suria

[V] Gambar konvo ala-ala Harry Potter, graduan UTM gigih panjat Gunung Datuk... Ambil guna iPhone je!

Gambar konvokesyen pemuda ini sememangnya lain daripada yang lain.

PELBAGAI idea luar kotak berjaya dicetuskan graduan masa kini demi mengabadikan gambar kenangan sempena konvokesyen.

Mana tidaknya, momen sebegitu kemungkinan hanya datang sekali seumur hidup dan harus dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Namun adakah idea yang pernah kita lihat di media sosial sebelum ini setanding inisiatif Iylia Rosli, 26, yang mendaki Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan untuk mendapatkan gambar sinematik konvokesyennya.

Dalam satu video tular di TikTok, Iylia dan rakan-rakannya menghayun langkah untuk menjejakkan kaki di puncak Gunung Datuk yang berketinggian 885 meter daripada aras laut.

"Hobi saya memang hiking daripada zaman sekolah. Apabila dapat jubah konvokesyen tu datang idea nak ambil gambar dekat tempat yang memorable.

"Lepas tu terdetik la Gunung Datuk. Sebab dalam banyak-banyak hutan, itu antara tempat yang nampak cantik pemandangan dia.

ARTIKEL BERKAITAN: Autisme bukan penghalang aktif sukan mendaki... “Saya nak takluk Everest!”

ARTIKEL BERKAITAN: Gunung Kinabalu bagai melambai-lambai... Jom ambil tahu SOP norma baharu sebelum mendaki!

"Kawan-kawan saya mula-mula macam sangsi sebab sekarang tengah musim hujan. Tapi kami redah juga. Kami bertolak pagi," cerita Iylia ketika dihubungi mStar.

Lebih meyakinkan apabila Iylia juga sudah mempunyai pengalaman tiga kali mendaki Gunung Datuk dan boleh dikatakan arif selok-belok laluan di sana.

Walaupun hujan tidak berlalu pergi dan sang mentari yang ditunggu tidak kunjung tiba, hasrat Iylia tetap diteruskan untuk mendapatkan gambar memakai jubah konvokesyen di puncak gunung.

Bila angin kuat, jubah saya tu terbang dah macam Harry Potter dekat Hogwarts.

IYLIA ROSLI

"Satu hari tu memang hujan, daripada pagi sampai ke tengah hari. Kami naik juga, start pukul empat pagi dan apabila sampai di break point, kami berhenti rehat sekejap untuk makan.

"Dalam sejam macam tu hujan reda sikit dan kami teruskan ke puncak. Kami sampai waktu subuh. Total ambil masa dalam tiga jam nak sampai atas.

"Saya pun siap-siap pakai jubah semua, Jubah memang saya bawa dalam beg dibungkus dengan plastik sebab tahu hari akan hujan," ujar Iylia lagi.

Ternyata keadaan cuaca yang kurang baik membawa rezeki tersembunyi kepada Iylia.

Keadaan berkabus di Gunung Datuk ketika Iylia tiba di puncak.

Angin yang bertiup kencang dan ditambah pula keadaan awan yang masih mendung, ia kombinasi lengkap untuk menghasilkan gambar setaraf poster filem.

"Apabila angin kuat, jubah saya tu terbang... dah macam Harry Potter dekat Hogwarts.

"Ada beberapa shot kami ambil. Kami cuba eksperimen pelbagai angle. Tapi gambar yang paling menjadi apabila jubah saya macam terbang ke atas tu.

"Saya ambil gambar pakai iPhone je. Lepas tu buat sedikit editing dan touch up bagi nampak lebih menyerlah," cerita Iylia.

Dalam kumpulan ekspedisi mendaki Gunung Datuk itu, hanya Iylia seorang sahaja yang mengambil gambar konvokesyen kerana dia menyambung pengajian pascasiswazah.

Perjalanan mendaki Gunung Datuk bermula seawal pukul empat pagi untuk Iylia dan rakannya.

"Saya ambil ijazah sarjana dalam bidang seismologi, study pasal gempa bumi semua tu. Apabila master ni biasanya kita buat research seorang, dah tak ada kawan.

"Tapi kawan-kawan saya tu supportive mereka ikut sekali nak ambil gambar konvokseysen saya di puncak," kata Iylia yang merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Iylia, mendaki Gunung Datuk tidak memberi banyak cabaran untuknya kerana dalam pencapaiannya dia sudah menawan Gunung Kinabalu sebanyak empat kali.

"Gunung Kinabalu dulu kawasan kajian saya untuk master mengenai gempa bumi. Gunung tertinggi di Malaysia kalau nak naik kena ada permit. Dan biasanya kena bermalam.

Iylia menawan puncak Gunung Kinabalu sebanyak empat kali.

"Semua orang kalau naik Gunung Kinabalu akan target nak sampai puncak waktu subuh untuk kejar matahari terbit.

'Nak naik Gunung Kinabalu ni mental dan fizikal memang kena kuat. Dekat atas tu sejuk. Dekat puncak boleh menghampiri suhu bawah takat beku.

"Lepas tu tekanan rendah lagi dekat atas tu. Memang badan kena fit. Itu antara cabaran yang terbesar. Perancangan pun kena lebih rapi," kongsi Iylia.

Iylia sempat menyelitkan cadangan agar mendaki Bukit Broga di Kajang, Selangor kepada mereka yang menginginkan gambar konvokesyen sepertinya tetapi tidak mempunyai pengalaman mendaki gunung.

"Track Bukit Broga ni tak susah sangat nak naik dan view dia dekat atas tu pun cantik. Boleh cuba. Good luck," kata Iylia mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain