suria

[V] Anak terharu tengok bapa buat sesuatu pada tilam jualannya, pernah ‘angkut’ ke rumah kawan sebab nak tunjuk jahitan

Anak curi-curi rakam video si bapa yang mahu bantujual tilam.

BERDEPAN asam garam dalam dunia perniagaan bukanlah satu perkara mudah.

Ada masanya kita untung, adakalanya kita jatuh dan mengalami kerugian yang terpaksa ditanggung sendiri.

Namun, dengan kehadiran keluarga dan rakan-rakan di sekeliling yang banyak membantu serta memberi sokongan, sudah pasti sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan kita.

Begitulah yang dirasai Damiana Mohd Zaki, 31, ketika menceritakan kisah di sebalik video yang memaparkan gelagat bapanya, yang berusia 57 tahun.

Dia yang menjual tilam buatan tangan berkata, bapanya yang bekerja sebagai buruh (tukang rumah) sering membantu bisnesnya dengan menghebahkan produk jualannya.

“Ayah banyak sangat bantu saya sejak dari mula berniaga lagi. Selalunya ayah memang suka promote tilam saya jual dekat kawan-kawan dia.

“Pernah masa awal-awal berniaga dia tiba-tiba minta saya hantarkan tilam dekat rumah kawan dia jadi saya pun pergilah ke rumah pakcik tu.

“Masa hantar tu saya terharu apabila pakcik tu cakap yang ayah selalu beritahu saya jual tilam. Dia cakap dekat kawan-kawannya yang saya pandai buat tilam sebab tu dia (kawan ayah) nak cuba,” imbasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah kata waktu muda untuk struggle” - Baru 2 minggu bisnes dah ada dugaan, anak termenung kata-kata bapa jadi kenyataan

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah tinggalkan duit, saya guna berniaga” - Anak buka 3 bisnes selepas lebih setahun bapa meninggal, lupakan hasrat jadi doktor

Bercerita mengenai video yang tular itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata dia membuat rakaman itu secara 'curi-curi' tanpa disedari bapanya.

Menurut Damiana yang membuka tapak perniagaan di Kampung Padang Midin, Terengganu, dia pada ketika itu sedang membuat persiapan untuk berniaga tilam di platform TikTok.

Bagaimanapun, apabila dia meninggalkan sebentar bilik yang menempatkan tilam-tilam jualannya, satu perkara tidak disangka-sangka berlaku.

Damiana bersama ahli keluarganya.

“Saya memang suka buat live (siaran langsung) menjual tilam di TikTok.

“Kebetulan hari tu saya tengah susun semua tilam, saya tinggal sekejap dan pergi ke dapur untuk ambil air.

“Waktu saya nak masuk balik, tiba-tiba dari jauh saya nampak ayah ada dalam bilik saya buat live tu. Saya nampak macam dia tengah ambil gambar atau tengah rakam tilam-tilam saya dah susun,” katanya lagi.

Bapa Damiana yang tidak menyedari dirinya dirakam pada ketika itu dilihat sedang bercakap tetapi tidak diketahui dengan siapa.

Ayah tak sedar saya tengah curi-curi rakam reaksi dia tengok susunan tilam. Saya terharu sangat bila tengok ayah support perniagaan tilam ni.

DAMIANA

Dia yang sudah berniaga sejak 2018 merasakan bahawa momen tersebut amat berharga untuk disimpan sebagai kenangan.

Malah, dia tidak menyangka video tersebut menjadi tular sehingga mendapat lebih 1.2 juta jumlah tontonan dengan pelbagai reaksi netizen.

“Ayah tak sedar saya tengah curi-curi rakam reaksi dia tengok susunan tilam. Saya terharu sangat bila tengok ayah support perniagaan tilam ni.

Damiana mula menjual tilam sejak 2018.

“Tak sangka pula video tu boleh viral. Saya berniat nak share dengan kawan-kawan di TikTok saja. Ayah dah tua tapi dia punya semangat nak tolong tu yang buat saya kagum.

“Kadang-kadang tu dia rakam saya tengah menjahit. Pernah juga sebelum ni dia bawa tilam dah siap tu sebab nak tunjuk hasil jahitan saya. Sekarang kawan-kawan ayah banyak beli tilam ni untuk cucu-cucu mereka disebabkan ayah promote,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain