suria

[V] Jururawat sempoi naik jentolak redah banjir, tak lupa pesakit tunggu di hospital - “Selagi uniform putih membalut tubuh”

Sekumpulan jururawat menaiki jentolak untuk meredah banjir.

BANJIR yang melanda di beberapa negeri terutama Pantai Timur bukan sahaja menenggelamkan rumah, malah merosakkan harta benda.

Seperti di Terengganu, banjir di negeri itu kali ini dikatakan lebih buruk berbanding pada musim tengkujuh sebelum ini.

Keadaan banjir yang semakin buruk melumpuhkan pergerakan dengan beberapa jalan sukar untuk dilalui kenderaan biasa kerana ditenggelami air.

Namun bagi petugas kesihatan atau frontliner, tanggungjawab dan tugas perlu dilaksanakan lebih-lebih lagi sewaktu bencana banjir berlaku.

Menerusi satu video yang tular, sekumpulan jururawat kelihatan bersiap bersedia untuk 'berperang' meskipun jalan utama untuk ke hospital ditenggelami air.

Dengan bantuan jentolak, mereka yang berpakaian seragam putih berkumpul di bahagian depan untuk meredah banjir.

Kira-kira tujuh jururawat berpaut pada bahagian depan jentolak, dengan sebelah tangan masing-masing memegang payung kerana hujan.

nurse naik jentolak 2

Keadaan banjir di Hulu Terengganu.

Menerusi perkongsian video di akaun Tiktok @e_jea81, pemandu jentolak itu kemudian menggerakkan jenteranya untuk memulakan perjalanan.

"Selagi uniform putih membalut tubuh... selagi itu kudrat kami diperlukan," tulisnya menerusi video berdurasi 31 saat yang meraih lebih 1.1 juta tontonan di TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak tenang di overseas fikir kereta! Usahawan Kelantan panik cari bantuan selamatkan Lamborghini RM2 juta, sedia bantu mangsa banjir

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Orang Terengganu memang tiptop! Warga emas senyum rumah kelong selamat banjir... Paling penting Honda EX-5 ada depan mata

Dalam video berasingan, pengguna TikTok yang lebih dikenali sebagai Cik Zea itu memaklumkan bahawa dia bersama petugas lain terkandas akibat banjir.

Dia yang dipercayai bertugas di Hospital Hulu Terengganu (HHT) itu turut berkongsi video keadaan banjir di kawasan sekitar.

nurse naik jentolak 3

Beberapa jalan ditenggelami air.

"Tersekat banjir nak pergi kerja... HHT dah jadi pulau. Kiri kanan terkepung air," katanya dengan tanda pagar #prayforHuluTerengganu.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memuji semangat frontliner yang sedaya-upaya memastikan mereka dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Masa ni bajak-bajak berguna... traktor, lori-lori jadi jentera yang membantu mangsa banjir.

NETIZEN

Ini termasuklah pemandu jentolak yang turut membantu mereka untuk meneruskan perjalanan ke hospital.

"Di musim Covid mereka wira, musim banjir mereka juga wira, tanah runtuh mereka tetap wira kerana mereka adalah wira sebenar negara.

nurse naik jentolak 1

Antara komen netizen.

"Sebab itu kita jangan hina kenderaan ni atas jalan, walaupun tak laju dan kotor atas jalan, tapi banjir kita cari dia juga.

"Masa ni bajak-bajak berguna... traktor, lori-lori jadi jentera yang membantu mangsa banjir. Alhamdulillah.

"Semoga sentiasa dipermudahkan segala urusan akak-akak nurse. Begitu juga kepada agensi-agensi lain yang banyak membantu," demikian antara komen netizen.

Dilaporkan, keadaan banjir di Terengganu semakin kritikal apabila seramai 40,456 mangsa berada di 299 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pagi Rabu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain