suria

“Boleh buat series Netflix” - Licik ‘bisnes haram’ di hostel sebab terdesak, pemuda insaf aniaya rakan sampai kena gantung sekolah

Lelaki ini berkongsi kisahnya sebagai seorang penjual rokok di asrama.

PENGALAMAN mendewasakan kita!

Setiap apa yang kita lalui mengajar kita tentang liku-liku kehidupan.

Begitulah juga lelaki dikenali sebagai Naim ini yang berkongsi pengalamannya ketika di bangku persekolahan.

Melalui satu video tular di TikTok, Naim menceritakan bagaimana dia pernah menjadi 'tokan rokok' di asramanya kerana keadaan yang mendesak.

rokok

Walaupun rokok dilarang, Naim tetap menjualnya di asrama. -Gambar hiasan

"Bukan sesuatu untuk dibanggakan tapi boleh dijadikan pengajaran untuk kita semua. Kita semua pernah nakal waktu zaman sekolah dulu.

"Cerita dia macam ni, aku dulu dekat sekolah budak baik sebenarnya, tapi sebab desakan hidup itu yang aku terpaksa jual rokok ni," ujar Naim yang kini bekerja dengan agensi kawalan haiwan perosak.

Menurut Naim, dia diberikan wang saku oleh ibu bapanya sebanyak RM200 untuk perbelanjaan sepanjang penggal persekolahan tetapi malangnya duit itu hilang.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anak hiba balik asrama, walau nangis tak putus beri bermacam nasihat untuk ibunya - “Tak sampai 15 minit dia call tanya ibu sihat?”

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tragedi mi segera tomyam dalam dorm asrama... Pemuda merana 3 hari, paha mulus melecur tersimbah air panas

"Aku sekolah asrama ni dekat Temerloh, Pahang tahun 2007. Mak ayah aku bagi aku RM200 untuk duit belanja. Jadi aku pun balik ke sana naik bas dan memang malang sikit nasib aku waktu tu, duit aku tu hilang tercicir mungkin.

"Aku dah pening macam mana nak hidup ni, duit pun dah tak ada. Duit mak ayah tu pun aku kena ganti balik. Yuran sekolah kena bayar.

"Perah otak akhirnya aku decide aku kena berniaga nak cari duit sendiri untuk sara hidup. Tapi perniagaan apa yang boleh menguntungkan aku dalam masa yang singkat sebab aku nak kena pakai duit cepat ni," kata Naim berteka-teki.

Cara business abang ni aniaya member ni.

NETIZEN

Maka dari situ bermulalah kisah Naim sebagai seorang penjual rokok di sekolah asramanya gara-gara kesempitan wang.

"Waktu tu dalam poket aku ada la balance RM10 untuk buat modal perniagaan. Aku kena beranak-pinakkan duit ni dengan cepat.

"Mula-mula fikir nak jual mi segera tapi tak berbaloi, satu bungkus mi segera yang besar tu ada lima paket je dekat dalam. Pulangannya lambat.

"Nak jual makanan ringan pula mahal, nak beli dengan modal RM10 tak cukup. Jadi cara paling cepat rolling duit dekat asrama ni jual rokok la.

"Aku pun beli rokok murah je, rokok Halftime iaitu 'rokok bola', RM3 dapat 20 batang. Nak beli rokok mahal macam Dunhill dengan Winston memang di luar bajet, kering terus aku," cerita Naim mengenai permulaan kisahnya 'berniaga'.

rokok 2

Sekolah asrama menyimpan seribu satu kenangan untuk Naim. -Gambar hiasan

Setelah mempunyai bekalan rokok yang diperlukan, Naim berdepan dengan satu lagi cabaran iaitu saingan sengit pasaran di asramanya.

"Dekat asrama aku ni ramai tokan yang jual rokok Dunhill dengan Winston. Itulah rokok yang budak selalu nak beli.

"Rokok bola macam aku punya ni orang tak pandang. Jadi macam mana aku nak lariskan perniagaan aku ni, aku pun terpaksa pakai taktik kotor. Kelakar bila aku fikir balik sekarang.

"Aku pergi dekat warden asrama dan aku laporkan nama setiap seorang yang jual rokok dekat asrama tu kecuali nama aku.

"Malam tu terus ada spotcheck mengejut, aku punya bekalan rokok dah sorok siap-siap dekat tempat selamat. Orang lain punya habis kena sapu dan dirampas," cerita Naim sambil tertawa.

Strategi yang digunakan Naim ini menyebabkan dia kini memegang monopoli pasaran rokok di sekolah asramanya.

"Aku minta maaf la dekat senior aku semua kalau ada yang baru tahu kisah ni sekarang. Aku ingat sebab apa yang aku buat ni sampai ada yang kena gantung sekolah.

Pemeriksaan mengejut oleh warden asrama membantu Naim memonopoli pasaran. -Gamnbar hiasan

"Lepas semua competitor aku dah clear, aku pun boleh jual rokok bola aku dengan harga yang mahal sebab orang dah tak ada pilihan walaupun rokok bola ni level rendah je.

"Aku jual rokok bola sebatang RM1. Dalam masa satu malam je aku dapat RM20, stok aku terus licin. Tolak modal RM3, aku untung RM17. Untung besar.

"Aku pun buat calculation berapa lama nak jual untuk dapat balik RM200. Esok lepas sekolah aku keluar pergi tambah lagi bekalan rokok bola," kata Naim.

Naim mengakui rakan-rakannya yang turut menjual rokok berasa pelik bagaimana mereka sering kantoi dengan warden asrama manakala Naim pula sentiasa terselamat.

"Lepas first time dah bersih rokok kena spotcheck tu, competitor ada la start bawa masuk balik rokok Dunhill dengan Winston.

"Tapi setiap kali mereka start jual balik, aku terus pergi report dekat warden. Terus kantoi mereka semua ni. Memang jualan rokok aku je yang kekal.

"Lepas tiga empat kali asyik kena kantoi mereka pun akhirnya give up nak jual rokok. Dari tingkatan 4 sehingga tingkatan 5 aku duduk jual rokok ni sampai nama aku dah sinonim dengan rokok," kata Naim.

Sebilangan komen warga maya.

Naim mengakui momen dalam hidupnya ini telah banyak mengajarnya tentang erti kehidupan.

"Dari untung aku duduk jual rokok tu, cukuplah duit nak bayar yuran sekolah. Tapi mungkin sebab duit tu tak berkat, itu yang belajar pun aku ke laut.

"Result exam pun cukup-cukup makan je. Belajar apa pun semua masuk tak masuk otak ni. Jadi nasihat aku jangan la buat benda haram ni.

"Itu zaman dulu, sekarang aku tak buat dah semua tu. Dan sekarang Alhamdulillah aku pun dah berhenti hisap rokok selama dua tahun.

"Jadi jom la kita berhenti merokok, sayangi la diri anda," ujar Naim mengakhiri bicara.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan kisah yang dikongsikan Naim.

"Business sebenar, hapuskan pesaing baru lancar.

"Boleh buat series kat Netflix.

"Cara business abang ni aniaya member ni.

"Hello cikgu disiplin, dia dah mengaku," demikian komen sebilangan warga maya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain