BEBERAPA paparan menunjukkan wajah 'sebelum dan selepas' wanita ini menjadi tular di media sosial. Menurut Eida Baharudin, kulit wajahnya bertukar menjadi kering dan mengelupas setelah pulang dari sebuah gedung pakaian terpakai (bundle) di ibu kota. Ujar wanita berusia 26 tahun ini, dia sendiri tidak menyangka bahawa keadaan kulitnya menjadi semakin teruk selepas beberapa hari berkunjung ke kedai tersebut bersama tunang dan bakal kakak iparnya pada 2 Januari lalu. "Masa dalam kedai tu muka saya dah mula rasa gatal. Saya mula menggaru sikit-sikit saja sebab tak nak bagi make-up comot. "Kebetulan bakal kakak ipar tengok saya garu jadi dia tegur jangan buat macam tu nanti pedih. Lepas masuk kereta masa dah nak balik, saya rasa macam muka membengkak. “Bila tanya semua orang semua yang ikut sekali pergi bundle tu mereka okay saja. Balik rumah saya cuci muka macam biasa. Saya tengok muka dah merah dan bengkak. Saya biar saja tak buat apa dan terus tidur,” ujarnya ketika dihubungi mStar. Pada keesokan harinya, Eida terkejut apabila melihat wajahnya di cermin yang dipenuhi bintik-bintik seakan-akan penyakit 'pustular psoriasis' pada dahi dan pipi sebelah kanan. Keadaan ini membuatkan Eida bimbang apatah lagi memikirkan dia akan berkahwin pada Julai 2023. ARTIKEL BERKAITAN: Selalu berfesyen, gaya macam model tapi pakai baju bundle... pemuda ini teruskan OOTD ‘syok sendiri’, janji hati puas! ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga bundle tenang disindir tergamak jual baju lusuh, kedut harga RM890... anggap cuma pelanggan tertentu je pandai menilai “Mula-mula kena tu saya rasa gatal biasa macam kena gigit nyamuk pada seluruh wajah. Masa pergi sana pun saya tak ada cuba pakaian apa-apa. Saya cuma teman dia beli seluar saja. “Masa kena tu saya takut dan cuak sangat fikirkan tak sempat sembuh sebelum kahwin. Sebenarnya kulit saya baru saja pulih, sebelum ini ada masalah selama dua tahun. Tiba-tiba kena macam ni pula. Memang stres dan ‘down’,” ujarnya lagi. Tanpa berlengah, Eida yang bekerja di sebuah syarikat syarikat swasta bergegas ke klinik di Taman Sri Gombak bagi mendapatkan rawatan. Menurut doktor, Eida mempunyai alahan terhadap debu dan hama yang berkemungkinan hinggap pada dirinya ketika berada di bundle tersebut. Keadaan wajah sebelum (kiri) dan selepas (kanan) Eida setelah pulang dari kedai bundle. “Doktor cakap masalah kulit ni sebab alahan terhadap persekitaran bundle tu. Lagi pula kulit saya memang sensitif pada habuk. “Doktor ada bagi suntikan tapi saya kurang pasti untuk apa. Selain tu, saya dapat ubat untuk alahan dan gatal-gatal. “Sekarang saya dah semakin pulih cuma masih ada kesan dan sedikit mengelupas,” katanya lagi. Kata Eida, dia bagaimanapun tidak serik untuk ke bundle selepas ini tetapi akan lebih berhati-hati dengan mengambil langkah berjaga-jaga. Doktor cakap masalah kulit ni sebab alahan terhadap persekitaran bundle tu. Lagi pula kulit saya memang sensitif pada habuk. EIDA Menerusi video di TikTok yang tular dan meraih lebih 900,000 jumlah tontonan setelah disiarkan, rata-ratanya bersimpati dengan nasib Eida. Malah, mereka juga turut meluahkan rasa bimbang apabila melihat keadaan kulitnya yang disifatkan agak ‘menyeramkan’. “Lepas video tu viral, ramai juga kongsikan pengalaman hadapi perkara sama. Eida bersyukur wajahnya kini beransur pulih. “Pertama kali jadi alahan teruk sampai macam ni sekali. Dulu saya datang mungkin sebab pakai mask (pelitup muka) jadi tak ada masalah. “Lepas ni kalau nak pergi bundle saya nasihatkan pakai mask supaya tak alami nasib sama macam saya. Kalau dah beli baju tu pun pastikan cuci dulu sebelum pakai,” ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI