suria

[V] Inilah wira! Remaja pantas kayuh perahu selamatkan budak nyaris lemas, netizen puji semangat berani redah ombak besar

Zulfikar mendayung perahu milik ayahnya bagi menyelamatkan mangsa lemas berusia 12 tahun.

BERPANTANG maut sebelum ajal.

Demikian keberanian seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang bertindak pantas menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang nyaris lemas dipukul ombak besar di tengah laut.

Difahamkan kejadian berlaku di Pantai Penunjuk, Kijal di Kemaman, Terengganu, pada petang Jumaat.

Menerusi rakaman video yang tular, remaja yang bernama Zulfikar Asmadi dikatakan pada mulanya cuba menghidupkan enjin yang dipasang pada perahu, tetapi gagal berfungsi.

Tanpa berfikir panjang, dia nekad mendayung perahu kecil kepunyaan bapanya ke laut bagi menyelamatkan mangsa yang berusia 12 tahun.

Sejurus berjaya mendapatkan mangsa, Zulfikar cuba menariknya masuk ke dalam perahu tetapi gagal.

Dia bagaimanapun dilihat meminta kanak-kanak berkenaan memegang kuat pada badan perahu sebelum bergerak ke arah bertentangan untuk meneruskan dayungan.

Tindakan pantasnya menyelamatkan mangsa turut dibantu oleh beberapa lelaki dewasa dan membawanya ke darat.

Perahu yang digunakan Zulfikar ketika meredah ombak besar.

Perahu yang digunakan Zulfikar ketika meredah ombak besar.

Berdasarkan perkongsian di laman Facebook Info Bencana Terengganu, remaja tersebut merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal di Kemaman.

Video keberanian Zulfikar yang dikongsikan di halaman Facebook tersebut juga menjadi tular sehingga dikongsikan di beberapa platform media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Kena marah sebab pecahkan balang, anak tahan nangis walau kaki luka! Ibu kesal beremosi, dedah ada Hipertiroidisme

ARTIKEL BERKAITAN: Impian dapat adik perempuan tercapai selepas 11 tahun, abang tak segan curah kasih sayang... menangis sikit terus dukung!

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakannya yang berani, dan mungkin tidak dapat digambarkan oleh sesetengah orang dewasa untuk melakukan perkara sama.

Musim begini tak payah bawa anak pergi mandi pantai, ombak besar.

NETIZEN

"MasyaAllah, semoga hidup adik Zulfikar Asmadi selalu dalam lindungan Allah. Sangat berani dik... akak pun takut dengan air laut. Tahniah!

Antara komentar yang ditinggalkan warganet.

Antara komentar yang ditinggalkan warganet.

"Sikapmu wahai anak, membahagiakan ibu. Ibu pasti bangga dan kegembiraan ini akan menghilangkan segala penat lelah menjagamu sejak dari kecil... terbayar dengan kemuliaan yang ada dalam dirimu. Tahniah anak muda! Semoga menjadi insan yang Allah dan Rasulullah banggakan juga.

"Umur 14 tahun. Berani bertindak, matang berfikir... jiwa besar. Semoga menjadi pejuang agama, bangsa dan negara," demikian antara komen netizen.

Pada masa sama, terdapat kritikan terhadap kejadian yang berlaku kerana tidak peka dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan peralihan monsun, menjadikan aktiviti pantai berisiko.

"Dah tahu air macam tsunami pergi mandi juga... takkan tak boleh berfikir langsung?

"Kalau cakap tak sayang anak, ada yang melenting. Memang benda kalau nak jadi, jadi juga... tapi mak ayah sepatutnya boleh fikir, sekarang musim tengkujuh bukan masa yang sesuai untuk bawa keluarga pergi mandi tempat macam ni.

"Musim begini tak payah bawa anak pergi mandi pantai, ombak besar," ujar beberapa netizen.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kijal, Sabari Taib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 5.44 petang Jumaat.

“Difahamkan, keluarga yang berasal dari Bandar Seri Bandi, Kijal datang ke pantai tersebut untuk berkelah dan kanak-kanak terbabit sedang mandi bersama beberapa ahli keluarga lain sebelum lemas dipukul ombak.

"Bagaimanapun, dia dapat diselamatkan ahli keluarga dan orang ramai yang berkunjung ke pantai itu," katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain