suria

[V] Homestay bau bangkai sebab tetamu tinggal telur lepas check-out, pemilik gembira dapat jadi ‘bapa 13 itik’

Zakaria menunjukkan anak itik yang baru menetas di homestay miliknya.

BARANG yang tertinggal atau ditinggalkan oleh tetamu setelah mendaftar keluar dari penginapan seperti hotel dan homestay bukanlah perkara baharu bagi pekerja yang bertugas.

Sering terjadi tetamu tertinggal pelbagai jenis barangan seperti pakaian, kasut, dokumen atau barang berharga termasuk telefon bimbit.

Namun, kisah yang berlaku di homestay yang diusahakan oleh seorang pemuda agak luar biasa apabila tetamu meninggalkan 30 biji telur itik.

Pengusaha homestay berkenaan, Zakaria Nazir berkata, dia menyediakan servis sewa penginapan di sebuah rumah Semi-D dengan tiga bilik di Pendang, Kedah sejak pertengahan 2021.

Berkongsi cerita, pemuda berusia 29 tahun itu memberitahu bahawa tetamunya yang datang bersama famili dari Kelantan telah membuat tempahan untuk satu malam pada akhir bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Syoknya! 19 sekeluarga 'serbu' homestay tepi sawah selepas setahun tak jumpa, pakai kain pelikat dan batik je... mudah, selesa dan meriah

ARTIKEL BERKAITAN: Dah mengembara merata, lelaki ini tak sangka dipertemukan dengan 'homestay, tuan rumah dari neraka'

"Saya datang ke rumah tu selepas mereka check out, untuk mengemas. Sekali jumpa sepapan telur itik, batang pancing dan sebiji bantal.

"Bagi saya rare sebab sejak mengusahakan homestay, biasanya orang tertinggal baju atau seluar. Bukannya sepapan telur," katanya ketika dihubungi mStar.

bau bangkai homestay 5

Sepapan telur itik yang ditinggalkan tetamu.

Menurut Zakaria, dia difahamkan telur itik itu biasanya digunakan sebagai umpan memancing di mana ia akan dicampur bersama dedak.

"Tetamu itu sebelum ni datang ke sini sebab ada satu pertandingan memancing. Sebab itulah ada batang pancing dan telur itik di homestay.

"Apabila saya call maklumkan ada barang tertinggal, mereka minta saya simpankan dulu kerana mereka akan datang lagi ke sini untuk pertandingan.

"Saya ada tanya perlu ke untuk simpan telur-telur tu dalam peti sejuk, mereka beritahu tak perlu dan saya tinggalkan atas meja," ujarnya yang berasal dari Jitra.

bau bangkai homestay 2

Sejumlah anak itik yang baru menetas.

Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, dia kembali ke homestay yang terletak di Taman Teratai pada 5 November lalu bagi melakukan pemeriksaan.

"Masuk rumah saja terus bau busuk seperti bangkai. Saya tak terfikir pula sebarang kejadian pelik atau seram.

Kelakar sebab pertama berlaku dan saya anggap rare kerana biasanya tetamu tinggal baju atau tuala je.

ZAKARIA NAZIR

"Saya kemudian pergi periksa dan terkejut mendapati bau busuk semakin kuat dan ada bunyi," tambahnya.

Guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah itu terkejut apabila mendapati sejumlah telur telah menetas di sebalik bekasnya.

bau bangkai homestay 3

Zakaria menjaga anak-anak itik tersebut buat masa ini.

"Ada sembilan ekor menetas dan empat lagi keesokan harinya selepas bawa anak-anak itik tu ke rumah saya di kuarters. Manakala tujuh ekor dah mati, itu punca bau busuk di homestay.

"Keseluruhannya ada 13 ekor yang hidup dan saya menjadi 'bapa itik'. Kelakar sebab pertama kali berlaku dan saya anggap rare kerana biasanya tetamu tinggal baju atau tuala je," ujarnya.

bau bangkai homestay 4

Menurut Zakaria, dia sanggup menggantikan sepapan telur itik yang baharu buat tetamunya.

Berpengalaman dalam bidang perguruan selama tujuh tahun, Zakaria mengambil keputusan untuk membela kesemua anak itik itu kerana dia pernah menternak ayam sejak kecil.

"Mak ayah bela kira-kira 10 ekor ayam di kampung di Kampung Bukit Berangan di Jitra. Saya bercadang nak bawa balik anak-anak itik ni balik kampung dan dibela di sana.

"Tapi terpulang kepada pemiliknya. Jika mereka nak sepapan telur, saya sanggup gantikan dengan yang baharu. Seronok bela anak-anak itik ni," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain