berstatus bujang walaupun sudah menamatkan pengajiannya.

Menurutnya lagi, oleh kerana majlis tersebut merupakan hari graduasi Emma, dia memutuskan untuk ‘mempromosikan’ anak gadisnya ini dalam usaha mencarikan jodoh.

“Anak-anak tak reti cari sendiri jodoh mereka jadi biar saya yang carikan. Lagipun saya tengok dia tak ada boyfriend langsung. Itulah sebab nak carikan.

Ahli keluarga Suzana dan Shaharudin.

“Anak saya tak suruh pun buat macam tu masa konvo baru-baru ni tapi kami sendiri yang nak. Sambil-sambil tu kami duduk perhati juga pelajar lain yang boleh dijadikan menantu. Saya risau kalau anak-anak kahwin lambat nanti dah tak ada orang yang nak.

“Saya dulu tak cari jodoh tetapi jodoh datang sendiri disebabkan usikan kawan-kawan zaman persekolahan,” jelasnya.

Ujarnya lagi, setelah video menjadi tular, anaknya Emma agak terkejut melihat apa yang dilakukan oleh kedua-dua orang tuanya tetapi beranggapan ia sebagai gurauan.

Tak ‘larat’ nak baca satu per satu komen yang nak jadi menantu saya.

SUZANA

Hingga kini video berkenaan meraih lebih 838,000 jumlah tontonan di TikTok.

Rata-ratanya warga maya menganggap 'pencarian' itu sebagai satu tawaran serius dengan menyatakan bahawa mereka mahu menjadi menantu.

Suzana bersama suaminya, Shaharudin.

“Terperanjat juga sebab tak sangka boleh viral. Kelakar pun ada apabila baca komen-komen daripada netizen. Tak ‘larat’ nak baca satu per satu komen yang nak jadi menantu saya.

“Kalau ada yang serius nak jadi menantu tak jadi masalah. Kalau niat tu ikhlas dan baik kami terima saja.

"Tapi sebelum terima calon tu kena tanya pada empunya diri keputusan,” ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain