suria

[V] Rezeki bela ‘kucing tinggal’ walau poket kering, wanita terkejut lulus ujian SPA selepas 6 tahun mencuba

Kucing ini ditemui seorang wanita ketika dia sedang berdepan masalah kewangan.

KUCING untuk sesetengah individu dianggap seperti sebahagian ahli keluarga.

Begitulah juga dengan Alisa Rabiatul, 26, yang merupakan seorang pencinta kucing tetapi dia diiuji dengan kesempitan kewangan.

Alisa sempat merakam momen dia bertemu seekor ibu kucing dan anak-anaknya yang terbiar di kaki lima sebuah kedai dan videonya tular di TikTok selepas ia dimuat naik di platform itu.

Tanpa berfikir panjang, Alisa terus membawa si bulus itu pulang ke rumah walaupun situasi kewangannya boleh diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Waktu tu saya baru dapat gaji dan sebulan sebelum tu, saya ada hutang dengan kawan untuk pindah rumah sebab rumah lama saya jauh dari tempat kerja.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ajaib, betul-betul bayar cash! Dua sahabat dapat rezeki tak disangka selepas bantu kucing ketika poket kering

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah rasa kehilangan sampai jatuh sakit, Fara Salleh merayu kucing kesayangan dipulangkan

"Jadi saya berhutang untuk deposit rumah. Bila dapat gaji saya bayar habis hutang saya dengan kawan.

"Nak dijadikan cerita, kebetulan time tu saya nak pergi kedai beli barang dapur, saya terjumpa kucing tu dekat luar," kata Alisa ketika dihubungi mStar.

Menurut Alisa, kucing itu kemungkinan dibuang oleh seseorang, berdasarkan bulu yang bersih dan haiwan itu diletakkan dalam sebuah kotak.

Dalam sebulan selepas saya ambil kucing tu, Alhamdulillah saya lulus ujian SPA9 untuk memohon kerja di bawah Kerajaan.

ALISA RABIATUL

"Rasa kesian sebab tu saya ambil bawa balik rumah. Suami pun okay je sebab dia tahu saya memang sayang kucing.

"Saya dekat rumah dah ada tiga ekor kucing, jadi bila tambah lagi tiga ni saya ada enam ekor keseluruhan.

"Saya pun ada bela hamster juga," kata Alisa yang pada ketika ini bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Malaysia Airlines.

Ibu kucing yang ditemui Alisa dan diberi nama Mummy.

Walaupun keadaan kewangan yang mendesak, Alisa sangat bersyukur kerana ada yang sudi untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan sedikit bebannya.

"Saya akui agak pening juga fikir cukup ke duit nak beli makanan kucing bila dah tambah ahli keluarga saya ni.

"Selepas video viral tu ada kawan-kawan datang tolong bagi makanan kucing.

"Netizen pun ada yang offer nak tolong bagi supply makanan kucing tapi saya tolak," cerita Alisa.

Alisa menganggap si bulus yang dijaganya seperti anak sendiri dan masing-masing diberikan nama yang unik.

Anak kucing betina yang diberikan nama Cik B.

"Anak kucing jantan yang saya ambil tu bulunya memang cantik jadi saya bagi nama Kacak. Anak kucing betina saya bagi nama Cik B.

"Masa tengah fikir nama anak kucing betina tu terus terlintas nama anak Datuk Seri Vida. Kalau untuk mak kucing saya panggil dia Mummy," kata Alisa.

Seterusnya Alisa menceritakan bagaimana anak kucing dan ibunya cepat menyesuaikan diri dengan keadaan rumah baharu.

"Mummy tu memang bagus, mendengar kata. Bila nak bagi mandi tak melawan.

Anak kucing jantan yang sedang berbaring di belakang diberi nama Kacak kerana bulunya yang cantik.

"Mummy pun pandai balik rumah bila keluar dan tak sesat sebab saya memang tak kurung.

"Kacak dengan Cik B pun jinak dan tak takut nak bergaul dengan 'adik-beradik' yang lain," ujar Alisa.

Pada mulanya, ahli keluarga ada menasihati Alisa untuk tidak mengambil kucing-kucing tersebut jika keadaan kewangan tidak mengizinkan tetapi Alisa yakin pasti ada hikmah di sebaliknya.

"Ibu mentua saya ada cakap jangan ambil kucing tu kalau tak mampu tapi saya kata tak apa.

Bakul yang menjadi tempat tinggal sementara Mummy dan anak-anaknya.

"Saya ditemukan dengan kucing ni mungkin sebagai ujian permulaan perkahwinan untuk saya dan suami, saya akan tetap jaga mereka," kata Alisa penuh yakin.

Rezeki ternyata 'tak salah alamat' apabila Alisa akhirnya lulus ujian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang sebelum ini telah dicuba berkali-kali tetapi hanya menemui jalan buntu.

"Dalam sebulan selepas saya ambil kucing tu, Alhamdulillah saya lulus ujian SPA9 untuk memohon kerja di bawah kerajaan.

"Saya rasa macam dipermudahkan untuk lulus ujian SPA9 tu sebab sebelum ni saya dah cuba selama enam tahun, asyik gagal je.

Cik B dan Kacak sedang bermain-main di dalam rumah Alisa.

"Baru kali ni saya berjaya. Sekarang saya tengah tunggu temuduga untuk kerja kerajaan pula," cerita Alisa bersyukur.

Alisa sempat berpesan kepada mana-mana individu untuk tidak membuang kucing jika tidak mahu memeliharanya lagi.

"Jangan la buang kucing... kucing ni pembawa rezeki. Macam saya pun rasa hidup saya dipermudahkan selepas saya bawa mereka (kucing) duduk dengan saya.

"Kalau betul-betul tak mampu nak jaga, bagi dekat orang, jangan buang.

"Kesian dekat kucing terutamanya anak kucing, mereka tak tahu apa-apa. Nak cari makan pun tak pandai," kata Alisa menutup bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain