suria

Anak hidap tumor otak, bapa setia tunggu dalam ‘khemah kereta’… berperang dengan nyamuk, kencing dalam botol - “Nak dekat dengan dia saya kena jimat”

Adi 'berkhemah' dalam kereta bagi memantau keadaan anaknya yang dirawat di hospital.

KASIH seorang ayah, lelaki ini rela 'berkhemah' demi mahu 'dekat' dengan anak yang terlantar di hospital.

Begitulah pengorbanan seorang bapa berusia 40 tahun yang sanggup tidur di dalam kereta di tempat parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak, bagi memantau anak bongsunya yang dirawat di pusat perubatan itu.

Beberapa foto menunjukkan kereta Proton Satria yang dipasang khemah di belakang kenderaan itu di tempat parkir menjadi tular di media sosial.

Adi Saifullizam Abdul Sani berkata, anaknya, Muhammad Afeef Mikhail, 8, mendapat rawatan di hospital itu selepas disahkan menghidap tumor otak, pada Jumaat lalu.

Menurutnya, keadaan anaknya kini stabil selepas pembedahan bagi pengambilan sampel sel pada Sabtu namun masih perlu dirawat dan dipantau di HRPB dengan ditemani isterinya.

bapa tidur dalam kereta 3

Kereta Adi dipasang khemah di ruang parkir HRPB.

"Alhamdulillah, setakat petang tadi anak saya dalam keadaan stabil. Kami sedang menunggu sama ada anak akan menjalani kemoterapi, radioterapi atau pembedahan susulan.

"Saya ambil keputusan untuk bermalam dalam kereta di ruang parkir hospital kerana mahu sentiasa dekat dengan anak dan isteri serta standby pada bila-bila masa," katanya kepada mStar.

Bekerja sebagai operator kilang dan isteri merupakan suri rumah, dia mengakui perlu berjimat kerana mengambil cuti tanpa gaji bagi memantau keadaan anaknya selain memudahkan urusan memandangkan jarak rumahnya yang terletak di Trolak agak jauh dengan hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Bapa B40' buka cerita tak habis sekolah... akui kerap termenung, menangis di tempat kerja kenangkan nasib anak-anak - "Tak mahu mereka jadi seperti saya"

ARTIKEL BERKAITAN: Kasih bapa... Anak melompat riang dapat hadiah jam tangan mainan, netizen kagum cipta bahagia cara sederhana

"Nak tinggal di rumah stay (homestay) pun perlu banyak kos. Masa hari pertama saya datang ke hospital cuma ada RM250 di tangan.

"Jadi, saya perlu berjimat. Lebih mengutamakan makan dan minum. Apa yang lebih penting, saya sentiasa dekat dengan anak," ujar bapa kepada tiga anak itu.

Lebih mesra disapa Adi, buat masa ini dia belum mengetahui langkah seterusnya termasuk kos sebenar untuk rawatan anaknya.

Kita perlu kuat untuk anak. Kita jadi tulang belakang untuk anak kuat melawan apa yang dihadapi mereka.

ADI

Walau bagaimanapun, dia amat terharu dan bersyukur atas keprihatinan rakyat Malaysia yang banyak membantu dari segi sumbangan kewangan.

"Syukur Alhamdulillah juga hari ini ada seorang hamba Allah yang sudi membantu saya membiayai tempat menginap di bilik di sebuah rumah inap berdekatan dengan hospital.

"Sangat dekat, saya berjalan kaki antara 300 dan 500 meter ke hospital bertemu anak dan isteri," katanya sambil menambah dua lagi anaknya dijaga oleh keluarga terdekat buat sementara waktu.

bapa tidur dalam kereta 4

Isteri Adi (tengah) bersama Muhammad Afeef Mikhail (kanan) dan seorang lagi anak.

Berkongsi pengalaman bermalam di dalam kereta selama lima malam, Adi berkata, dugaan paling mencabar apabila berdepan gangguan nyamuk dan situasi ketika hujan.

"Tujuan saya pasang khemah tu sekadar tambahan untuk mengelakkan daripada kena tempias hujan. Ini kerana saya buka tingkap ketika tidur untuk keselamatan dan jimat kos daripada guna aircond... waktu siang saya lebih banyak menunggu di lobi hospital.

"Selain 'berperang' dengan nyamuk, paling mencabar bila hujan waktu malam. Lebih-lebih lagi terasa nak buang air kecil, saya guna cara darurat dengan kencing dalam botol," katanya.

Menurut Adi, dia memohon agar semua terus mendoakan kesihatan anaknya agar diberikan kesembuhan segera.

"Saya juga berharap agar keprihatinan rakyat Malaysia ini diteruskan untuk membantu mereka yang lain dalam kesusahan, dalam apa jua keadaan.

"Walaupun sedikit, saya percaya ia mampu mengubah keadaan. Begitulah yang saya alami dengan bantuan orang ramai.

"Kepada ayah-ayah di luar sana... ketika anak diuji musibah seperti penyakit, kita perlu kuat untuk anak. Kita jadi tulang belakang untuk anak kuat melawan apa yang dihadapi mereka," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain