suria

[V] Hasrat bantu ibu buat COD bertukar tragedi, anak digigit anjing jiran... Tapi tak minta maaf, siap cakap sekadar bergurau!

Kanak-kanak ini menangis kesakitan selepas diserang seekor anjing jiran milik jiran.

NIAT seorang kanak-kanak perempuan membantu ibunya menghantar makanan yang dipesan pelanggan bertukar tragedi apabila dia diserang seekor anjing.

Kanak-kanak malang itu cuba berlari ke rumahnya sebelum terjatuh di jalan dan diserang anjing berkenaan, dipercayai kepunyaan jiran.

Insiden itu berjaya dirakamkan menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kereta seorang saksi yang secara kebetulan berada di lokasi kejadian.

Tindakan pemandu kereta itu membunyikan hon secara bertalu-talu bagi menakut-nakutkan anjing berkenaan akhirnya menyelamatkan mangsa daripada terus diserang, sebelum haiwan liar itu beredar.

Bercakap kepada mStar, ibu kanak-kanak itu, Zuraidah Ibrahim berkata, video rakaman kejadian yang baru dikongsi di laman TikTok berlaku pada bulan lalu.

Walaupun sebulan berlalu, katanya, anak perempuannya yang berusia 10 tahun masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku dekat rumahnya di Kulai, Johor.

diserang anjing 2

Kejadian berlaku ketika anaknya mahu membuat penghantaran makanan ke rumah jiran.

"Sejak kejadian, anak tak nak keluar sendiri lagi. Masa tu saya minta dia buat COD (penghantaran tunai), ada jiran lain beli makanan. Mungkin anjing tu nampak dia bawa makanan.

"Kadang-kadang dia mengigau masa tidur malam. Anak terpekik minta tolong macam masa kejadian," katanya ketika dihubungi mStar.

Mengimbas kembali mengenai kejadian, wanita berusia 38 tahun itu tanpa berfikir panjang terus bergegas membawa anaknya yang mengalami luka ke klinik.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuan anjing tak bertanggungjawab, wanita parah diserang gara-gara pagar terbuka... rupa-rupanya ramai jadi mangsa - "Kalau lalu situ memang dia standby perah motor laju-laju"

ARTIKEL BERKAITAN: Guru nafi murid 6 tahun acah anjing, kesan gigitan dalam sampai kena bedah! - "Sambil menangis dia berdoa... ampunkan dosa mak ayah aku"

"Tapi dua klinik tak nak buat sebab lukanya agak besar dan dalam. Jadi, saya terus bawa anak ke hospital dekat Kempas untuk rawatan lanjut.

"Anak terpaksa dimasukkan ke wad sebab kalau ikut video tu, anak jatuh terhentak. Doktor bimbang jika ada keretakan tulang," katanya sambil memberitahu bahawa anaknya terlantar di hospital selama tiga hari.

Zuraidah yang dikenali sebagai Kak Omel dalam kalangan pelanggannya berkata, mengikut laporan doktor, dia bersyukur kerana tiada sebarang tulang retak atau patah pada anaknya.

diserang anjing 3

Antara kesan luka yang dialami anaknya pada hari kejadian.

"Cuma ada luka di kedua-kedua lutut akibat terjatuh, sedikit di tangan kesan cakaran, dan belakang badan ada kesan benam kuku," katanya sambil menambah kejadian itu mendapat perhatian Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) susulan rakaman video yang tular.

Ibu kepada dua anak yang berasal dari Johor Bahru ini kesal dengan sikap jirannya yang lepas tangan selain membiarkan pintu pagar rumah terbuka pada hari kejadian sehingga anjing mereka bertindak ganas terhadap anaknya.

Anak mengigau masa tidur malam... terpekik minta tolong macam masa kejadian.

ZURAIDAH IBRAHIM

"Dah tahu salah, datanglah berjumpa minta maaf. (Sebaliknya) dia cakap bukan anak you mati pun kan! Biadab tak? Dia kata anjingnya bukan serang tapi sekadar bergurau, bermain.

"Kepada semua penduduk yang berjiwa Malaysia, minta hormat. Kalau nak bela anjing, pastikan ada lesen dan anjing tak mengganggu jiran lain.

"Sebab tinggal di kawasan perumahan ni, ramai kanak-kanak. Keselamatan mereka agak berbahaya sekiranya ada insan yang tak bertanggungjawab macam ni," katanya.

diserang anjing 4

Menurut Zuraidah, anak sulungnya itu masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

Dalam pada itu, Zuraidah yang berniaga makanan sejak awal tahun berterima kasih kepada pemandu yang merakamkan kejadian yang juga merupakan pelanggannya.

"Pelanggan tu baru lepas beli kuih masa tu. Kalau dia tak hon, anjing tu mungkin lebih mengganas. Tapi jangan salah faham kenapa dia tak turun tolong.

"Pelanggan saya tu warga emas, baru je balik dari buat dialisis di hospital. Itu saja yang dia mampu tolong. Kena faham dia orang tua dan sakit," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain