suria

Dua pelajar master ‘buat hal’ lagi! Dulu beli van buruk RM200 jual kopi dan pulut tepi jalan... kini bancuh simen, ikat bata renovate sendiri kafe

Arin (kiri) dan Irdina yang mula berniaga di tepi jalan akhirnya merealisasikan impian mereka untuk memiliki kafe Pulut & Kopi.

BERMULA dengan bertemankan sebuah van usang serta sekaki payung comel berwarna putih, dua wanita ini mampu tersenyum bangga apabila impian mereka akhirnya tercapai.

Tepat 12 bulan membuka gerai di tepi jalan, jenama 'Pulut & Kopi' kini beroperasi di sebuah bangunan rumah kedai, sekali gus menjadi bukti bahawa usaha keras Nor Fazrina Fazrin Hassan dan Iffah Irdina selama setahun membuahkan hasil.

Untuk makluman, kisah Pulut & Kopi pernah dipaparkan di mStar pada Januari tahun lalu ekoran keunikan konsep 'old school' gerai mereka menjadi sebutan ramai.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nor Fazrina Fazrin, 28, atau senang disapa sebagai Arin berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa gerai tepi jalan yang diusahakan bersama rakan baiknya mampu melangkah setapak ke hadapan dalam tempoh setahun.

"Masa mula-mula buka kafe Pulut & Kopi, sejujurnya terlintas juga perasaan takut dan bimbang di kepala saya dan Iffah. Sebab sebelum ini tak terfikir berjaya ada kafe.

"Bila dah ada kafe, semestinya komitmen pun bertambah. Memanglah orang kata, senang berniaga tepi jalan sebab tak payah bayar apa-apa komitmen. Tapi sampai bila nak berniaga tepi jalan?

pulut

Van usang signatur Pulut & Kopi diletakkan di hadapan kafe.

"Jadi, berbekalkan keberanian, kami mencuba. Adat berniaga, turun naik mesti ada tapi apa yang kami buat adalah cuba untuk kekalkan kualiti dan rasa seperti sebelum ini," ujarnya yang kini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana (master) di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

ARTIKEL BERKAITAN: Beli van usang RM200, 2 pelajar master pertaruh nasib jual pulut dan kopi! Jam 4 pagi bangun masak, malam masuk kelas

Apa yang menariknya kata Arin, proses renovasi kafe tersebut dilakukan oleh mereka berdua dan dibantu dua lagi rakan lelaki, tanpa mengupah kontraktor.

"Dari bancuh simen, ikat bata hinggalah dekorasi, semuanya kudrat kami berempat. Sejujurnya, kami tidak mengambil sebarang loan untuk renovasi. Guna keuntungan dari rolling gerai saja. Jadi konsep kafe ini simple dan minimalis," kongsinya.

Masih mempertaruhkan menu signatur iaitu kopi dan pulut kuning, kafe ini turut memperkenalkan menu baharu dan semestinya ia masakan Melayu.

pulut 2

Arin dan Irdina terlibat 100 peratus proses merenovasi kafe mereka sendiri dengan dibantu dua rakan lain.

"Untuk menu makanan, kami tambah lempeng dan nasi impit untuk dipadankan dengan rendang ayam, rendang daging atau sambal ikan bilis petai. Ada juga kuah kacang. Dan terbaharu ada kek sarang semut dan roti kukus. Semuanya menu Melayu, tiada menu masakan barat.

"Untuk minuman pun ada yang baru, iaitu frappe," ujarnya.

Mula beroperasi di kafe sejak Mac tahun lalu, Arin melahirkan rasa syukur kerana sambutan yang diterima dalam tempoh kira-kira 10 bulan itu, begitu menggalakkan.

"Orang ramai yang mula-mula sokong sejak Pulut & Kopi bermula di rumah dan di gerai tepi jalan, masih terus menyokong sehingga ada kafe.

Kafe ini pertaruh makanan yang orang tak terfikir, inilah cabaran kami. Dari segi marketing, memang kena all out. Bukan senang nak naikkan masakan Melayu.

NOR FAZRINA FAZRIN

"Tak kurang juga, ada yang beritahu datang dari jauh selepas tahu dari media sosial. Semua ini menjadi penguat semangat kami untuk terus berdiri meskipun banyak pesaing kafe-kafe hipster lain.

"Kafe ini pertaruh makanan yang orang tak terfikir, inilah cabaran kami. Dari segi marketing, memang kena all out. Bukan senang nak naikkan masakan Melayu. Namun apa yang boleh dikatakan, memang tak terfikir lagi untuk ketengahkan menu makanan barat buat masa ini," tambah Arin.

Bagi menghargai sokongan yang tidak berbelah bahagi penggemar Pulut & Kopi, Arin menambah mereka kini dalam perancangan untuk menambah cawangan baharu.

"Semua ini masih dalam peringkat perbincangan. Bergantung kepada rezeki. Doakan mudah-mudahan cepat kami buka cawangan kedua.

"Selain itu, kami juga merancang nak buat tour ke lokasi-lokasi tumpuan orang ramai dengan van signatur Pulut & Kopi setiap hujung minggu. Jadi, apa-apa akan diuar-uarkan di media sosial kami.

pulut 1

Lempeng dan pulut kuning antara menu kegemaran ramai di Pulut & Kopi.

"Akhir kata, kami nak ucapkan terima kasih kepada semua penyokong Pulut & Kopi kerana ada bersama dari tepi jalan sampailah dah ada tempat berlindung dari hujan panas," katanya lagi.

Kafe Pulut & Kopi terletak di Bandar Teknologi Kajang, kira-kira 300 meter dari lokasi tapak gerai sebelum ini.

Ia beroperasi setiap hari kecuali Jumaat, bermula 9.00 pagi hingga 7.00 petang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain