suria

[V] Kena marah sebab pecahkan balang, anak tahan nangis walau kaki luka! Ibu kesal beremosi, dedah ada Hipertiroidisme

Balang air kaca yang pecah akibat terjatuh dari meja.

SIAPA yang tak sayang anak kan? Walau marahkan mereka, bukanlah tanda tak sayang sebaliknya bertujuan baik untuk memperbaiki apa yang salah.

Seorang ibu, Nur Syahidah Razman, 29, berkongsi kisah menyayat hati di sebalik video yang dimuatnaik di laman sosial.

Dalam video tersebut, wajah anak perempuannya, Nur Aufa Syafira, nampak sedih selepas dimarahinya.

Berkongsi cerita, katanya, anaknya berusia dua tahun itu dimarahi kerana bergayut pada meja yang menempatkan sebuah balang air yang diperbuat daripada kaca.

"Mungkin dia tertarik balang tersebut dan jatuh pecah di atas lantai. Masa saya nampak, balang air itu dah pun jatuh, semuanya berlaku terlalu pantas.

"Emosi saya agak tak stabil ketika itu, saya mudah marah dan termarah dia," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ada lelaki tak boleh terima” - Disahkan berpenyakit, asyik bad mood... gadis tenang doktor suruh beritahu bakal suami awal-awal

ARTIKEL BERKAITAN: Rebah selepas solat Asar, suami ralat bekalan susu khas isteri strok putus tiga hari... Cuba suap bubur tapi tak boleh telan

Menurut suri rumah itu, dia meminta anaknya untuk pergi baring bagi membolehkannya menyapu serpihan kaca yang pecah tanpa membahayakan dirinya.

"Tapi saya tak sangka anak dah pun terpijak kaca sebab dia tak menangis. Selesai sapu baru saya perasan kaki dia ada luka.

"Saya rasa serba salah sebab tak periksa dulu keadaan anak," katanya yang hanya meninggikan suara, tetapi tidak sampai ke tahap memukul anaknya walaupun marah.

Syahidah yang pernah bekerja sebagai pembantu klinik memaklumkan dirinya menghidap penyakit Hipertiroidisme sejak 2013 sebelum mendirikan rumah tangga.

"Saya menghidap Hipertiroidisme, memang susah nak kawal marah. Suami pun kadang-kadang asyik kena marah, tapi suami banyak beri sokongan sebab sakit saya ni," katanya.

Menurut portal MyHealth, Hipertiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid terlebih aktif yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan.

Antara simptom awal dikesan sebelum didiagnosis ialah sering menggigil dan juga berasa kekok ketika bekerja.

Syahidah bersama suami dan dua anak.

Syahidah memberitahu, suaminya, Muhammad Afiq Zainudin, 30, banyak memberi sokongan emosi, malah mengetahui mengenai penyakit yang dihadapinya sebelum mereka berkahwin.

"Suami selalu tenangkan saya, kadangkala apabila emosi saya tak stabil, dia akan menjaga anak-anak.

"Setiap perkara yang berlaku di rumah akan saya update suami, atau suami yang bekerja juga menghubungi saya.

"Suami tak izin saya buat sebarang kerja rumah sekiranya emosi saya tak stabil dan dia akan membantu melakukannya selepas pulang dari kerja," ujarnya sambil menambah mereka berkahwin pada 2017.

Saya rasa serba salah sebab tak periksa dulu keadaan anak.

SYAHIDAH

Mengenai keadaan anaknya, Syahidah menjelaskan si kecil hanya mengalami sedikit luka dan kini dalam keadaan baik selepas diberikan rawatan.

Video Tiktok tersebut mendapat lebih 300,000 tontonan dan meraih pelbagai reaksi netizen.

"Kalau aku jerit tak nak bagi dia gerak sebab risau dia terpijak, balang boleh beli, anak tiada ganti.

"Anak mengajar kita erti sabar.

"Pujuk anak, ambil hati anak semula. Saya dulu macam anak awak. Tengok mak marah kita kerana rosakkan sesuatu barang, tapi kita cedera. Kecil hati sampai besar," demikian antara komen netizen.

Antara komen netizen di TikTok.

Menurut Syahidah, dia tidak menyangka sebenarnya ramai ibu yang melalui pengalaman sama sepertinya.

"Tak kurang juga ada yang mempunyai simptom sama seperti saya, tapi mereka tak pasti sama ada ia Hipertiroidisme atau penyakit lain.

"Saya hanya boleh pesan supaya mereka pergi buat pemeriksaan darah untuk pengesahan," tambahnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain