suria

[V] “Nak salam dia terus hilang” - Pemuda gagal tahan emosi ketika bertunang, dedah sebab majlis penuh adegan air mata

Fauzi terkenang arwah ibu ketika majlis pertunangannya Mei lalu.

RAKAMAN tular memaparkan seorang jejaka yang tumpah air mata ketika majlis pertunangannya turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.

Dalam video itu, Muhamad Fauzi Abu Taib, 32, dilihat bersalaman dengan ibu saudara, adik-beradik serta bapanya dalam keadaan penuh emosi.

Lebih sayu, dia juga dilihat membawa sekeping foto kecil arwah ibu yang dilekatkan pada bahagian belakang telefon bimbit miliknya.

Dia yang senang disapa Fauzi berkata air matanya tumpah ketika majlis itu gara-gara terkenang arwah ibunya yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru, dua tahun lalu.

"Saya nampak macam bayangan arwah mak ketika majlis pertunangan saya, tapi bila nak salam dia terus hilang. Kat situ air mata saya dah berlinang. Jadi saya terus bersalaman dengan makcik-makcik saya serta ahli keluarga yang lain.

"Mak saya meninggal ada 14 Mac 2020. Mak sakit kanser paru-paru, dapat tahu masa dah tahap empat. Mak bertahan sakit lima bulan je. Saya pula anak bongsu yang rapat dan manja dengan mak. Bila mak tak ada, saya hilang tempat nak mengadu.

Saya kalau boleh tak nak menangis ketika kahwin, tapi kita tak tahu apa yang akan berlaku.

MUHAMAD FAUZI ABU TAIB

"Selepas mak tak ada, saya beranikan diri luah perasaan dan bercerita dengan abah. Kita ni kalau tak rapat dengan abah, kita segan sikit nak bercerita. Tapi bila mak tak ada, abah, adik-beradik dan makcik-makcik la yang jadi pengganti.

"Makcik-makcik saya juga sangat penyayang, sebagaimana mereka saya anak-anak mereka. Sebab tu saya sebak ketika bersalaman dengan mereka semua," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin biarkan saja air matanya mengalir, tak mampu tahan emosi lihat adik menangis masa jadi wali - “Dah tak boleh manja dengan kakak”

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin lelaki tak tahan sebak masa baca doa, tetamu pun menangis... ada kisah di sebalik air mata ‘jantan’

Senang disapa Fauzi, dia akui terkejut apabila video majlis pertunangannya yang diadakan di Sekincan, Selangor, pada 7 Mei lalu tiba-tiba tular dan meledak di laman TikTok.

Jelas Fauzi, dia baru sahaja berkongsi video itu di TikTok kerana mahu memberi makluman kepada teman-teman yang masih tidak tahu mengenai status hubungannya dengan bakal isteri.

fauzi2

Fauzi bersalaman dengan ibu saudaranya dalam majlis yang diadakan di Sekinchan pada Mei lalu.

"Sebenarnya saya dah lama bertunang. Tapi masih ramai kawan sekerja yang tidak tahu. Saya pula bekerja bawah satu syarikat dengan isteri. Jadi saya post video pertunangan kami sebelum nak beri jemputan kepada bos dan kawan-kawan sekerja.

"Tak sangka pula video tu akan viral. Ramai netizen yang sebak tonton video saya. Bila baca komen, saya sendiri pun bertambah sebak. Saya faham perasaan mereka yang tak ada ibu atau ayah ketika majlis bersejarah mereka. Saya pun alami perasaan yang sama.

fauzi3

Fauzi merupakan anak bongsu yang rapat dengan arwah ibunya.

"Terima kasih kepada netizen kerana mendoakan saya, bakal isteri dan ahli keluarga saya. Moga doa itu semua berbalik semula kepada anda. Yang mana dah kehilangan ibu bapa, saya doakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman," ujarnya yang bakal mendirikan rumah tangga pada 1 Januari depan.

Bercerita mengenai persiapan majlis perkahwinannya, Fauzi berkata semuanya sudah hampir siap dan dia kini hanya menghitung hari untuk bergelar suami.

fauzi4

Sebahagian ahli keluarga Fauzi.

Namun kata Fauzi, dia juga risau sekiranya sekali lagi gagal menahan emosi dalam majlis tersebut, namun berharap semuanya dapat berjalan lancar seperti yang dirancang.

"Alhamdulillah, persiapan dah siap hampir 100 peratus. Bila tarikh makin dekat, emosi pun makin tak kuat. Bak kata adik-beradik, mereka macam tak percaya saya dah besar. Dulu mak minta abang dan kakak tolong tengokkan saya.

"Bila sekarang saya dah nak bergelar suami, saya pun tak tahu macam mana nak gambarkan situasi itu. Saya kalau boleh tak nak menangis ketika kahwin, tapi kita tak tahu apa yang akan berlaku," ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain