suria

[V] Sempoi! Nurulhidayah rancak berkempen dengan menyanyi, angkut ‘speaker RM150’ hiburkan pengundi - “Saya ada single, orang je tak tahu”

Nurulhidayah rancak menghiburkan orang ramai semasa kempen PRU15.

'SEMPOI'! Tangan kanan pegang payung, sebelah lagi pegang pembesar suara (speaker) dan mikrofon, anak kepada calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat rancak menyanyi di pasar pagi.

Begitulah salah satu cara Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), malah dia turut dilihat menyanyi menghiburkan hadirin dalam satu lagi majlis berasingan.

"Kenapa kena berceramah kalau mampu menghiburkan?" begitulah keterangan video yang dimuat naik Nurulhidayah di laman sosial.

Bercakap kepada mStar, Nurulhidayah berkata, apa yang dilakukan bukanlah luar biasa kerana menyanyi merupakan hobinya selain pendekatan tersebut dirasakan lebih santai dan menghiburkan.

"Saya memang menyanyi sejak 2004, malah memiliki single berjudul 'Dari Kejauhan' ciptaan Yassin Sulaiman. Orang je tak tahu sebab dulu tak ada media sosial.

"Saya beli speaker kat pasar pagi je, harga RM150. Saya beli di kedai uncle India semasa walkabout. Tak dirancang, semuanya berlaku secara spontan.

"Ini bukan konsert. Bukan ada pentas pun dengan sound system mewah. Ia sekadar program santai sahaja," katanya ketika dihubungi.

nurulhidayah 5

Nurulhidayah menyanyi menghiburkan penduduk dalam satu majlis di Bagan Datuk. sumber TikTok @dnznurul

Mengenai strategi berkempen bagi mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Bagan Datuk, Nurulhidayah berkata dia akan melakukannya secara santai dan sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Nurulhidayah tak melatah nama kena 'petik' gara-gara cop Sirim, tak minta dibayar walau jadi duta face mask

ARTIKEL BERKAITAN: "Bagi pad, lepas tu?" - Bagi free tanpa mendidik... Nurulhidayah 'bersuara' isu kemiskinan haid, tuala wanita di Malaysia bukan harga kayangan

"Tiada unsur-unsur hasutan dan kebencian. Itu lebih baik dari mengata dan menghina sesama manusia.

"Tiada ketetapan strategi tertentu kerana Bagan Datuk merupakan kampung saya selama umur saya 44 tahun. Kempen santai-santai sahaja.

"Kebanyakan pengundi pun memang sudah kenal saya anak kepada calon P075. Saya tidak fokus kepada mana-mana kumpulan tertentu," ujar anak sulung Presiden Umno itu.

nurulhidayah 3

Nurulhidayah (belakang, tiga kiri) bersama Ahmad Zahid (hadapan, empat kiri) serta keluarga.

Dilihat lebih menyerlah semasa berkempen, Nurulhidayah berkata, dia tidak berniat untuk menarik perhatian mana-mana pihak kerana semua yang berlaku adalah secara santai.

"Memang sejak dulu setiap kali berkempen, saya akan menghiburkan pengundi dengan 'menyumbangkan' suara saya sendiri," katanya yang pernah berduet bersama Datuk Nash ketika kempen PRU14 pada 2018.

Mengulas lanjut, Nurulhidayah berkata, semasa berkempen dia memilih untuk menggunakan pendekatan yang lebih bersahaja dan tidak memberikan tekanan.

"Bagi saya kalau beria pun, kalah menang itu menjadi ketetapan Allah, bukan ketetapan kita. Kita berusaha secara sihat dan serahkan kepada Dia," katanya.

nurulhidayah 2

Nurulhidayah berkempen secara santai dan bersahaja. foto instagram Nurul.Zahid

Ditanya sama ada musim berkempen kali ini bakal menyaksikan duet bersama Ahmad Zahid, Nurulhidayah berkata, perkara itu tidak akan berlaku kerana bapanya lebih berbakat dalam bidang pengucapan awam.

"Saya tidak mewarisi daripada sesiapa dan saya percaya ia adalah hidden talent (bakat terpendam).

Tiada unsur-unsur hasutan dan kebencian. Itu lebih baik dari mengata dan menghina sesama manusia.

DATUK NURULHIDAYAH AHMAD ZAHID

"Tiada lagu atau pilihan tertentu akan dinyanyikan dan saya tiada penyanyi kesukaan pun kerana saya suka melayan semua jenis genre lagu terutama rock, sesuai dengan jiwa saya.

"Saya akan menyanyi lagu-lagu santai, mana-mana yang terlintas. Kebetulan Bagan Datuk memang ada lagu sendiri yang santai dan catchy. Ulang-ulang lagu tu je la," katanya yang merujuk kepada lagu Bagan Datuk ciptaan Altimet dan dendangan Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau.

nurulhidayah 1

Nurulhidayah berharap pengundi lebih bijak memilih yang terbaik. foto instagram Nurul.Zahid

Mengenai PRU15, Nurulhidayah turut meletakkan harapan agar pengundi lebih bijak memilih yang terbaik demi masa depan anak-anak.

"Apa yang kita pilih hari ini adalah penentu perjalanan negara lima tahun akan datang. InsyaAllah pengundi Bagan Datuk telah ada ketetapan mereka kerana mereka tahu siapa yang membawa pembangunan di Bagan Datuk.

"Mereka kenal siapa Zahid Hamidi kerana Zahid Hamidi adalah anak kelahiran Sg Nipah Darat, Bagan Datuk, Perak. Bukan orang luar dan bukan orang asing di Bagan Datuk," katanya.

Ahmad Zahid bakal berdepan saingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU15.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi berkenaan untuk tempoh lima penggal akan berdepan saingan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Muhammad Faiz Na'aman dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dari Pakatan Harapan (PH).

Turut bertanding sebagai calon Bebas ialah anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Benut iaitu Tawfik Ismail.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain