suria

Dulu isteri dapat RM10 seminggu je, lepas cerai terus tuntut nafkah tertunggak... Puas hati bekas suami kena bayar hampir RM70,000

Suriati kongsikan kisah seorang wanita berjaya menuntut nafkah daripada bekas suami.

SESEBUAH perkahwinan itu bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan.

Setiap pasangan perlulah menitikberatkan soal tanggungjawab serta memainkan peranan terhadap masing-masing.

Begitu jugalah soal nafkah yang perlu disediakan oleh para suami untuk isteri mereka.

Apabila bercerita tentang soal nafkah, perkongsian seorang peguam, Suriati Ghani menerusi Facebook boleh dijadikan iktibar dan pengajaran untuk kita semua.

Dalam hantaran tersebut, Suriati menyatakan kelegaan selepas berjaya mewakili anak guamnya menuntut nafkah yang tertunggak bagi tempoh perkahwinan selama lima tahun sembilan bulan.

Wanita ini sudah berumah tangga lebih lima tahun. -Gambar hiasan

Jelasnya, keputusan mahkamah akhirnya menetapkan bekas isteri yang diwakilinya itu dibayar tuntutan nafkah tertunggak sebanyak RM69,705.

“Bekas isteri puas hati dengan keputusan mahkamah dan bekas suami terima keputusan dengan reda.

“Malah sempat mohon maaf dengan bekas isteri serta peguam setelah selesai keputusan kes,” ujarnya mengenai kes tersebut.

Bercerita mengenai kisah yang terjadi, Suriati berkata isu tuntutan nafkah antara pasangan itu bermula sebelum mereka berpisah.

ARTIKEL BERKAITAN: Belum setahun kahwin, suami mahu semua belanja rumah bayar separuh... bila minta nafkah, alasannya dah sediakan keperluan asas

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi kes tunggakan nafkah 10 tahun, sampaikan mesej anak tak dibalas... tak sangka ramai dedah alami nasib sama - "Happy birthday ayah..."

Difahamkan si suami culas dalam memberikan wang dengan jumlah sepatutnya setiap bulan.

“Kes ini asalnya bermula dengan tuntutan nafkah oleh isteri (masa tu belum cerai), tapi kes nafkah tu terpaksa ditarik balik sebab suami failkan cerai.

“Tindakan isteri memfailkan tuntutan nafkah menunjukkan memang berlaku suami culas dalam memberi nafkah.

Saya nak tekankan di sini, jika suami culas, mintalah nafkah, jangan diam. Diam bermaksud reda.

SURIATI

“Isteri menuntut di mahkamah supaya ditetapkan sejumlah nafkah bulanan daripada suami,” katanya lagi.

Di kesempatan itu, Suriati turut menitipkan nasihat kepada golongan isteri supaya membuat tuntutan sekiranya berdepan situasi sama.

“Saya nak tekankan di sini, jika suami culas, mintalah nafkah, jangan diam. Diam bermaksud reda,” ujarnya.

Suriati turut menjelaskan bahawa isu berkaitan tuntutan nafkah dan tuntutan nafkah tertunggak adalah dua perkara berbeza yang harus difahami setiap isteri.

Hantaran terdahulu dibuat oleh Suriati berhubung tuntutan nafkah.

Hantaran tersebut dikongsikan semula lebih 500 pengguna Facebook dan rata-ratanya bersetuju dengan perkongsian Suriati sehingga menerima lebih 2,400 jumlah tanda suka.

Sehari sebelum hantaran itu dibuat, Suriati membuat satu posting meluahkan harapan agar keputusan berpihak kepada wanita tersebut apabila mengenangkan nasibnya.

“Semoga keputusan yang baik dan adil untuk seorang bekas isteri.

“Nafkah tertunggak isteri, dulu hanya dapat RM10 seminggu,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain