PENGORBANAN dan kasih sayang diberikan seorang lelaki bergelar ayah tiada tolok bandingnya. Maka sebagai anak sudah pasti kita mencari pelbagai cara untuk membalas jasa mereka yang sudah membesarkan kita. Begitulah yang cuba dilakukan Sri Hajarul Kharyani Hamidan, 25 kepada bapanya, Hamidan Kermin namun tidak kesampaian kerana arwah meninggal dunia akibat menghidapi kanser pada Januari 2019. Bagi mengubat rasa rindu, baru-baru ini Sri berkongsi satu video lama memaparkan momen istimewa dia bersama arwah ketika hayatnya. Terang Sri, video lama tersebut disunting dan dimuat naik ke media sosial disebabkan bimbang jikalau rakaman itu hilang daripada telefon miliknya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Sudah lama saya edit video tu. Tapi tiba-tiba rasa nak post sebab takut rakaman yang jelas kedengaran suara ayah tu hilang dalam simpanan. "Rakaman tu diambil masa raya 2019 di mana tahun terakhir Sri dan adik beraya dengan dia. Kalau tengok dalam video tu pun nampak ayah ni penyayang sangat. "Cumanya apabila tengok balik video tu rasa terkesan sebab Sri dah berjanji dengan arwah nak 'ganti' balik dengan sediakan semuanya untuk dia. Tapi tak sempat sebab ayah pergi sebelum Sri habis belajar," ujarnya ketika dihubungi mStar. Menurut Sri yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik, ibu dan bapanya berpisah sejak 12 tahun lalu. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Mak ayah kahwin semula selepas 16 tahun cerai, anak harap kali ini kekal ARTIKEL BERKAITAN: [V] Gadis dapat anugerah tertinggi di kolej tapi tak beritahu mak ayah, drama air mata di dewan konvo melarat sampai balik rumah Setelah penceraian terjadi, Sri dan adik bongsunya dibesarkan oleh bapa mereka sendirian kerana memilih untuk tidak berkahwin lagi. Jelas wanita yang mengusahakan perniagaan dalam talian itu lagi, bapanya disifatkan sebagai lelaki yang sangat penyayang dan cuba memberikan yang terbaik untuk anak-anak. "Ayah tak pernah terfikir pun nak kahwin lain. Sri sangat kagum dekat arwah sebab sejujurnya tak semua lelaki boleh besarkan anak-anak kecil sendiri dan uruskan rumah bertahun-tahun. "Dia seorang yang penyayang dan tak pernah pukul anak-anaknya. Walaupun saya sudah besar, dia masih peluk dan cium depan orang ramai. Dia selalu cakap yang dia sayangkan anak-anak. Sri (tengah) bersama ibu dan arwah bapanya. "Masa saya berterima kasih dekat dia dalam video tu, ayah ada cakap 'asalkan Yani happy' (panggilan ayah kepada Sri)," ujarnya. Ujar Sri yang sudah menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang keusahawanan, dia berasa cukup terkesan dengan pemergiaan bapanya yang sentiasa memberikan dorongan kepadanya untuk berjaya. Tambahnya, dia cukup rapat dan manja dengan bapanya yang selalu menjadi pemangkin semangat setiap kali dia rasa mahu berputus asa. Saya anak perempuan bongsu dan boleh dikatakan saya memang manja dengan ibu dan ayah. SRI HAJARUL KHARYANI "Saya terlalu rapat dengan arwah ayah. Saya anak perempuan bongsu dan boleh dikatakan saya memang manja dengan ibu dan ayah. "Apabila ayah dah tak ada ni sejak hampir tiga tahun lalu, rutin kehidupan sudah berubah. Saya akan melawat kubur dia setiap minggu untuk lepaskan rindu. "Saya berada dalam fasa in denial lepas ayah tak ada. Bukan sebab tak terima takdir atau reda tapi terkejut kerana terlalu cepat. Sri mengusahakan perniagaannya sendiri selepas tamat pengajian dalam bidang keusahawanan. "Kalau ayah ada sekarang, saya akan balas jasa dia dengan tunaikan keinginan dia pergi jalan-jalan setiap bulan. Tapi niat paling utama pastinya nak bawa mereka tunaikan haji. Tapi lepas ayah tak ada, saya cuma bole upah badal haji saja atas nama dia. Untuk rekod, perkongsian Sri di TikTok ini mengundang sebak netizen. Rata-rata warga maya mendoakan kebaikan buat bapanya setelah melihat video kemesraan anak beranak ini sejurus ia menjadi tular. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI