suria

Hanya mampu peluk bantal, cium baju arwah isteri... Lelaki ini kongsi cara ‘healing’ derita merindu - “Saya menangis ketika anak tidur”

Realiti kehilangan seorang isteri memberikan tamparan hebat kepada lelaki ini.

SETIAP insan di muka bumi ini pernah kehilangan orang tersayang.

Meniti hari yang mendatang selepas detik hitam sebegitu pastinya penuh dengan cabaran.

Seorang pelayar di Twitter yang dikenali sebagai Nurnaif menceritakan pengalamannya untuk berdamai dengan takdir selepas pemergian isteri tercinta.

Ciapan asal di laman Twitter.

Perkongsian Nurnaif itu dibuat bagi membalas pertanyaan seorang pengguna Twitter lain yang bertanyakan perasaan lelaki berkahwin dengan isteri jelita.

"Apa perasaan lelaki yang kahwin dengan isteri cantik ya, cuba explain sikit dengan tweet ni," kata penulis itu dalam ciapannya.

Difahamkan isteri Nurnaif meninggal dunia kerana kanser dan dia kini menjadi bapa tunggal untuk menjaga dua orang cahaya matanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ubat tak hapus derita kanser, suami cuma minta isteri peluk untuk hilangkan sakit! Tidur pegang tangan sebelum ajal

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Macam ni la mak hari-hari” - Isteri sukar tinggal katil tempat suami terlantar 7 tahun, sering termenung tengok kubur arwah depan rumah

"Memandang isteri saya selalu membuatkan saya gembira. Dialah hadiah dari Allah kepada saya.

"Kami sudah berkahwin selama 24 tahun. Baru saja kehilangannya kerana kanser.

"Reda. Tetapi saya masih menangis di waktu pagi ketika anak saya sedang tidur. Saya sangat merinduinya," kata Nurnaif.

Seorang warga maya kemudiannya bertanyakan kepada Nurnaif bagaimana dia mengubat rindu yang tidak terhingga kepada arwah isteri.

Saya tengok gambar dan video dia, rindu nak bercakap dengan dia... dengar gelak tawa dia.

NURNAIF

"Saya selalu tertanya-tanya tentang ini, kalau awak sangat merindui arwah isteri, apa yang awak akan buat?," tanya seorang netizen.

Nurnaif seterusnya menjelaskan cara yang diamalkannya untuk mencari ketenangan ketika perasaan rindu membebani isi hati.

"Nasihat saya sama seperti mereka yang lain. Sedekahkan al-Fatihah.

"Kalau macam saya, saya akan peluk bantal kepunyaan arwah isteri. Saya akan peluk baju-baju dia.

Pusara arwah isteri Nurnaif

"Tengok gambar dan video dia. Penting untuk ada video sebab boleh dengar suara dia. Saya rindu nak bercakap dengan dia, untuk dengar gelak tawa dia.

"Saya juga akan baca semula mesej WhatsApp dia," cerita Nurnaif.

Isteri Nurnaif meninggal dunia pada hujung Oktober lalu selepas hampir tiga bulan dimasukkan ke dalam wad di Hospital Pulau Pinang.

"Isteri saya baru meninggal dunia. Saya berasa sedikit terkilan sebab mungkin kami boleh bertindak dengan lebih baik untuk selamatkan dia.

"Saya menangis setiap hari terutamanya di waktu pagi. Rumah rasa sangat sunyi. Saya perlu jaga anak-anak saya

"Anak-anak adalah apa yang memberikan saya semangat untuk teruskan hidup," katanya dalam satu ciapan lain.

Rakaman video arwah isteri yang disimpan di telefon pintar menjadi pengubat rindu untuk Nurnaif. -Gambar hiasan

Seorang warga maya juga sempat bertanyakan adakah kesedihan yang dialami Nurnaif itu sama dengan perasaan patah hati kerana bercinta.

"Saya tertanya-tanya sama tak kesedihan dengan orang yang patah hati sebab ditinggalkan kekasih?

"Rasa rindu pada dia tapi kita tahu dia bahagia dengan orang lain dan dia tak rindu kita pun.

"Rasa hati yang berat seperti hati ini dihiris nipis-nipis," soal pelayar itu.

Ciapan balas sebahagian warga maya.

Seorang netizen menjawab bagi pihak Nurnaif dengan mengatakan perasaan rindu dalam dua situasi itu adalah berbeza.

"Saya jawabkan. Tak sama. Sekurang-kurangya kalau patah hati kerana cinta kita masih dapat lihat dia dan kita tahu dia masih hidup.

"Lama-kelamaan kita akan terima hakikat yang dia dah bahagia dengan orang lain.

"Tapi seorang isteri adalah teman sehidup dan semati bagi lelaki. Hidup kita harus bersama mereka dan apabila mereka dah tak ada, kita akan rasa kosong," terangnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain