suria

[V] Apa dosa rider ini, pelanggan tuduh mencuri siap sebar foto wajah di FB... Menggigil tahan malu, rupanya restoran buat silap!

Edy bertemu dengan rider yang dituduh mencuri pada 30 Oktober lalu.

PEKERJAAN sebagai rider penghantar makanan tidaklah mudah seperti yang disangka-sangka.

Selain berdepan cabaran cuaca dan risiko keselamatan di jalan raya, ragam pelanggan juga kadang-kala boleh menguji kesabaran mereka.

Terbaharu, seorang rider GrabFood dari Sabah dikenali sebagai Alrajdy atau Boy, 26, berdepan detik memalukan apabila dia dituduh mencuri makanan yang dipesan oleh seorang pelanggan wanita, Sabtu lalu.

Lebih teruk, pelanggan tersebut turut memuat naik gambar wajah Boy di Facebook serta mendedahkan nombor pendaftaran motosikalnya gara-gara tidak berpuas hati dengan kejadian itu.

Sehari selepas kejadian berkenaan, aktivis kebajikan terkenal Sabah, Adrian Edy, 26, membuat pertemuan dengan Boy bagi membantunya membersihkan nama selepas terpalit dengan tuduhan berkenaan.

"Boy baru setahun bekerja sebagai rider GrabFood. Sebelum ini dia buat Lalamove. Dia masih bujang, menetap di Kepayan, Kota Kinabalu bersama ayah dan adik.

boy2

Edy menghadiahkan sebuah telefon pintar buat Boy.

"Sabtu hari tu dia pergi hantar makanan, apabila sampai rumah pelanggan, mereka check order dan sedar ada kurang dua item iaitu aiskrim dan ice latte.

"Boy minta pelanggan hubungi helpline. Pelanggan pun okey waktu itu dan suruh dia balik. Tak lama selepas dia balik, pelanggan itu buat posting di Facebook.

"Pelanggan tularkan gambar serta nombor plat motor Boy, buat posting kononnya Boy itu menipu. Pelanggan kata rider curi makanan dan siap suruh orang cancel kalau dapat rider itu," cerita Edy.

Kesian sebenarnya... Boy kerja daripada pagi sampai petang, dia kata kadang-kadang sehari untung tak sampai RM100.

ADRIAN EDY

Selepas menularkan kes berkenaan di Facebook, pelanggan tersebut kemudiannya menghubungi pihak restoran makanan segera terlibat sebelum menyedari bahawa rider berkenaan tidak bersalah.

"Pelanggan itu tularkan dulu sebelum hubungi pihak restoran. Rupa-rupanya restoran makanan segera tu yang silap bagi makanan. Baru tahu dua lagi pesanan tu restoran lupa nak bagi.

"Gambar dengan nombor plat Boy dah viral di Facebook, dah ramai orang share pada waktu itu. Boy kata dia terkejut selepas tahu dirinya viral.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka ini mahu ikut jejak Ebit Lew... tiada masalah diri jadi perhatian, diusik kacak ketika turun padang bantu orang susah

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Setahun huni stesen LRT, gelandangan hilang sehari selepas diberi baju baharu, dipotong rambut... pakaian lama ditinggalkan

"Dia kata sampai bergegar tangan. Nak makan pun susah, tak ada selera," cerita Edy lagi, mengimbas pertemuannya dengan pemuda malang itu.

Menurut Edy, pelanggan berkenaan juga ada membuat permohonan maaf kepada Boy di Facebook, namun akaun media sosial itu lesap, dipercayai kerana dihujani kecaman netizen.

"Selepas kejadian, pelanggan itu juga dah minta maaf di Facebook, tapi dah deactive Facebook sebab ramai yang kecam balik.

edy2

Netizen bersyukur apabila Edy turut membantu untuk membersihkan nama rider itu.

"Kesian sebenarnya, Boy kerja daripada pagi sampai petang, dia kata kadang-kadang sehari untung tak sampai RM100," ujar Edy lagi.

Dalam pertemuan pada 30 Oktober lalu, Edy turut menghadiahkan sebuah telefon pintar baharu kepada Boy bagi meniup semangatnya kembali dalam mencari rezeki.

"Saya rasa kesian dengan dia. Sebab tu saya contact nak jumpa. Ketika perjumpaan itu, saya bagi dia telefon baharu sebagai hadiah. Saya juga bayarkan installment motor dia untuk bulan ni.

edy1

Edy aktif menjalankan kerja kebajikan di Sabah serta negeri-negeri lain.

"Saya bersyukur selepas saya kongsi balik kisah Boy, ramai yang beri sokongan kepadanya termasuklah komuniti rider.

"Ramai ucap terima kasih sebab saya bantu dia. Sekurang-kurangnya dapat jelaskan bahawa dia tak bersalah," ujar Edy lagi.

Video pertemuan Edy dan Boy turut dikongsi menerusi TikTok sehingga meraih 890,000 tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain